Thursday, August 3, 2017

Pengalaman Osteoporosis

Secara jujurnya pengetahuan saya tentang osteoporosis cuma bersandarkan pada iklan Anlene. Jadi bila sebut osteoporosis saya terbayang pek hijau putih Anlene, Datuk Michelle Yeoh dan tulang yang bunyi 'krekkk' lalu bengkok. Tak pernah terbayang ahli keluarga saya sendiri akan menderita osteoporosis.

Dalam dua tiga bulan yang lalu, waktu saya tengah gigih nak siapkan proposal untuk kejar dateline defends, melalui telefon mak bagitau dia ke klinik dengan adik sebab sakit kaki. Tapi sebab dia cerita secara bersahaja dan macam takde apa-apa, jadi saya anggap takde apa yang serius dan teruskan gigih pagi petang siang malam mengadap proposal tanpa hirau hujan panas dan terik mentari. Lepas hantar proposal pada pihak yang sepatutnya, saya balik kampung dan nampak mak saya banyak baring. Kalau nak ikutkan mak saya ni jenis aktif, semua kerja rumah nak dibuatnya, segala pokok sayur dan bunga nak ditanamnya. Tiba-tiba bila tengok dia asyik baring je sebab nak jalan sakit saya jadi tak sedap hati. Nampaknya ubat klinik dan injection yang doktor bagi macam tak berkesan. Jadi saya bawa mak ke Hospital Shah Alam.

Diringkaskan cerita bila ke hospital doktor suruh x-ray dan buat kesimpulan mak saya mengalami kerapuhan tulang, atau bahasa perubatannya osteoporosis. Jadi kami tanya apa tindakan selanjutnya, dia jawab 'Dah terlambat. Dah tua. Nak makan kalsium pun dah terlambat. Dah tak boleh buat apa.' Masa tu saya rasa kejamnya dia ni... kalau mak dia sakit nak ke dia cakap 'dah terlambat.' Seolah-olah macam 'menderitalah kau sampai ajal tiba..' Huaaa sedih bila ingat. Dengan kesimpulan bersahaja tu, maka mak saya cuma dibekalkan dengan ubat tahan sakit sahaja. 



Kesan psikologinya bila orang tua dengar dia dah takde harapan untuk pulih, mak saya jadi putus asa. Bila orang tanya dia cakap tulang dia dah reput. Selang 3,4 hari, bila kami suami isteri ke Terengganu, adik dan adik ipar pergi kerja dan ayah saya keluar kejap mungkin ke kedai, saya telefon rumah, mak saya nangis-nangis bagitau tak boleh nak duduk. Mujur rumah kampung kami ni berjirankan sedara-mara. Saya telefon makcik sebelah rumah dan dia terus datang, lalu telefon orang kampung dan semua sedara-mara. Haiyoooo abis semua orang datang melawat. Saya dah rasa tak sedap hati ingat nak balik naik flight sebab suami ada kerja kat sana tak boleh balik, tapi mak telefon petang tu bagitau dia dah agak ok, takyah balik. Esok paginya saya telefon lagi, mak kata tulang belakang sakit yang teramat sangat pulak. Disebabkan mak saya ni walaupun umur dah 69 tapi jarang sakit, bila tiba-tiba dia sakit teruk saya jadi tak tentu arah, dan terus balik pagi tu juga dengan suami.

Malam tu lepas Maghrib kami bawa mak ke HUKM. Maka sekali lagi kena x-ray. Hasil x-ray tu menunjukkan jisim tulang mak memang merosot. Bukan tu je, tulang belakang mak pun bengkok, mungkin kesan banyak kali jatuh, atau banyak angkat barang berat. Doktor tu pun konfius dan tanya sejak bila tulang tu bengkok? Kalau tengok badan mak boleh nampak ada bahagian di antara tulang belakang tu yang agak berlekuk ke dalam. Malam tu doktor bagi kalsium, ubat tahan sakit, dan berikan surat rujukan untuk kami atur appoinment dengan pakar tulang dan jurufisioterapi.


Maka bermulalah dua minggu sekali lepas tu episod fisioterapi mak di HUKM. Appoinment dengan pakar cuma dapat diselitkan lepas sebulan (ramai betul orang sakit berkaitan tulang kat Malaysia ni rupanya...). Alhamdulillah lepas dua kali fisio di hospital, dan hari-hari buat fisio di rumah, keadaan mak bertambah baik. Bila jumpa pakar memang pakar sahkan mak ada osteoposis. Lepas x-ray lagi, ketuk sana ketuk sini, cucuk sana cucuk sini, doktor kata takde tulang yang patah atau retak walaupun tulang tu rapuh. Walaupun punca asal sakit tu pada tulang belakang, tapi dia bagi kesan pada otot-otot kaki sebab tu mak rasa sakit bila berjalan. Tapi disebabkan progres yang memberangsangkan, doktor minta teruskan dulu fisioterapi. Kalau lepas tiga bulan keadaan tak pulih, doktor akan buat MRI untuk kesan punca, dan kemungkinan akan buat pembedahan. Dan-dan lepas tu mak kata kalau dia sakit pun dia akan bagitau doktor dia sihat sebab tak nak operation. 😂

Bila baca ni teringat makcik saya cakap lama dulu sebelum tau mak saya sakit 'mak dulu masa muda-muda tinggi juga, sekarang tengok makin pendek. Agaknya nanti kita dah tua pun jadi pendek' 😅 tanpa sedar yang kehilangan tinggi tu rupanya tanda-tanda osteoporosis.


