Showing posts with label Si Ulat Buku. Show all posts
Showing posts with label Si Ulat Buku. Show all posts

Friday, July 1, 2011

Ikhlaskah Kita?

Dari Abu Dzar, dia berkata:
'Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang ikhlas'
Lalu Baginda bersabda:
'Hingga aku bertanya tentangnya kepada Jibril'
Lalu Jibril berkata:
'Hingga aku bertanya kepada Tuhan Yang Maha Agung' 
Maka Jibril bertanya kepada Allah, yang kemudian Allah berfirman:
'Ikhlas adalah suatu rahsia dari rahsia-rahsia-Ku, yang AKU titipkan ke dalam hati hamba-hamba-Ku, yang tidak akan diketahui malaikat hingga ia mencatatnya dan tidak pula syaitan yang akan merosakkannya'
(H.R. Al-Qazwini)

Persoalannya, apakah itu ikhlas?
Sebelum menjawab kepada persoalan di atas, ada baiknya kita melihat kembali apakah tujuan kita hidup di dunia ini.

'dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku'
(adz-Dzariyaat; 56)

Ibadah di sini bukanlah bermaksud solat 24 jam dan puasa 365 hari setahun. Perbuatan-perbuatan lain seperti bekerja, belajar, hatta makan dan tidur sekali pun dikira sebagai ibadah sekiranya dilakukan hanya kerana yang satu, iaitu Allah s.w.t. Ikhlas letaknya pada niat, pada tujuan kita melakukan sesuatu. Ikhlas bukan merujuk kepada kata-kata lisan 'aku ikhlas', tetapi terletak di dalam hati, yang adakalanya kita sendiri pun tidak menyedarinya, tetapi Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.


Membaca buku 'Menyukat Ikhlas Diri' di atas membuatkan saya tertanya-tanya kembali, apakah ada amalan saya, sepanjang 28 tahun umur saya ini, yang saya lakukan hanya semata-mata kerana Allah s.w.t. Kenapa saya belajar? Kenapa saya bekerja? Kenapa saya makan? Kenapa saya mengemas rumah? Kenapa saya mahu berkahwin? Kenapa saya mahu mempunyai anak-anak? Kenapa saya menjauhkan maksiat? Kenapa saya solat? Entah kenapa jawapan yang ditemui mengatakan hampir kebanyakan niat saya melakukan sesuatu bermotifkan duniawi semata-mata, bersandarkan kepada saya suka, saya perlukan duit untuk hidup, saya makan sebab saya lapar, saya kemas rumah sebab saya hangin bila rumah bersepah, saya nak kahwin sebab terasa usia dah lanjut, saya menjauhkan maksiat sebab tidak mahu doa tidak makbul, saya nak pahala, saya nak masuk syurga.

Astaghfirullah-al-azim...
Sesungguhnya manusia yang ikhlas tidak mengharapkan ganjaran di sebalik apa yang dilakukannya. Orang yang ikhlas melakukan sesuatu hanya kerana Allah, belajar kerana Allah, bekerja kerana Allah, berkahwin kerana Allah, beribadah kerana Allah, bukan kerana syurga neraka, bukan kerana motif-motif keduniaan.

'Barang siapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.'
(al-Isra'; 18-19)

Dari Abu Firas rahmatullah 'alaih (seorang dari Kabilah Aslam) telah berkata:
Seorang telah berseru dan bertanya:
'Ya Rasulullah, apakah itu iman?'
Nabi s.a.w bersabda:
'Iman itu ialah ikhlas'
(HR Baihaqi)

Lalu, layakkah kita mengaku beriman andainya kita tidak ikhlas?
Sesungguhnya, persoalan ikhlas ini juga mempunyai kaitan dengan sifat-sifat riak, ujub, bangga dan takbur. Adakalanya terdetik di dalam hati kita ketika melakukan sesuatu untuk melakukan yang terbaik kerana mendambakan pujian manusia, supaya nantinya kita akan digelar manusia hebat dan ternama. Sesungguhnya perubahan niat yang seperti itu boleh membawa kepada syirik kecil yang apabila tidak ditangani berupaya memberikan impak yang lebih besar. Wallahu'alam.

'Ya Allah, sesungguhnya aku ini insan yang lemah, kau peliharalah hatiku, perbetulkanlah niatku, supaya hidupku ini hanya untuk dan demi-Mu Ya Allah'

Semoga sedikit perkongsian ini mampu membuatkan kita sama-sama menilai kembali keikhlasan diri kita, dan sama-sama membetulkan kembali tujuan hidup kita menumpang di bumi Allah ini.



