Showing posts with label Topik Skema. Show all posts
Showing posts with label Topik Skema. Show all posts

Thursday, August 3, 2017

Pengalaman Osteoporosis

Secara jujurnya pengetahuan saya tentang osteoporosis cuma bersandarkan pada iklan Anlene. Jadi bila sebut osteoporosis saya terbayang pek hijau putih Anlene, Datuk Michelle Yeoh dan tulang yang bunyi 'krekkk' lalu bengkok. Tak pernah terbayang ahli keluarga saya sendiri akan menderita osteoporosis.

Dalam dua tiga bulan yang lalu, waktu saya tengah gigih nak siapkan proposal untuk kejar dateline defends, melalui telefon mak bagitau dia ke klinik dengan adik sebab sakit kaki. Tapi sebab dia cerita secara bersahaja dan macam takde apa-apa, jadi saya anggap takde apa yang serius dan teruskan gigih pagi petang siang malam mengadap proposal tanpa hirau hujan panas dan terik mentari. Lepas hantar proposal pada pihak yang sepatutnya, saya balik kampung dan nampak mak saya banyak baring. Kalau nak ikutkan mak saya ni jenis aktif, semua kerja rumah nak dibuatnya, segala pokok sayur dan bunga nak ditanamnya. Tiba-tiba bila tengok dia asyik baring je sebab nak jalan sakit saya jadi tak sedap hati. Nampaknya ubat klinik dan injection yang doktor bagi macam tak berkesan. Jadi saya bawa mak ke Hospital Shah Alam.

Diringkaskan cerita bila ke hospital doktor suruh x-ray dan buat kesimpulan mak saya mengalami kerapuhan tulang, atau bahasa perubatannya osteoporosis. Jadi kami tanya apa tindakan selanjutnya, dia jawab 'Dah terlambat. Dah tua. Nak makan kalsium pun dah terlambat. Dah tak boleh buat apa.' Masa tu saya rasa kejamnya dia ni... kalau mak dia sakit nak ke dia cakap 'dah terlambat.' Seolah-olah macam 'menderitalah kau sampai ajal tiba..' Huaaa sedih bila ingat. Dengan kesimpulan bersahaja tu, maka mak saya cuma dibekalkan dengan ubat tahan sakit sahaja. 



Kesan psikologinya bila orang tua dengar dia dah takde harapan untuk pulih, mak saya jadi putus asa. Bila orang tanya dia cakap tulang dia dah reput. Selang 3,4 hari, bila kami suami isteri ke Terengganu, adik dan adik ipar pergi kerja dan ayah saya keluar kejap mungkin ke kedai, saya telefon rumah, mak saya nangis-nangis bagitau tak boleh nak duduk. Mujur rumah kampung kami ni berjirankan sedara-mara. Saya telefon makcik sebelah rumah dan dia terus datang, lalu telefon orang kampung dan semua sedara-mara. Haiyoooo abis semua orang datang melawat. Saya dah rasa tak sedap hati ingat nak balik naik flight sebab suami ada kerja kat sana tak boleh balik, tapi mak telefon petang tu bagitau dia dah agak ok, takyah balik. Esok paginya saya telefon lagi, mak kata tulang belakang sakit yang teramat sangat pulak. Disebabkan mak saya ni walaupun umur dah 69 tapi jarang sakit, bila tiba-tiba dia sakit teruk saya jadi tak tentu arah, dan terus balik pagi tu juga dengan suami.

Malam tu lepas Maghrib kami bawa mak ke HUKM. Maka sekali lagi kena x-ray. Hasil x-ray tu menunjukkan jisim tulang mak memang merosot. Bukan tu je, tulang belakang mak pun bengkok, mungkin kesan banyak kali jatuh, atau banyak angkat barang berat. Doktor tu pun konfius dan tanya sejak bila tulang tu bengkok? Kalau tengok badan mak boleh nampak ada bahagian di antara tulang belakang tu yang agak berlekuk ke dalam. Malam tu doktor bagi kalsium, ubat tahan sakit, dan berikan surat rujukan untuk kami atur appoinment dengan pakar tulang dan jurufisioterapi.