Sekarang ni alhamdulillah keadaan mak dah bertambah baik. Mak masih pergi fisio dan ada lagi berbaki dua sesi. Bulan 9 kami akan bawa mak follow up lagi dengan pakar. Lepas jumpa pakar hari tu berbungkus-bungkus HUKM bagi kalsium, ubat otot, krim urut, ubat tahan sakit. Tapi ada satu ubat otot doktor suruh beli sendiri, mungkin sebab ubat tu mahal, sebotol RM140++.. Haha..

Secara jujurnya bila tengok awal-awal mak sakit tu saya fikir sakit tu lebih teruk dari osteoporosis. Saya ingat kanser ke apa.. semua sebab kurang ilmu pasal osteoporosis. Bila tengok macamana fisio tu menghasilkan kesan yang baik, sekarang saya percaya memang osteoporosis, bukan kanser. Alhamdulillah, mak sekarang lebih ceria, dan kembali tak boleh duduk diam walaupun kami bising tak bagi buat kerja, takut-takut terjatuh ke terpelecok ke kan ke bahaya dengan keadaan tulang dia tu. Malangnya sekali dua terkantoi juga dia tengah cabut rumput. Nak bising-bising sangat tak sampai hati, nanti dia stress pulak kalau suruh duduk dalam rumah je diam-diam. Awal-awal sakit hari tu semua orang dimarahnya suruh siram pokok bunga sampai ayah saya kata 'lepas ni tanam pokok bunga plastik je la..' hahaha...

Mohon doakan kesihatan mak saya bertambah baik.
Dan sesiapa yang ada tanda-tanda yang sama silalah pergi hospital.
Boleh baca sini juga untuk dapat maklumat lanjut tentang osteoporosis.


Walaupun dulu saya tak rajin minum susu dan boikot ikan, 
sekarang dengan rajinnya saya minum susu setiap hari dan makan ikan sesekali
kerana memikirkan cerahnya masa depan... 😓


Cara Hilangkan Ketuat

Apa benda ketuat ni sebenarnya?


Gambar dari kiambangmerah.com


Secara jujurnya waktu tetiba sedar kat tapak kaki saya ada ketuat, saya tak tau apa benda tu.
Siap tanya adik saya, tapi jawapan dia macam biasa mengecewakan.
"Kau mayat ke kak? Kenapa kulit kau dah mati?" Cis!
Disebabkan tak tau apa saya biar je sampaikan dari satu ketuat, dia muncul jadi tiga.
Tiba-tiba ada kakak kat ofis bagitau ketuat dia dah surut sejak minum kunyit asam.
Bila dia tunjuk rupa ketuat tu baru saya tau... oooo rupa-rupanya 'benda' kat tapak kaki saya tu ketuat.
Tapi tidak juga kubeli kunyit asam tu.. sebab macam 'ala bukan sakit pun ketuat ni...'

Tapi....
Buruk kot.. lepas tu boleh beranak-pinak pulak tu..
Dan bila rajin google rupa-rupanya lama-lama dia boleh menyebabkan sakit jugak.
Baca-baca blog macam-macam petua orang tulis macamana nak hilangkan ketuat ni.
Siap pakai vaseline bagai.
Maka saya pun berazam nak beli bahan-bahan dia, tapi tak terbeli-beli juga.
Nampak sangat tak gigih, sebab tak sakit kan?
Haha..

Tiba-tiba satu hari adik ipar saya yang kerja kat klinik bawa balik satu ubat ketuat.
Dia kata klinik nak hapuskan sebab dah lama.

Ni la rupa ubat tu. Bila nak pakai tengok dah expired.
Cis, patutlah klinik nak hapuskan.

Jadi saya pun paksa (dengan kasih sayang 😇) suami pergi farmasi belikan ubat yang sama.
Tapi takde stok la pulak.
Suami bawa balik jenama lain, tapi fungsi sama.
Jadi saya redha je pakai.

Yang ni la saya pakai.
Sapu pada ketuat dan biarkan.
Sangat mengagumkan.
Ketuat hilang dengan mudah.
(Kau ingat iklan radio? 😜)

Tapi serius ni...
Walaupun saya pakai kadang ingat kadang lupa. 
Tiba-tiba ketuat tu hilang licin.
Mula-mula yang kecil hilang dulu, lepas tu mak dia pun ikut hilang sekali.
Bersih tanpa meninggalkan kesan.
Bahagia sungguh rasanya.
Terus tukar status tak jadi mayat dah. Hahaha...

