Kalau ada orang pernah jatuh cinta pada suatu karya seni, lalu sanggup merentasi lautan untuk mendapatkannya, maka sayalah orang itu.
Andrea Hirata tidak menggambarkan cinta dengan ucapan-ucapan klise kegemaran penulis-penulis masa kini. Dia membuatkan saya berada di langit nan biru dengan gambaran realiti sebuah cinta seperti ini:
Orang asing
Kerana karya-karya Andrea Hirata, saya tersenyum sendirian, menangis sendirian dan tertawa terbahak-bahak juga sendirian. Di dalam kamar, di gerabak komuter, di hentian bas, di stesyen keretapi, saya dibuai emosi dengan indahnya untaian kata, dan dilanda kagum dengan kehebatan ALLAH yang Maha Pencipta kerana menganugerahkan bakat kepada seseorang yang tidak pernah punya pendidikan sastera untuk menghasilkan tulisan-tulisan nan agung itu.
Daripada Lasykar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor, Maryamah Karpov, Padang Bulan sehinggalah kepada Cinta Di Dalam Gelas, tidak pernah ada satu pun karyanya yang membuatkan saya kesal menjadi pengikut setianya.
Karya-karya Andrea Hirata bukanlah mirip Ayat-Ayat Cinta yang Islami, atau mirip Jaja & Din yang tampak jelas jalan hidup dan cintanya, atau seperti 9 Nyawa yang memang sah diklasifikan sebagai novel thriller. Tapi nukilan-nukilan Andrea Hirata ini mampu memberikan semua kesan-kesan yang boleh didapati daripada semua genre novel yang tersebut di atas. Ia tidaklah seperti drama Melayu tipikal yang tidak pernah lari daripada cinta, cemburu dan hasad dengki semata-mata, tetapi ia adalah gabungan kebijaksanaan ilmu Sains, Fizik dan Matematik, gabungan pemerhatian pada tingkah laku dan budaya manusia, gabungan unsur-unsur cinta pada pengetahuan dan kehidupan, gabungan unsur-unsur kepercayaan pada diri sendiri dan nilai-nilai positif manusiawi yang diolah dengan susunan bahasa kualiti tinggi dan diselang-selikan dengan humor dan suspen.
Andrea Hirata tidak membuatkan saya terawang-awang kerana jalan cerita watak-wataknya, tetapi dia membuatkan saya teruja dan terpesona kerana keindahan bahasanya. Misalnya dalam menggambarkan kasih sayang Ikal pada ayahnya, dia menulis begini:
‘.....ayahku, ayah juara satu dunia, arkitek kasih sayang yang tak pernah bicara, selalu mampu menggubah hal-hal sederhana menjadi begitu mempesona’
(Dibungkus Tilam, di Atas Nampan Pualam: Maryamah Karpov)
(Dibungkus Tilam, di Atas Nampan Pualam: Maryamah Karpov)
‘Ayah melepaskan kami seperti tak akan melihat kami lagi. Bagi ayah, Eropah tak terbayangkan jauhnya. Ayahku yang pendiam, tak pernah sekolah, puluhan tahun menjadi kuli lombong. Paru-parunya disesakkan gas-gas beracun, nafasnya berat, tubuhnya keras seperti kayu. Dia menatap kami seakan kami hartanya yang paling berharga, seakan Eropah akan merampas kami daripadanya. Air matanya mengalir perlahan. Aku memeluk ayahku, ayah yang kucintai melebihi apa pun, tangannya yang kaku merengkuhku. Betapa aku menyayangi ayahku.’
(Sapu Tangan: Edensor)
‘Air mataku meleleh. Ayahku adalah hal terbaik yang pernah terjadi dalam hidupku. Aku rindu pada ayahku, sangat rindu.’
(Surat daripada Ayahku: Edensor)
(Surat daripada Ayahku: Edensor)
Andrea Hirata tidak menggambarkan cinta dengan ucapan-ucapan klise kegemaran penulis-penulis masa kini. Dia membuatkan saya berada di langit nan biru dengan gambaran realiti sebuah cinta seperti ini:
‘Jika kau berjumpa dengan Zakiah, tak perlulah banyak kata, boi, tak perlu banyak lagak, tak perlu bawa bunga segala. Cukup kau tunjukkan raut muka bahawa kau bersedia menyuapinya nanti jika dia sakit, bersedia menggendongnya ke kamar mandi jika dia sudah renta tak mampu berjalan. Bahawa, kau, dengan segenap hatimu bersedia mengatakan di depannya betapa jelitanya dia, meski wajahnya sudah kerepot seperti jeruk purut, dan kau bersedia berada di situ, tak ke mana-mana, di sampingnya selalu, selama 40 tahun sekalipun….’
(Janji Setia Empat Puluh Tahun: Maryamah Karpov)
Dia membuatkan saya jatuh kasih pada Arai, sepupu Ikal yang digambarkan seperti ini:
‘Aku ingin membahagiakan Arai. Aku ingin membuat sesuatu seperti yang dia lakukan pada Jimbron. Seperti yang selalu dia lakukan padaku. Aku sering melihat kasutku yang menganga seperti buaya berjemur tahu-tahu sudah tersambung kembali, Arai diam-diam memakunya. Aku juga selalu hairan melihat butang bajuku yang tertanggal tiba-tiba lengkap semula, tanpa banyak cakap Arai menjahitnya. Jika terbangun malam-malam, aku sering mendapati aku sudah berselimut, Arai menyelimutiku. Belum terhitung kebaikannya waktu dia membelaku dalam perkara rambut belah tengah Toni Koeswoyo ketika aku masih di sekolah rendah dahulu.’
(When I Fall in Love: Sang Pemimpi)
‘Aku memeluk pahlawanku itu kuat-kuat. Dia masih berdiri di depanku, tapi aku telah merindukannya. Dadaku sesak menatap belakang Arai yang menjauhiku. Air mata menepi di pelepukku.’
(Turnbull: Edensor)
(Turnbull: Edensor)
Dan dia membius saya dengan puisi-puisinya yang indah:
Orang asing
Orang asing
Seseorang yang asing
Berdiri di dalam cermin
Tak kupercaya aku pada pandanganku
Begitu banyak cinta telah mengambil dariku
Aku kesepian
Aku kesepian di keramaian
Mengeluarkanmu dari ingatan
Bak menceraikan angin dari awan
Takut
Takut
Aku sangat takut
Kehilangan seseorang yang tak pernah kumiliki
Gila, gila rasanya
Gila kerana cemburu buta
Yang tersisa hanya kenangan
Saat kau meninggalkanku sendirian
Di bawah rembulan yang menyinari kota kecilku yang ditinggalkan zaman
Sejauh yang dapat kukenang
Cinta tak pernah lagi datang
Bulan di atas kota kecilku yang ditinggalkan zaman
Bulan di atas kota kecilku yang ditinggalkan zaman
(Puisi: Padang Bulan)
Andrea Hirata adalah seniman kata-kata. Yang menulis dengan hati, bukan dengan salah benar percaturan sasterawi.
Sungguh, saya jatuh cinta.
No comments:
Post a Comment