Maka bermulalah dua minggu sekali lepas tu episod fisioterapi mak di HUKM. Appoinment dengan pakar cuma dapat diselitkan lepas sebulan (ramai betul orang sakit berkaitan tulang kat Malaysia ni rupanya...). Alhamdulillah lepas dua kali fisio di hospital, dan hari-hari buat fisio di rumah, keadaan mak bertambah baik. Bila jumpa pakar memang pakar sahkan mak ada osteoposis. Lepas x-ray lagi, ketuk sana ketuk sini, cucuk sana cucuk sini, doktor kata takde tulang yang patah atau retak walaupun tulang tu rapuh. Walaupun punca asal sakit tu pada tulang belakang, tapi dia bagi kesan pada otot-otot kaki sebab tu mak rasa sakit bila berjalan. Tapi disebabkan progres yang memberangsangkan, doktor minta teruskan dulu fisioterapi. Kalau lepas tiga bulan keadaan tak pulih, doktor akan buat MRI untuk kesan punca, dan kemungkinan akan buat pembedahan. Dan-dan lepas tu mak kata kalau dia sakit pun dia akan bagitau doktor dia sihat sebab tak nak operation. 😂

Bila baca ni teringat makcik saya cakap lama dulu sebelum tau mak saya sakit 'mak dulu masa muda-muda tinggi juga, sekarang tengok makin pendek. Agaknya nanti kita dah tua pun jadi pendek' 😅 tanpa sedar yang kehilangan tinggi tu rupanya tanda-tanda osteoporosis.


Sekarang ni alhamdulillah keadaan mak dah bertambah baik. Mak masih pergi fisio dan ada lagi berbaki dua sesi. Bulan 9 kami akan bawa mak follow up lagi dengan pakar. Lepas jumpa pakar hari tu berbungkus-bungkus HUKM bagi kalsium, ubat otot, krim urut, ubat tahan sakit. Tapi ada satu ubat otot doktor suruh beli sendiri, mungkin sebab ubat tu mahal, sebotol RM140++.. Haha..

Secara jujurnya bila tengok awal-awal mak sakit tu saya fikir sakit tu lebih teruk dari osteoporosis. Saya ingat kanser ke apa.. semua sebab kurang ilmu pasal osteoporosis. Bila tengok macamana fisio tu menghasilkan kesan yang baik, sekarang saya percaya memang osteoporosis, bukan kanser. Alhamdulillah, mak sekarang lebih ceria, dan kembali tak boleh duduk diam walaupun kami bising tak bagi buat kerja, takut-takut terjatuh ke terpelecok ke kan ke bahaya dengan keadaan tulang dia tu. Malangnya sekali dua terkantoi juga dia tengah cabut rumput. Nak bising-bising sangat tak sampai hati, nanti dia stress pulak kalau suruh duduk dalam rumah je diam-diam. Awal-awal sakit hari tu semua orang dimarahnya suruh siram pokok bunga sampai ayah saya kata 'lepas ni tanam pokok bunga plastik je la..' hahaha...

Mohon doakan kesihatan mak saya bertambah baik.
Dan sesiapa yang ada tanda-tanda yang sama silalah pergi hospital.
Boleh baca sini juga untuk dapat maklumat lanjut tentang osteoporosis.


Walaupun dulu saya tak rajin minum susu dan boikot ikan, 
sekarang dengan rajinnya saya minum susu setiap hari dan makan ikan sesekali
kerana memikirkan cerahnya masa depan... 😓


Wednesday, November 16, 2016

al-Kisah Gunung Berapi

Beberapa hari yang lalu, entah macamana tiba-tiba saya teringatkan DanauToba yang kami lawati sewaktu di Medan dan tanpa sengaja saya tergoogle maklumat tentang danau tersebut. Baca punya baca rasa macam ‘Wahhh dahsyatnya’. Danau Toba, merupakan danau terbesar di Asia Tenggara (siap ada pulau lagi kat tengah-tengahnya) terbentuk akibat letupan supervolcano pada 74,000 tahun yang silam. Super ok, SUPER! Akibat dari letupan tu populasi bumi berkurang sehingga 60% dan debu yang tersebar dari letupan tu boleh ditemui di seluruh dunia sehingga ke Kutub Utara. Macamana agaknya rupa Malaysia masa tu kan? Dan, khabar buruknya, kawasan kaldera Toba tu masih aktif, malah Pulau Samosir yang terbentuk di tengah-tengah danau tu juga merupakan pulau volkano. 