Thursday, June 16, 2011

Sang Pemimpi ~ 'Bermimpilah, Kerana Tuhan Akan Memeluk Mimpi-Mimpimu Itu'



Benar kata orang, kesusahan akan menjadikan manusia lebih kreatif,
kesempitan hidup akan menjadikan mausia lebih inovatif,
kepayahan mendapatkan kemewahan akan membuatkan kita lebih menghargai mereka-mereka yang berkorban untuk kita...
manusia akan berusaha lebih gigih sekiranya mereka berada di luar zon selesa..
manusia akan bermimpi setinggi langit seandainya mereka tersepit di dalam jerih perih kepompong kemiskinan

maka, 
teruskan lah bermimpi
tetapi jangan sesekali lupa bahawa mimpi itu tidak semudah A,B,C untuk digapai
teruskanlah bermimpi
tetapi seiringkanlah ia dengan usaha, doa dan tawakal
kata Arai 
'tanpa mimpi orang seperti kita akan mati Ikal!'

adakalanya kita tidak memerlukan untaian kata-kata tanpa henti untuk memberitahu hati kita
adakalanya kita tidak memerlukan rotan dan pembaris untuk mendidik

andai kita tahu membaca hati orang
mungkin kita akan faham sesungguhnya harapan dan kasih sayang boleh disampaikan tanpa perlu dilafazkan

'Ikal, kau jangan hanya fikirkan tentang diri kau. Ada seseorang yang luar biasa dalam hidup kau, yang selalu datang mengambil rapor, dengan baju Safari satu-satunya yang dimilikinya, yang bahkan tidak dia pakai waktu berjumpa bapak Bupati sekalipun, dia memakainya hanya untuk kau Kal.. Kau adalah kebanggaannya'
(oh, tolonglah, saya sangat tersentuh) 

'ayah juara satu seluruh dunia, yang selalu tersenyum, menghadapi cubaan apa pun...'
(tolonglah Mas Andrea, jangan buat saya jatuh cinta lagi dengan kata-kata nan syahdu ini)

komen: 
orang baca post ni mesti pening. takde intro takde apa, tiba-tiba buat kesimpulan umum. Sila tonton Sang Pemimpi untuk memahami jalan cerita sebenar.
(tiba-tiba terasa yang intonasi Bahasa Melayu Belitong ni bunyinye macam Banjar la...)



Wednesday, April 27, 2011

dan Cinta tidak Semestinya Bersatu....

blog ni da bertukar jd blog cinta pulak secara tiba-tiba....

Saya baru sahaja menyudahkan membaca karya Hamka - Di Bawah Lindungan Ka'bah. Karya kedua Hamka yang telah saya baca selepas Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.


Entah kenapa selepas membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, saya terasa perlu memiliki karya-karya Hamka. Ada sesuatu yang ingin saya cari dari tokoh besar tanah seberang itu. Membaca sejarah hidup Professor Hamka, membuatkan saya terasa perlu untuk menhormati hasil kerjanya.

Saya mengenali nama Hamka sejak zaman sekolah lagi, mungkin kerana minat saya mengumpul kata-kata bijak pandai, dan kata-kata Hamka antara yang terdapat dalam koleksi saya. Tetapi hanya baru-baru ini saya membaca hasil kerjanya. Pertama kali membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, terus-terang saya mahu tertidur. Keindahan sastera klasik itu tidak masuk langsung ke dalam akal fikiran saya. Tetapi entah di mana pesonanya, karya itu berjaya saya khatamkan. Dan semakin saya menjiwai karya-karya Hamka saya mula dibuai asyik. Karya sebegini mungkin sudah tidak dapat dihadam lagi oleh jiwa orang muda zaman ini. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pertama kali diterbitkan pada tahun 1937. Maka tidak hairanlah susunan bahasanya sebegitu. Tetapi susunan bahasa yang begitu-begitulah yang mendayu-dayu memenuhi ruang hati saya.

Akan tetapi hari ini selepas menyudahi Di Bawah Lindungan Ka'bah, saya terfikir, 'kenapa ya, cinta watak-watak di dalam kedua-dua karya Hamka ini tidak pernah dapat bersatu?'.

'Buya Hamka, apakah cinta suci dan murni di dunia ini memang wujud untuk tidak disatukan?'

'Cinta tidak semestinya bersatu'... Hakikatnya, saya kurang gemar dengan ayat cinta yang bunyinya sungguh klise ini. Mereka-mereka yang lahir pada tahun 80-an dan pernah mengikuti majalah Gila-Gila tentunya sudah lali dengan ungkapan ini yang sinonim dengan kartun Liza vs entah siapa'.