Sapa-sapa yang ada ketuat tu... sudi-sudikanlah mencuba ye..
(Ellgy tak nak bagi upah ke saya tolong promosi ni? Eh, hahaha...)


Tuesday, July 4, 2017

Jalan-Jalan Pulau Kapas

Raya keempat yang lalu kami ke Pulau Kapas. Menyelam sambil minum air kononnya, sebab raya tahun ni kami dan seluruh keluarga suami sambut di rumah kakak ipar di Terengganu. Makanya pagi raya keempat tu saya dan suami keluar rumah konon-kononnya mahu berjalan-jalan ke Tasik Kenyir tapi termelencong ke Jeti Marang, tertanya harga tiket bot dan tertanya ada bilik kosong tak. 

Disebabkan pergi tanpa perancangan, kami ambil saja bila staf di jeti bagitau ada bilik kosong di Pak Ya Seaview. Chalet lain dah penuh katanya. Jadi kami book untuk satu malam, RM100 sahaja. Tiket bot pergi dan balik RM40 seorang, dan parking kereta RM7. Jadi kami cuma guna RM187 sahaja untuk ke Pulau Kapas. Wow, tak fikir panjang dah, terus setuju.

Ini sebahagian dari Pak Ya Seaview tapi bukan bilik yang kami duduk.

Kami tunggu tak lama di jeti dan muncul bot MGH Services. Bot agak laju dan terhempas-hempas sebab ombak agak kuat mungkin. Sampai di Pulau Kapas, bot berhenti kat tepi pantai dan kami turun guna tangga kayu yang kadang-kadang terbalik dan kena didirikan semula. Lepas tu kami jalan kaki ke Pak Ya Seaview, check in dan masuk bilik. Panas yang amat kat luar, jadi kami lepak dan tidur di bilik je tunggu redup sikit lepas Asar. 

Laluan dari pantai kami diturunkan ke Pak Ya Seaview. 
Kat sini tempat tumpuan mungkin sebab agak banyak chalet. 
Nak sewa alat snorkeling, nak cari makanan ringan-ringan pun kat kawasan ni.

Bilik kami. 
Cadar dah lama, lantai berpasir, bilik air kotor, air sangat perlahan.

Satu-satunya kelebihan bilik ni adalah view dia. 
Buka pintu nampak laut dan pantai terus. 

Pantai depan bilik. Cantik kan? Cantik kan?

Petang tu terasa macam lapar, tapi kedai makan yang kami jumpa semua tak buka lagi. Ada satu gerai kecik tepi pantai jual jagung, maggi, aiskrim dan waffle. Lapar punya pasal, kami makan jagung dan maggi cup tepi pantai. Masa tu baru teringat sabun takde, ubat gigi takde, sebab datang mengejut kan. Jadi kami cuba cari kedai runcit tapi tutup. Tanya orang dan dia tunjuk satu cafe yang ada jual barang-barang keperluan peribadi macam tu. Waktu saya sampai lebih kurang jam 6.20 petang makcik kafe tu tengah marah-marah orang bagitau kafe buka pukul 6.30. Tapi saya masuk buat tak tau dan berjaya menjumpai ubat gigi. Encik Suami pegang alat snorkeling kat tepi kaunter dan kena marah juga kata bukan disewakan untuk individu. Haha.. 

Merayau sebelum makan jagung dan jumpa pantai yang tak ramai orang ni.

Kafe MakCik Garang. 
Haha. 

Sebab tak puas hati takde sabun kami ke Pak Ya Seaview balik dan Encik Suami cuba minta sabun pada staf chalet. Dapat sabun kecik 3 ketul. Jadilah. Lepas tu baru dapat mandi laut dengan tenang. Hehe..

Malam tu lepas Isya' kami ke kafe makcik garang tu balik nak makan, tapi dengan garangnya dia bagitau 'kitchen closed'. Aiyo... buka pukul 6.30 petang, 9.15 malam da tutup dapur. Kami jalan lagi ke depan dan jumpa satu restoran lain. Kakak tu dengan sopan santun bagitau staf tak cukup nak masak, jadi takleh terima pelanggan dah. Huaaaaaa nak makan apa ni? Nak taknak terpaksa patah balik ke Pak Ya Seaview (walaupun mula-mula kami tak nak makan kat situ sebab kedai dia macam tak semenggah. Kiki). Alhamdulillah ada rezeki kami malam tu, dapatlah makan kue tiaw goreng, lepas tunggu lebih sejam. Pelanggan lain yang datang dalam kumpulan lebih tiga orang tak dapat makan juga kat Pak Ya tu sebab dia kata staf tak cukup nak masak. Lepas makan sempat menyibuk tengok orang memancing dan candat sotong kat jeti. Ada gak la diorang dapat sotong katak 4-5 ekor. 

Jeti di pagi hari.