Imej dari google map

Sambil baca-baca tu sel-sel otak berhubung teringat ada satu hari tu waktu saya bosan menghadap artikel di Perpustakaan Shah Alam yang cantik dan menarik, saya belek-belek buku di rak buku-buku baru dan terjumpa buku yang dipenuhi gambar-gambar letupan Gunung Berapi Krakatau atau Krakatoa (Indonesia panggil Krakatau, Mat Saleh panggil Krakatoa) yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera. Masa tengok gambar-gambar tu saya ingat itulah letupan gunung berapi paling dahsyat di dunia. Gunung ni meletup tahun 1883, dan bunyi dia sangat kuat sampai dapat didengari di Australia dan Pulau Rodrigues, Afrika. Confirm kita yang kat Malaysia ni ‘budek’ jugak kot masa tu. Saya teringat jugak dalam buku tu tulis letupan gunung berapi tu menyebabkan tsunami yang dahsyat dan mengubah bentuk muka bumi kat situ. 

 Kawasan dengan garis putus-putus tu la Krakatau sebelum meletup. Ada tiga gugusan gunung di situ. Lepas meletup, musnah sebahagian besar, tinggal yang hujung tu yang tinggal. Lepas beberapa tahun, muncul Anak Krakatau dari bekas pulau lama yang musnah.

Punya gigih nak tau pasal Krakatau saya google lagi dan terjumpa filem “Krakatoa the Last Days” berdasarkan kisah benar yang berlaku masa tu. Gigih pulaklah layan movie lepas tu (Encik suami selalu pelik saya boleh layan movie bukan mainstream dari Youtube secara tiba-tiba). ;-p eh, melencong cerita lain plak.


Ok, sambung balik cerita. Disebabkan sel otak masih terus berhubung lepas tengok movie tu, saya google lagi berkenaan gunung berapi dan terbaca pulak letupan Gunung Berapi Tambora (terletak di Pulau Sumbawa, Indonesia) yang lagi dahsyat dari Krakatau, pada tahun 1815 sehingga menyebabkan perubahan suhu dunia. Disebabkan letupan tu, satu tahun berikutnya dikenali sebagai Tahun Tanpa Musim Panas, semua berpunca dari debu vulkanik Gunung Berapi Tambora ni.

 Puncak Tambora sekarang.

Perbandingan tahap kedahsyatan letupan gunung berapi.

Lepas baca pasal tiga letupan gunung berapi ni rasa macam.... ‘Eh, apasal semua kat Indonesia ni?’. Rupa-rupanya Indonesia memiliki lebih dari 100 gunung berapi. Negara yang mempunyai gunung berapi paling banyak di dunia (100 lebih kau, bukan 10, boleh bayang tak satu negara ada lebih 100 gunung berapi?). Kalau tengok peta Lingkaran Api Pasifik, memang macam elok je dia lalu kat sekian banyak pulau-pulau yang membentuk Negara Indonesia tu (kalau diteliti macam majoriti pulau kat Indonesia ni ada gunung dan berapi-api.)


Cuma gunung berapi tu ada yang tidur, ada yang batuk-batuk, ada yang siap dah musnah beranak pulak macam Krakatau). Tiba-tiba teringat teori yang mengatakan Yakjuj dan Makjuj itu adalah lava gunung berapi, bukannya makhluk (wallahua’alam. teori je ni. Sapa rajin cuba cari e-book pasal ni pi baca). Masa tu rasa macam kalau Allah izinkan satu gunung berapi super je meletup boleh menyebabkan 60% penduduk bumi berkurang, cuba bayangkan kalau semua gunung berapi kat Indonesia tu meletup sekaligus? (kalau orang Sains baca ni mesti saya kena kecam sebab soh bayangkan gunung berapi meletup beramai-ramai. Kau ingat demo baju kuning baju merah? Eh, tak mustahil kot. Ce baca ni).

Apa pun, sebelum saya akhiri tulisan separa matang ni (sebab sumber semua dari google, rujukan paling pantas abad ini), sama-samalah kita renungkan, tentang sekian banyaknya ayat al-Quran yang bercakap mengenai gunung-gunung dan hari akhir, hari kiamat.

