Saya agak insaf menonton 'Lau Kana Bainana' di TV Al-Hijrah malam semalam. Untuk sesiapa yang tidak pernah menonton rancangan ini, ia adalah rancangan berbahasa Arab, ala-ala Bang Bang Boom versi baik. Kalau Bang Bang Boom kerjanya asyik nak mengenakan orang, Lau Kana Bainana ini menggunakan akhlak yang dianjurkan Nabi S.A.W sebagai temanya.
Contoh, episod malam semalam berkisar kepada tema ini 'Lakukanlah kebaikan walaupun kecil kerana kita tidak tahu amal kebaikan kita yang manakah yang akan membawa kita ke syurga'. Ini boleh dikaitkan dengan entry saya berkenaan ikhlas sebelum ini. Apa yang ditunjukkan di dalam episod tersebut adalah perbuatan menutup paip air yang terbuka. Air paip di tandas awam dibiarkan mengalir, dan di antara ramai-ramai orang hanya 2,3 orang yang menutupnya. Kebanyakan yang tidak peduli beralasan 'tak perasan' manakala sebahagian yang lainnya mengatakan itu bukan tugas mereka. Apa yang cuba disampaikan dalam episod itu amat menusuk jiwa saya. Pernah dengar cerita seorang pelacur yang masuk syurga hanya kerana memberi makan kepada seekor anjing? Itulah dia, amalan kebaikan yang sangat kecil, seperti menutup pili air daripada dibiarkan membazir, atau memberi minuman dan makanan kepada haiwan yang kelaparan, andai dilakukan dengan ikhlas, mungkin itulah yang akan menjanjikan kita syurga. Seperti kata pengacara rancangan tersebut, mungkin kita solat tidak tinggal, fardhu, sunat, berpuasa, membayar zakat, tapi mungkin ada terselit rasa riak di situ, mungkin ada terselit pengharapan untuk mendapatkan balasan di situ, dan kemudiannya menjauhkan kita dari syurga ALLAH. Tetapi sebuah amalan kecil yang kita secara tidak sedar melakukannya itu, mungkin itulah yang akan mendekatkan kita pada jannah.
Saya insaf. Bila fikir-fikir balik, andai saya terjumpa paip air dibiarkan mengalir, adakah saya akan menutupnya? Andai terjumpa duri yang menghalang perjalanan adakah saya akan membuangnya? Semoga sedikit keinsafan ini membuahkan amalan yang baik di kemudian hari.
No comments:
Post a Comment