Esok pagi lepas sarapan mi maggi dan jagung sekali lagi (kesian...), kami jalan kaki konon-kononnya nak ke Bukit Singa. Ni semua hasil pengaruh sepupu yang kaki fotografi. View cantik dari atas katanya. Mungkin kami awal sangat, macam takde orang lain menuju ke Bukit Singa pagi tu. Sampai kami tanya abang-abang kedai betul ke arah kami tu. Abang tu dok bagi amaran soh hati-hati sebab kami pakai selipar. Batu tajam dan licin katanya. Laluan ke Bukit Singa lepas Qimi Resort memang agak sunyi. Rasa macam pantai tu kami yang punya, takde orang kat situ pagi tu. Abang-abang yang kami tanya kata ambil masa dalam 45 minit nak ke Bukit Singa. Kami jalan sekerat jalan dan malas, haha... jadi kami termenung layan perasaan kat pantai yang sunyi tu, main buai bawah pokok, ambil gambar lalu patah balik. Bila nak balik tu baru terserempak dua tiga orang berjalan mungkin nak ke Bukit Singa juga. 


Rasa macam menarik plak tengok batu-batu ni terhakis dengan ombak jadi macam ni.

Sunyi pantai ni pagi tu. 
Yang hujung tu Bukit Singa rasanya.. rasanyalah. Haha..

Pulau Gemia. Kat kawasan yang ada bot tu ramai orang snorkeling. 

Sampai chalet kemas-kemas sikit, tengok jam dah pukul 11.15am. Bot sampai pukul 11.30 patutnya tapi tengok-tengok dah ada bot kat jeti. Apa lagi, check out dan dengan lajunya kami berlari ke jeti takut kena tinggal.

Sekian percutian dua hari satu malam kami di Pulau Kapas. 
Insya-Allah boleh diulang lagi bersama keluarga sebab bajet yang rendah, lokasi yang tak jauh sangat dari Kuala Terengganu dan yang penting viewnya cantik.

Iklan:
Empangan Tasik Sembrong yang kami singgah sambil beraya di Johor. Cantik kan?

Friday, February 17, 2017

Seharian di Genting Highlands

Thaipusam yang lepas tanpa sebab musabab yang munasabah kami ke Genting Highlands.
Memang musykil sebab selama ni kami tak pernah berniat nak ke Genting.
Bila tanya suami dia akan kata 'buat apa nak pergi tempat judi?' kalau tanya saya, saya akan kata 'saya tak minat taman tema, taman tema ni'...
Tapi........
Tiba-tiba boleh pi tempah bilik di First World Hotel, dan tiba-tiba boleh menjejakkan kaki ke Genting.
Ketahuilah, sesungguhnya booking.com yang bersalah sebab dok tayang-tayang harga bilik RM80 sahaja. Hahaha....

Arakian tersebutlah alkisah kami bertolak pagi tersebut sebelum Subuh.
Bukanlah disebabkan bersemangat waja, tapi sebab risau jalan jem orang nak pergi Batu Caves sambut Thaipusam.
Sempat sarapan di kedai mamak sebelum menghala ke lebuhraya.
Dan tiba di Genting Highlands jam 7.30 pagi lebih kurang, sama gigih dengan pekerja-pekerja binaan di Genting nak pergi kerja.

Sambil memandu tak ketahuan hala tuju sebab nak check in macam awal sangat, tiba-tiba nampak pemandangan yang cantik Subhanallah ni.
Apa lagi, berhenti tepi jalan dan gigih ambil gambar. 

Lepas tu pusing-pusing lagi dan berhenti lagi.
Yang ni pemandangan belah lain.
Kalau cuaca cukup cerah boleh nampak kawasan yang dah membangun bawah tu, tak taulah belah mana tu, yang pastinya bukan KL sebab tak nampak KLCC.
Gigih saya mencari kot-kot nampak UIA dari atas ni, sebab dari UIA boleh nampak Genting.
Tapi tak berjaya dikesan. Hahaha..



Punyalah tak tau nak buat apa pagi-pagi tu kan, sampai bunga-bunga pun jadi mangsa kamera.
Pekerja-pekerja binaan dok lalu lalang tengok kami berdua yang entah apa-apa kejap posing kejap kesejukan tepi jalan.

Disebabkan terketar-ketar sejuk lepas tu saya pun ajak suami masuk ke First World.
Manalah tau ada pemanas api kan? Haha...
Jadi pusing-pusinglah kami dalam tu, segala tingkat kami jelajah.
Entah berapa kali ulang-alik depan kasino sambil jeling-jeling tengok polis dok check sorang-sorang yang nak masuk.
Tapi majoriti yang datang memang Chinese, yang membuatkan nak cari makanan halal pun adalah sangat mencabar.
Akhirnya sebab kelaparan kami makan Kenny Rogers tapi tak sedap. 
Musykil, takkan faktor ketinggian membuatkan ayam bertukar rasa jadi tak sedap kot.


Ni lah antara sebahagian kawasan dalam First World.