“dan (ingatlah) akan hari (yang ketika itu) Kami perjalankan gunung-gunung dan kamu akan dapat melihat bumi itu datar dan Kami kumpulkan seluruh manusia, dan tidak kami tinggalkan seorang pun dari mereka.” (Quran, al-kahf: 47)

“Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya. Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.” (Quran,al-Waqiah: 3-6)

“sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku). Sedang kami memandangnya dekat, (tetap akan berlaku). (Iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair. Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan).” (Quran, al-Ma’arij: 6-9)

Wallahua’lam.

Iklan:
 
Ini baru volcano.
Berani kau bayangkan bagaimana rupanya neraka? :'(

Tuesday, November 1, 2016

Bangsa Bayar Hutang

Indonesia sangat dekat di hati saya.
Datuk saya berasal dari Kebumen, merantau ke Malaysia di usia muda, bernikah, beranak cucu cicit di sini lalu mendapat taraf penduduk tetap.
Rakan-rakan baik saya ramai yang berasal dari negara seberang itu - bukan sahaja dari kalangan pelajar tetapi juga dari kalangan TKI (Tenaga Kerja Indonesia).
Saya sendiri sudah berkali-kali menjejakkan kaki ke Indonesia, sehinggakan sebahagian besar passport saya bercopkan Garuda. Tetapi belum lagi saya merasa jemu - bahkan saya masih menyemai azam mahu ke Surabaya,  Acheh dan Sulawesi.

Indonesia sentiasa dekat di hati saya.
Saya cintakan bahasanya, yang walaupun hampir sama dengan Bahasa Malaysia, tetapi apabila diatur menjadi satu untaian kata, ia masuk terus, jauh ke dasar hati, yang entah kenapa kesan yang sama tidak saya temui dalam bahasa sendiri (walaupun apabila diluah menjadi kata-kata, orang Melayu itu lebih lembut bualannya..)
Mungkin kerana faktor bahasa itu juga saya lebih gemarkan novel-novel negara jiran itu, berbanding novel tempatan (novel survival kehidupan maksud saya, bukan novel cinta bermimpikan suami Encik Pilot) 😛

Tetapi walau dekat mana pun Indonesia di hati saya, saya marah juga bila terjadi kes aku-mengaku 'nasi goreng milik kami, lagu negara kamu asal dari kami, tarian kamu datang dari kami'
Aduhai... kita kan serumpun.
Dan saya ini, masih patriotis orangnya.


Cumanya hari ini, apabila secara kebetulan saya tersasar arah bertemu video klip ini, dan menghayati lagu dan tulisan latarnya..
Saya tertanya-tanya 'adakah kita di tanah air yang kita cintai ini, sedang menuju ke arah jalan yang sama?'
Hati terasa pilu memikirkan masa depan.
Semoga masih ada sinar buat kita, juga anak cucu cicit kita.

**sekadar luahan rasa dari hati dan minda yang sedang cuba menghadam keadaan semasa ekonomi negara.

Saturday, September 24, 2011

Bahaya Bekas Plastik Terhadap Kesihatan

Wahh.... Skemanya tajuk.
Beberapa hari lepas kami berbincang mengenai bahaya bekas plastik terhadap kesihatan.
Lepas tu ada yang mengatakan semakin tinggi nombor yang tertera di bawah bekas plastik tersebut bermakna semakin selamatlah plastik tersebut untuk digunakan.
Tapi ada pula yang argue bahawa nombor tersebut sebenarnya merujuk kepada kod kitar semula.
Hehe, saya tak pernah perasan pun bawah bekas plastik ada nombor sebenarnya.
Walaupun selama ni tau yang bekas plastik macam bekas air mineral tu tak elok digunakan berulang kali, tapi setakat tu je la yang saya tau.
Tak pernah nak mengkaji secara lebih mendalam.
Disebabkan kurang percaya dengan kata-kata kawan tentang nombor tu, balik Mahallah saya pun belek-beleklah bekas plastik yang ada.
Ooo... memang ada logo segi tiga beserta nombor di dalamnya.
Siap ada kod huruf-huruf lagi kat luar segi tiga tu.
Bekas Tupperware ada huruf PP, nombor 5. (Tupperware betul ye, Tipuware saya tak tau ;-)
Botol mineral, botol Tropicana Twister kegemaran ayah saya ada kod PET, nombor 1.
Apa pulak la PET, PP, nombor-nombor bagai ni?
Maka saya pun memulakanlah operasi meng'google' maklumat.