Dan kemudiannya muncul satu lagi kesimpulan yang bunyinya juga klise daripada kedua-dua karya Hamka ini. 'Enggang dan Pipit tidak mungkin dapat Bersatu'.

Saya cuba menafikan hakikat ini pada mulanya. Tetapi kemudiannya saya terpaksa menerima kenyataan. Dua kesimpulan yang saya buat daripada kedua-dua karya Hamka ini adalah realiti.

Cinta tidak semestinya bersatu kerana walau bagaimana dalam pun cinta kita, kuasa penentu penyatuan cinta itu tetap pada ALLAH. Hanya DIA yang tahu siapa yang sesuai untuk setiap hamba-hamba-NYA. Kita cuma mampu merancang, tetapi penentu akhirnya tetap DIA. Siapalah kita, sekadar hamba yang mahu menentukan mancung atau peseknya hidung kita pun kita tidak berupaya. (kecuali mereka-mereka yang mengubah ciptaan-NYA dengan melakukan pembedahan plastik).

Dan 'Pipit dengan Enggang Sukar untuk Bersatu' itu bergantung kepada keadaan, dan kepada 'kun fayakun' DIA yang Maha Pencipta. Saya yang cuba menafikan ayat ini pun kemudiannya terfikir, sedangkan saya sendiri yang menyedari diri sebagai orang kampung pun, kalau diizinkan ALLAH mahu mencari orang kampung juga sebagai jodoh. Kerana saya, secara sedar atau tidak, percaya pipit lebih selesa bergaul dengan pipit, dan enggang lebih bahagia bergaul dengan enggang.

Maka Buya Hamka, walaupun tulisanmu itu dihasilkan puluhan tahun silam, saya masih percaya ianya tetap mampu menyentuh hati yang menghayatinya, dan tetap benar realitinya, walaupun untuk puluhan tahun yang akan datang. Kerana sesungguhnya, seperti yang kau zahirkan daripada karya-karya itu, yang menggerakkan dan menentukan segala asal dan akhir kejadian di atas muka bumi ini hanyalah ALLAH yang Maha Berkuasa menetapkan hati hamba-hamba-NYA.





Saturday, April 23, 2011

Andrea Hirata

Kalau ada orang pernah jatuh cinta pada suatu karya seni, lalu sanggup merentasi lautan untuk mendapatkannya, maka sayalah orang itu.

Kerana karya-karya Andrea Hirata, saya tersenyum sendirian, menangis sendirian dan tertawa terbahak-bahak juga sendirian. Di dalam kamar, di gerabak komuter, di hentian bas, di stesyen keretapi, saya dibuai emosi dengan indahnya untaian kata, dan dilanda kagum dengan kehebatan ALLAH yang Maha Pencipta kerana menganugerahkan bakat kepada seseorang yang tidak pernah punya pendidikan sastera untuk menghasilkan tulisan-tulisan nan agung itu.

Daripada Lasykar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor, Maryamah Karpov, Padang Bulan sehinggalah kepada Cinta Di Dalam Gelas, tidak pernah ada satu pun karyanya yang membuatkan saya kesal menjadi pengikut setianya.




Karya-karya Andrea Hirata bukanlah mirip Ayat-Ayat Cinta yang Islami, atau mirip Jaja & Din yang tampak jelas jalan hidup dan cintanya, atau seperti 9 Nyawa yang memang sah diklasifikan sebagai novel thriller. Tapi nukilan-nukilan Andrea Hirata ini mampu memberikan semua kesan-kesan yang boleh didapati daripada semua genre novel yang tersebut di atas. Ia tidaklah seperti drama Melayu tipikal yang tidak pernah lari daripada cinta, cemburu dan hasad dengki semata-mata, tetapi ia adalah gabungan kebijaksanaan ilmu Sains, Fizik dan Matematik, gabungan pemerhatian pada tingkah laku dan budaya manusia, gabungan unsur-unsur cinta pada pengetahuan dan kehidupan, gabungan unsur-unsur kepercayaan pada diri sendiri dan nilai-nilai positif manusiawi yang diolah dengan susunan bahasa kualiti tinggi dan diselang-selikan dengan humor dan suspen.