Terbaca fakta kat satu sudut tu, First World ni diiktiraf sebagai hotel terbesar di dunia sebab punya banyak jumlah bilik yang ada.
Kalau baca wikipedia jumlah bilik dia ada 7,351, siap masuk Guinness World Record lagi.
Sistem check in dia semua layan diri, klik sendiri kat Kiosk.
Disebabkan saya tempah bilik melalui booking.com, ada sorang staf standby kat info kiosk tolong check payment dari debit card/credit card dah ditolak atau belum.
Kalau payment tak settle lagi kena bayar kat reception, kalau dah settle check in sendiri kat kiosk, ala-ala macam self check in kiosk Air Asia kat airport tu.
Kalau check in awal macam kami kena tambah RM5, bayar kat kiosk tu juga. 
Lepas tu boleh pilih katil single atau double percuma, dan pilih pemandangan bilik.
Kami pilih mountain view, jadi tambah lima ringgit lagi.
Bila dah settle semua, keluarlah access card bilik kita dari mesin kiosk tu, selesai.

Pemandangan gunung dari bilik yang kami duduk tu.
Tingkap berhabuk ya ampun.

Boleh dikatakan Genting Highlands buat masa ni tak banyak tarikan sebab Taman Tema Luar yang dulu jadi tarikan utama sedang dibina semula.
Buka tingkap hotel nampak projek pembinaan, jalan kat luar pun nampak projek binaan, sana-sini penuh dengan pekerja binaan dan projek binaan.
Jadinya petang tu dalam pukul 4 lebih kami keluar dan berbelah bagi nak balik atau tak sebab kat surau kawasan rumah kami tu ada ceramah Shamsul Debat .
Sebab tak tau nak buat keputusan kami turun memandu ambil gambar sana sini dan kemudian patah balik untuk check out.

Pekerja binaan pulang petang.


Batu ni kat tepi jalan, pagi tu tak perasan kewujudan batu ni.
Entah macamana Encik Suami boleh nampak batu ni dan kemudian undur kereta pun saya tak pasti.
Kat tepi batu ni ada tangga, jadi kita boleh panjat dan bergambar-gambar dari atas tu.
Jangan tanya macamana dia berayun sebab saya pun musykil.

Pemandangan dari tepi Batu Berayun.

Dalam perjalanan turun tu ada Mini Cameron.
Bolehlah singgah membeli sayur-sayuran dan mengambil gambar bunga-bungaan yang cuma beberapa batang. Hahaha...

Salad.

 Orkidlah.

Mawar.

Selesai.
Pulanglah kami ke pangkal jalan dan mendengar ceramah malam tu dengan penuh keinsafan. Hehe...

Apa pun, walaupun penuh dengan projek binaan sana-sini bagi saya Genting Highlands berbaloi dikunjungi sebab pemandangan yang sangat cantik, dan bolehlah rasa sejuk-sejuk yang lebih sejuk dari Cameron Highlands yang dah tak berapa sejuk.

Berapa kali sejuk daa.

Bye.

Tuesday, December 27, 2016

Jalan-Jalan Johor

Ini post yang terlewat.
Maka isi ceritanya mungkin bersifat umum dan sedikit lupa-lupa kerana penulis manusia biasa yang mudah lupa. ;-p

Hari 1
Beberapa minggu lepas kami ke Johor.
Maraton ke Selatan dua minggu berturut-turut kerana minggu sebelumnya ke Singapura melawat Pak Ngah suami yang tenat.
Minggu depannya ke Johor sekali lagi memenuhi jemputan makan nasi minyak.
Kenduri pertama di Ayer Hitam, tempat popular pasu-pasu tu.
Sedara-mara Mak Mertua ramai di sini, jadi memang tiap-tiap tahun ke sini.
Setiap kali ke sini jugak gigih beli Putu Bambu Juriah yang popular tapi macam dah kureng sedap plak hari tu. Ya ampun!
Dari Ayer  Hitam kami ke Kota Masai.
Sampai Kota Masai dah pukul 4 lebih, DJ kenduri masih bercakap lagi.
Kagum la plak, DJ mana nak bercakap kat KL ni kalau tetamu pun dah tinggal berapa kerat sangat pukul 4 petang tu. Haha..
(awat yang aku dok bebel pasal kenduri kawin ni? Maaf!)

Dari Kota Masai kami ke Pontian, sebab saya ada misi nak menuntut ilmu.
Disebabkan En Suami takut kebosanan masa saya tengah belajar maka dia hasut mak mertua, abang ipar, kakak ipar, anak-anak buah ikut sekali ke Pontian.
Seminggu sebelum tu saya dah tempah hotel di Pontian melalui booking.com, tiba-tiba beramai-ramai ikut, mana pulak nak kusumbat diorang ni semua..
Mesej kawan di Pontian dia bagi nombor telefon BioVillage Homestay sebab harganya murah.
Rumah dua tingkat dua bilik RM150 satu malam. Boleh la sumbat kami 8 orang ni. Berbaloi-baloi.

Ni gambar dari FB BioVillage ni. 
Lupa nak amik gambar dalam rumah masa sampai tu, tapi memang sama macam ni.