Kod-kod yang tertera kat atas ni, dan kat bawah botol-botol plastik telah dikeluarkan oleh The Society of Plastic Industry pada tahun 1998 di Amerika Syarikat dan digunakan juga oleh badan-badan lain seperti ISO (International Standard Organisation).
Maknanya benda ni standard la seluruh dunia.

Kod 1 adalah untuk bahan yang diperbuat daripada PETE atau PET, biasa digunakan untuk bekas air mineral, jus atau apa-apa botol plastik yang transparent / jernih /  lutsinar.
Botol plastik nombor 1 ni sepatutnya digunakan sekali sahaja dan tak sepatutnya digunakan untuk isi air panas sebab ia boleh menyebabkan lapisan polimer pada botol tu meleleh dan mengeluarkan bahan karsinogernik yang boleh mengakibatkan kanser pada jangka masa panjang.
Tapi berapa ramai antara kita yang tak pernah recycle botol mineral atau botol-botol air F&N, Coca Cola, Tropicana Twister?
Tabik spring la kalau tak pernah walaupun sekali.

Kod 2 (HDPE) biasa digunakan untuk bekas yang berwarna putih susu, dan tak transparent macam bekas bedak Johnson's Baby.
Agak jarang digunakan dalam bekas-bekas yang kita suka recycle, tapi ianya juga sepatutnya hanya boleh digunakan sekali je.
Ada ke orang recycle bekas Johnson's Baby lepas tu buat isi air minuman?
Wawawa, kompius.

Kod 4 biasa digunakan untuk bekas makanan yang digunakan sekali dan buang.
Saya dah cari bekas-bekas plastik yang ada kat keliling ni tapi tak jumpa pulak kod 4 ni.
Agak selamat untuk makanan atau minuman di bawah 60 darjah celcius, tapi kalau lebih, bahan plastiknya boleh meluntur dan masuk dalam makanan.

Kod 5 ni yang saya cakap ada pada Tupperware, dan selalu diwar-warkan oleh pengedar-pengedar Tupperware sebagai plastik yang selamat untuk kesihatan.
Boleh masuk microwave, tapi kalau hari-hari masuk microwave, lepas 3 bulan jangan guna dah sebab lepas tu dah kurang selamat dah jadinya.
Ada blog kata kalau dah guna telalu lama patut ganti dengan yang baru.
Errk, macamana ni, ingat nak guna seumur hidup, Tupperware dah lah 'murah' sangat harga dia.

Kod 3, 6 dan 7 yang biasanya berwarna merah adalah kod-kod wajib elak.
Plastik kod-kod ni mengandungi BPA atau Bisphenol-A yang boleh menyebabkan kanser, merosakkan sistem reproduktif, meninggikan risiko kanser payudara, kegemukan, keguguran, diabetes dan tekanan darah tinggi.
Kod 6 tu polystyrene tau.
Cer citer berapa banyak bekas makanan polystyrene dan styrofoam yang kita dah guna?
Dengan gembira kita ambil bila tapau makanan kat kedai kan?
Kesimpulan kami hari tu, agak tak heranlah kalau orang sekarang susah nak dapat anak dan banyak penyakit.
Kita terdedah kepada terlalu banyak punca-punca penyakit di sekeliling kita.

So, kawan-kawan, kesimpulannya mari kita cari botol kaca untuk simpan air lepas ni. ;-)

Rujukan:

  1. http://botolsusucomel.blogspot.com/2011/04/penggunaan-botol-bpa-adalah.html
  2. http://woongjin-coway.webs.com/bahayabotolplastik.htm
  3. http://tupperwarecomel.blogspot.com/2009/08/kenapa-pilih-tupperware.html
  4. http://syamilamohd.com/2011/05/bahaya-plastik-dan-ketahui-simbol-atau-kod-plastik

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...