Tuesday, August 23, 2011

Tazkirah untuk Diri Sendiri di Hari Selasa

  • Sentiasalah berbaik sangka kepada ALLAH s.w.t. DIA yang menciptakan kita. DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Mungkin kita merasakan apa yang berlaku kepada kita hari ini tidak adil, tetapi tahukah kita bahawa mungkin apa yang berlaku hari ini itu ada kebaikannya pada masa akan datang?
  • Jangan pernah berputus asa dalam berdoa kepada-NYA. DIA lebih tahu masa yang terbaik untuk memakbulkan doa kita. 
Saya berdoa untuk menjadi seorang pendidik sejak tahun 2004, tetapi baru dapat menceburi bidang itu tahun ini. Selepas berusaha menghantar resume, menghadiri temuduga dan mengisi borang jawatan kosong di pelbagai institusi setiap tahun. Saya percaya ada hikmahnya. Tanpa tahun-tahun yang berlalu itu, saya mungkin tidak akan pernah mempunyai pengalaman industri, saya mungkin tidak akan pernah mengenali teman-teman rapat di PSDC yang saya anggap seperti keluarga sendiri, dan saya mungkin tidak akan pernah mempunyai pengetahuan yang cukup mendalam tentang industri perkhidmatan profesional. ALLAH biarkan saya melalui semua pengalaman itu sebelum memakbulkan doa saya kerana DIA tahu itu yang terbaik untuk saya.
  • Tanamkan sikap berbaik sangka sesama manusia. Setiap manusia boleh berubah. Seseorang yang kita lihat buruk perilakunya pada hari ini mungkin boleh jadi lebih baik daripada kita di kemudian hari.
Saya pernah mengenali seseorang di YM yang membuatkan saya sangat tertarik kepadanya (bukan kerana rupanya, tetapi kerana keceriaannya). Disebabkan perasaan ingin tahu yang tinggi dan ingatan untuk berhati-hati dengan insan-insan yang dikenali di alam maya, saya bersama seorang rakan me'nyekodeng' myspace nya. Saya sangat terkejut dan belajar untuk mengawal hati pada waktu itu. Rakan-rakannya, bahasanya, gambar-gambarnya di myspace itu membuatkan saya mengucap panjang dan terus membatalkan hasrat untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Tetapi Alhamdulillah, hari ini dia sudah berubah. Sudah tiada kata-kata ganas dan kesat lagi, sudah rajin mendekatkan diri pada ALLAH, sudah tidak tinggal puasa lagi, dan insya-ALLAH akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis yang sederhana dan bertudung tidak lama lagi. Apa yang berlaku ini benar-benar membuatkan saya menginsafi diri. Sesungguhnya hidayah itu milik ALLAH. Saya tidak punya apa-apa hak untuk menilai baik buruknya manusia.
  • Berkawanlah dengan semua orang, kerana sesungguhnya ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada setiap orang yang kita kenali.
Saya mengaku dahulunya saya seorang yang agak memilih kawan. Kawan-kawan saya adalah yang sejenis dengan saya. Tetapi kemudiannya saya menyedari tidak semua orang yang pakai skirt pendek itu, yang rambut blond itu, yang berbaju sendat itu tidak baik. Saya pernah mengenali seseorang yang berpakaian dedah-dedah sebegitu (sekarang tidak lagi) dengan sangat rapat. Dia berkahwin dan kemudiannya menghadapi masalah rumah tangga yang sangat mencabar. Tetapi kesabaran, kekuatan dan keredhaannya dalam menghadapi kemelut itu cukup hebat sehingga saya percaya belum tentu saya temui di dalam 50 wanita bertudung labuh, ada seorang yang mempunyai kesabaran sehebatnya. Dari dia saya belajar bahawa pakaian kita bukan 100% menentukan sifat sebenar kita.
  • Ibu bapa adalah harta paling berharga yang ALLAH berikan kepada kita. Walaupun kita kehilangan seluruh kasih sayang di atas muka bumi ini, kasih sayang ibu bapa akan sentiasa bersama kita, walau di mana pun kita berada.
Saya hanya mempunyai dua orang adik beradik. Mungkin kerana jumlah anak yang kecil ini, ibu bapa saya sentiasa mahu tahu di mana saya berada, pukul berapa saya tiba di rumah dan mengapa saya pulang lewat dari kerja. Ada suatu ketika saya merasakan kenapa pada umur yang begini saya masih perlu melaporkan semua itu. Tetapi kemudiannya saya sedar, kasih sayanglah yang membuatkan mereka sangat mengambil berat tentang saya. Kasih sayang mereka terlalu ikhlas untuk dipersoalkan. Walaupun mungkin tiada orang lain yang mahu mengingati saya, tetapi mereka tanpa gagal akan sentiasa mengingati dan menghubungi saya setiap hari. (ini kes terbalik, bukan anak telefon mak ayah, mak ayah yang telefon anak setiap hari)
  • Cuba elakkan daripada mencampur adukkan hubungan persahabatan dan kekeluargaan dengan wang ringgit.
Hubungan persahabatan yang harmoni boleh jadi beku hanya kerana wang ringgit. Apabila kita redha untuk meminjamkan wang kepada sahabat atau ahli keluarga, sematkan di dalam hati bahawa kita mungkin tidak akan mendapat wang kita kembali dan kita mesti rela untuk menghalalkannya. Ini yang selalu saya tanam dalam hati, dan selalu berjaya menyelamatkan sesuatu hubungan, andai jumlah yang dipinjamkan kecil. Kalau banyak 'tak dapek den nak nolong'. 
  • Keislaman kita bukan hanya terletak kepada solat 5 waktu tak tinggal, mengaji Al-Quran setiap hari, bertudung dan berpuasa di bulan Ramadhan semata-mata. Penghayatan dan kefahaman kita tentang intipati agama itu, dan kesedaran kita tentang mengapa kita perlu melakukan itu dan ini, dan mengapa dilarang mengerjakan itu dan ini adalah sangat penting di dalam menyelamatkan akidah kita.
Aishah Bukhari yang dikatakan murtad pada tahun 1997 adalah seorang yang bertudung, hafal surah Yaasin dan beberapa surah yang lain, solat tidak tinggal dan mengikuti kumpulan dakwah ketika belajar di ITM. Persoalannya bagaimana dia boleh murtad? Nauzubillah min zalik. Sungguh saya takut untuk berlebih-lebihan mengomen dalam bab ini. Sama-samalah kita menghayati Islam yang sebenar-benarnya, menyedari bahawa sesungguhnya Allah itulah pemilik segala-galanya dan mempercayai dengan hati, jiwa dan raga bahawa hidup kita bukan setakat di sini, tetapi ada akhirat yang lebih kekal dan abadi.
Amalkanlah doa ini, semoga hidup dan mati kita kekal di dalam Islam.
'rabbana la tuzigh qulubana ba'da iz hadaitana wahab lana min ladunka rahmah, innaka antal wahab'
'Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami rahmat dari sisi Engkau, Kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (Kurnia). -al-Imran; 8-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...