Malam tu kami makan di BioCafe sebelah homestay ni.
Kedai makanan organik. Nescafe, Milo semua takde. Yang ada versi organik.
Ayam pun tak gebu sebab organik.
Tapi masakan dia sedap. Hehe..


Hari 2
Ini suasana pagi-pagi yang hujan agak renyai-renyai esoknya. 
Cantik sebenarnya homestay ni sebab ada padang rumput yang agak luas sebelah rumah tu. 
Macam tempat orang berkhemah kot sebab tengok FB dia ada kemudahan untuk program beramai-ramai.


 Lepas bergambar-gambar dalam renyai-renyai hujan tu, saya dan suami ke Bandar Pontian, cari sarapan pagi. 
Ada deretan gerai berdekatan dengan Dewan Jubli Intan, berhadapan dengan laut. 
Jangan berani-berani membayangkan air biru seindah lautan Pulau Redang. 
Yang ni tahap-tahap Pantai Remis, Selangor je ni. Air lumpur. Haha..

Lepas sarapan suami hantar saya ke Garden Semerah Hotel. 
Malam tadi sempat check in, tapi kami join yang lain tidur homestay
Jadi pagi ni kawan datang ke hotel bersama segala jenis bahan rujukan untuk saya hadam.

Hotel baru. Baru berusia 6 bulan.
Baby lagi. Jadi sangat bersih dan memuaskan hati.
Satu malam RM110 termasuk sarapan.
Satu je yang tak best, wifi macam siput, mungkin sebab kedudukan bilik yang saya dapat agak tersorok.

Tengahari tu kami makan di Restoran Mualaf Asli, Bandar Pontian. 
Sedap hingga menjilat jari. Asam pedas sedap, udang goreng butter sedap yang amat. Semua sedaplah senang cerita.
Gambar tak sempat nak ambil sebab gigih sangat makan. 

Dalam pukul 6 lebih sempatlah saya mengkhatamkan ilmu yang nak dituntut. 
Encik Suami balik ke hotel dan keluarga yang lain balik KL.

 Malam tu kami makan di sini, tapi saya tak ingat apa nama restoran ni.
Tak jauh dari Hotel Pontian, berdepan dengan laut. 
Malam-malam makan nasi putih+udang masak lemak cili api+capcai = RM45.
Sedap hingga menjilat jari jugak.
Dan-dan lepas makan kat sini suami cakap inilah masak lemak paling sedap dia pernah makan.

Hari 3
Pagi-pagi kami sarapan di hotel sebelum check out dalam jam 9.
Misi pagi tu nak ke Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Asia.
Dalam 30 minit perjalanan dari Bandar Pontian.
Kami guna Google Map, setkan ke Taman Negara Tanjung Piai. 
Kalau nak berpandukan signboard pun ikut arah ke Taman Negara Tanjung Piai.
Signboard Penghujung Tanah Besar Asia tu cuma wujud bila dah dekat dengan lokasi.

Encik Suami paksa ambil gambar ni sebab dia sukakan suasana pokok-pokok tepi jalan tu.
Perjalanan ke Tanjung Piai ni melalui kampung-kampung. 
Jangan bawa kereta laju-laju sangat sebab ada je pakcik-pakcik tak pakai topi keledar lalu jalan ni.
Budak-budak naik basikal ke tepi ke tengah jalanraya pun ada.
Jadi harus sopan-santun masuk kampung orang, jangan tunjuk sangat kehebatan memandu. 

 Bayaran masuk dewasa RM5. Kanak-kanak saya tak pasti.
Nanti bila dah ada anak saya akan lebih memerhati. :-)
Bukan warganegara harga lain, kalau tak silap RM20 untuk dewasa.

Ini mercu tanda Tanjung Piai. 
Haruslah bergambar kenangan di sini supaya boleh tunjuk pada sedara-mara atau upload di media sosial. ;-p

Lepas mercu tanda Tanjung Piai tu, jalan ke dalam lagi dan akan jumpa kaunter check tiket.
Tiba-tiba Encik Penjaga Tiket bagitau kawasan terletaknya platform Penghujung Tanah Besar Asia ditutup sebab air pasang besar, bukan air pasang dalam surut pukul tiga.
Kalau nak juga ke sana tunggu lebih kurang Jam 2 petang bila air dah surut.
Saya macam ala-ala kecewa sebab niat di hati datang sini nak posing kat globe Penghujung Tanah Besar tu je. Tapi takpelah, alang-alang dah sampai kita pusing-pusinglah. 

Bila jalan ke dalam sikit akan terjumpa persimpangan dilema.
Satu jalan yang lurus menuju ke wakaf (pondok?) di atas air laut, satu lagi simpang ke Penghujung Tanah Besar Asia. 
Disebabkan degil saya cakap dengan suami 'Jom kita ikut jalan gi hujung tanah besar tu dulu. Saya nak tengok dia tutup macamana'.
Encik Suami ikutkan je sebab dia sayang saya. Haha..