Andrea Hirata tidak membuatkan saya terawang-awang kerana jalan cerita watak-wataknya, tetapi dia membuatkan saya teruja dan terpesona kerana keindahan bahasanya. Misalnya dalam menggambarkan kasih sayang Ikal pada ayahnya, dia menulis begini:

‘.....ayahku, ayah juara satu dunia, arkitek kasih sayang yang tak pernah bicara, selalu mampu menggubah hal-hal sederhana menjadi begitu mempesona’ 
(Dibungkus Tilam, di Atas Nampan Pualam: Maryamah Karpov)

‘Ayah melepaskan kami seperti tak akan melihat kami lagi. Bagi ayah, Eropah tak terbayangkan jauhnya. Ayahku yang pendiam, tak pernah sekolah, puluhan tahun menjadi kuli lombong. Paru-parunya disesakkan gas-gas beracun, nafasnya berat, tubuhnya keras seperti kayu. Dia menatap kami seakan kami hartanya yang paling berharga, seakan Eropah akan merampas kami daripadanya. Air matanya mengalir perlahan. Aku memeluk ayahku, ayah yang kucintai melebihi apa pun, tangannya yang kaku merengkuhku. Betapa aku menyayangi ayahku.’
(Sapu Tangan: Edensor)

‘Air mataku meleleh. Ayahku adalah hal terbaik yang pernah terjadi dalam hidupku. Aku rindu pada ayahku, sangat rindu.’ 
(Surat daripada Ayahku: Edensor)


Andrea Hirata tidak menggambarkan cinta dengan ucapan-ucapan klise kegemaran penulis-penulis masa kini. Dia membuatkan saya berada di langit nan biru dengan gambaran realiti sebuah cinta seperti ini:

‘Jika kau berjumpa dengan Zakiah, tak perlulah banyak kata, boi, tak perlu banyak lagak, tak perlu bawa bunga segala. Cukup kau tunjukkan raut muka bahawa kau bersedia menyuapinya nanti jika dia sakit, bersedia menggendongnya ke kamar mandi jika dia sudah renta tak mampu berjalan. Bahawa, kau, dengan segenap hatimu bersedia mengatakan di depannya betapa jelitanya dia, meski wajahnya sudah kerepot seperti jeruk purut, dan kau bersedia berada di situ, tak ke mana-mana, di sampingnya selalu, selama 40 tahun sekalipun….
(Janji Setia Empat Puluh Tahun: Maryamah Karpov)

Dia membuatkan saya jatuh kasih pada Arai, sepupu Ikal yang digambarkan seperti ini:

‘Aku ingin membahagiakan Arai. Aku ingin membuat sesuatu seperti yang dia lakukan pada Jimbron. Seperti yang selalu dia lakukan padaku. Aku sering melihat kasutku yang menganga seperti buaya berjemur tahu-tahu sudah tersambung kembali, Arai diam-diam memakunya. Aku juga selalu hairan melihat butang bajuku yang tertanggal tiba-tiba lengkap semula, tanpa banyak cakap Arai menjahitnya. Jika terbangun malam-malam, aku sering mendapati aku sudah berselimut, Arai menyelimutiku. Belum terhitung kebaikannya waktu dia membelaku dalam perkara rambut belah tengah Toni Koeswoyo ketika aku masih di sekolah rendah dahulu.’
(When I Fall in Love: Sang Pemimpi)

‘Aku memeluk pahlawanku itu kuat-kuat. Dia masih berdiri di depanku, tapi aku telah merindukannya. Dadaku sesak menatap belakang Arai yang menjauhiku. Air mata menepi di pelepukku.’
(Turnbull: Edensor)

Dan dia membius saya dengan puisi-puisinya yang indah:


Orang asing
Orang asing
Seseorang yang asing
Berdiri di dalam cermin
Tak kupercaya aku pada pandanganku
Begitu banyak cinta telah mengambil dariku

Aku kesepian
Aku kesepian di keramaian
Mengeluarkanmu dari ingatan
Bak menceraikan angin dari awan

Takut
Takut
Aku sangat takut
Kehilangan seseorang yang tak pernah kumiliki
Gila, gila rasanya
Gila kerana cemburu buta
Yang tersisa hanya kenangan
Saat kau meninggalkanku sendirian
Di bawah rembulan yang menyinari kota kecilku yang ditinggalkan zaman
Sejauh yang dapat kukenang
Cinta tak pernah lagi datang

Bulan di atas kota kecilku yang ditinggalkan zaman
Bulan di atas kota kecilku yang ditinggalkan zaman
(Puisi: Padang Bulan)


Andrea Hirata adalah seniman kata-kata. Yang menulis dengan hati, bukan dengan salah benar percaturan sasterawi.

Sungguh, saya jatuh cinta.
  

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...