Boardwalk ni baru kot.
Berkilat bukan main catnya. 
Tapi sepanjang jalan lebih dari 500 meter ni cuma kami berdua je.
Maknanya orang lain tak degil dan ikut cakap Encik Penjaga Tiket.
Tapi disebabkan cuma kami berdua, macam-macam aksi kami dapat bergambar kat sini. 
Monyet pun tak sudi nak muncul gelakkan kami.

Rupa-rupanya di penghujung hutan paya bakau tu adalah sambungan laluan atas air laut.
Memang laut pasang besar sebab air hampir-hampir nak cecah laluan ni.
Tapi kan saya kata saya degil. 
Jadi saya masih bebel lagi 'Mana yang tutupnya? Takde pun tali penghadang ke signboard ke kata tutup?'
Tiba-tiba Encik Suami bersuara 'Jom patah balik. Seram pulak abang.'
Cis, potonglah dia ni.
Tak pasal-pasal saya yang tak seram jadi seram.
Tambah-tambah plak mendung-mendung ni. Hish!

Jadi kami pun patah balik dan pergi ke laluan ni.
Gambar ni arah terbalik. Kalau arah ke depan nampak pondok atas laut.

Ni gambar dari pondok tu. Kat belakang tu Pulau Karimun, Indonesia.
Kalau nak ke situ boleh naik feri dari Jeti Kukup.

Dari pondok ni nampak globe yang saya teringin sangat nak jejak tu. 
Saya pun macam dah redha je tak dapat pergi sana.
Gigih zoom kamera nak jugak tunjuk bukti saya dah sampai Penghujung Tanah Besar Asia.

Tiba-tiba masa tengah duduk-duduk dan berangan-angan nak pergi Karimun saya nampak orang lalu atas laluan ke globe tu. 
Bila saya kecik-kecikkan mata saya nampak orang bergambar kat globe tu. 
Tak boleh jadi ni. Saya nak jugak pergi situ. 
Jadi kami patah balik, singgah gi tandas. 
Jalan perlahan-lahan.
Konon-kononnya taktik tunggu air surut sikitlah. Haha..

 Sambil-sambil jalan kali kedua menuju ke globe tu, saya bebel-bebel pada suami kenapa orang dok buang sampah kat sini. 
Sebab nampak kat celah-celah pokok bakau tu penuh dengan sampah-sarap, botol, plastik dan sebagainya.
Encik suami dengan sabar jawab mungkin sampah dari laut.
Rupa-rupanya waktu nak balik saya terbaca papan informasi yang tulis paya bakau adalah perangkap sampah semulajadi.
Memang sampah dari laut, sungai, dan entah mana-mana la tu yang ikut arus ombak ke situ.
Oh, please dong, bikin malu je bebel-bebel tadi.
Nampak sangat kurang ilmu pengetahuan.

Perjalanan yang kedua tu membawa kami ke sini.
Sikit je lagi nak sampai platform globe tersebut.
Sekali lagi, gambar ni arah terbalik dari globe
Dari jauh nampak pondok yang ada tanda arah Karimun tadi.
Baru saya tau kenapa Encik Penjaga Tiket kata tutup.
Laluan tenggelam la.
Tapi tak dalam. Saya tengok orang redah.
Jadi saya pun redah jugak, dengan kasut bunga-bunga.
Kan ke dua hari lepas gi kenduri.
Memang kasut bunga-bunga je lah yang saya ada nak bawak meredah hutan paya bakau. Haha..

Ok dah sampai.
Abaikan basikal tu. Ada Mat Saleh naik basikal tengah seronok guna laptop kat sini.
Musykil sungguh rasa kenapa saya tak nampak signboard 'Tahniah, anda berada di Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Asia'
Bila fikir-fikir balik mungkin ada belakang Mat Saleh tu tulisan tu.
Tapi sebab saya malu dengan dia, takdelah kubelek-belek belakang dia ada apa. Haha..
Tapi bila saya tengok google image, nampak macam platform ni dah mengecil.
Gambar-gambar dulu nampak lagi besar.
Mungkinkah kemusnahan pernah berlaku? ;-)

Kalau kita belek peta Asia ni kita boleh nampak betapa uniknya kedudukan Malaysia ni. 
Ada beza antara Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Asia dengan Penghujung Paling Selatan Benua Asia - berada di Pulau Pamana, Indonesia. 
Boleh jenguk wikipedia untuk maklumat lanjut.

Kami keluar dari Tanjung Piai ni lebih kurang pukul 11 lebih mungkin.
Patah balik ke Pontian dan makan lagi di Restoran Mualaf Asli.
Nampak sangat kecanduan kesedapannya. 
Bukan saya, orang sebelah. Haha..

Lepas makan Encik Suami kata 'jom kita pergi penghujung belah sana plak'
Sebab kami sekarang berada di penghujung Malaysia belah Barat - Kukup.
Maka dengan gigihnya kami teringinlah nak tau yang penghujung belah Timur tu ada apa.

Maka memandulah kami ikut Google Map, masuk Felda ke apa entah banyak ladang sawit lalu muncul di Lebuhraya Senai-Desaru.

Sampai R&R kami berhenti minum dan terjumpa peta ni kat dinding.
Ok bagus, tau lah kami mana nak tuju.

Lepas berehat-rehat seketika, saya ambil giliran memandu, dan baru je belum jauh perjalanan, saya ternampak jambatan tinggi yang amat kat depan lalu menjerit 'alamak, macam gayat je nak lalu jambatan tu.'

 Gambar pinjam The Star Online.

Saya memandu tak tengok kiri kanan, gayat punya pasal.  
Padahal hati meronta-ronta nak tengok apa ada bawah tu.
Encik Suami gigih berswafoto sambil bebel 'entah apa yang digayat sangat pun tak faham'. 
Hahaha..

Gambar pinjam orang punya

 Rupa-rupanya macam ni keadaan bawah tu.
Malam tu bila lalu balik jambatan ni sebagai penumpang saya dengan semangat waja kekaguman, siap tanya 'ni sungai ke laut? Kalau sungai kenapa ada kapal besar?'
Ni Sungai Johor ye kawan! 
Kalau rasa macam musykil sila tengok balik gambar peta yang saya jumpa kat R&R tadi.

Jalan punya jalan sampailah kami di Desaru.
Ada banyak hotel dan resort sepanjang pesisir laut tu yang membuatkan pantainya jadi private beach.
 Di hujung perjalanan baru terjumpa pantai awam.
Nak masuk kena bayar parking 4 ringgit ok.
Haha, jenuh dok fikir ada ke pantai lain kat Malaysia kena bayar parking? 

Ini pantainya.
Cantik dan bersih.
Biru airnya.
Berbeza sungguh air Laut Cina Selatan dengan Air Selat Melaka kat Tanjung Piai dan Pontian tadi.
Ombak agak kuat, tapi saya tengok ramai je orang mandi, walaupun ada bendera merah kat pantai.

Lepas amik gambar berkeping-keping, minum seketika di gerai tepi pantai (tak banyak gerai pun kat sini), kami menuju ke kereta dan memandu lagi. 
Nak pergi mana tak tau, ikut je langkah.

Sempat singgah di Batu Layar.
Biasa je pantainya, tapi masih kategori lebih cantik dari Selat Melaka.
Desaru tadi cantik lagi.

Pemandangan sepanjang perjalanan antara Batu Layar ke Tanjung Punggai.
Macam biasalah kalau ikutkan hati nak je saya ambik gambar ala-ala Hindustan kat celah-celah lalang tu.
Tapi macam malu la pulak nak bagitau Encik Suami. Haha..
Ni pun dia dah cukup baik hati berhenti tepi jalan bagi saya peluang ambik gambar lalang.

Kami singgah seketika di Tanjung Punggai tapi tak turun kereta.
Ada banyak chalet dan resort di sini.
Saya gigih cakap nak pergi Teluk Ramunia.
Jangan tanya kenapa, rasa macam familiar nama tu. 
Tapi tak tau baca kat mana, rasa macam masa kecik-kecik baca buku cerita Lanun ada sebut Teluk Ramunia. 
Sila abaikan. Mengarut lagi lah tu sebab ingatan bersimpang-siur.

Kami teruskan perjalanan.
Lalu Teluk Ramunia tapi konfius mana pantainya yang cantik.
Akhirnya sampai ke Rengit.
Gigih lagi nak tau ada apa lepas Rengit, tapi belakang-belakang tu dah tak nampak apa yang menarik.
Ada pelantar minyak.
Ada macam pelabuhan, tapi tak pasti betul ke pelabuhan.

Jalan ni menuju ke tempat yang saya kata nampak macam pelabuhan tu. 
Tapi tak pasti betul ke tak.
Jadi kami patah balik.

Rupa-rupanya makin ke dalam air laut makin kusam.
Mungkin sebab ada pelantar minyak.
Mungkin sebab ada pelabuhan.
Tak pastilah kenapa.

Kami singgah makan seafood di sebuah gerai tepi pantai di Rengit.
Nampak tak, majoriti yang makan kat sini 'Orang Minyak'.

Ini pantai tepi gerai makan tu.
Nampak warna air dia?
Yang ni ok lagi.
Makin jauh dari sini, makin berlumpur airnya.
Dari jauh nampak pelantar minyak.

Jam dah mencecah angka 6 masa kami tiba di Rengit.
Saya goda-goda suami 'kalau penat apa kata kita cari hotel tido. Esok baru balik.'
Tapi nampaknya godaan tak mendatangkan hasil.
Kami bertolak pulang petang tu juga dan tiba di KL hampir jam 12 malam sebab tengok Google Map jalan jem teruk, lalu kami berhenti di R&R Pagoh dan bersantai-santai sekian lama sebab malas nak redah jem.

Sekian.
Jumpa lagi di percutian akan datang.
(Kau ingat ni rancangan TV?)
Dah dah, gi baca buku. ;-)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...