Tuesday, August 30, 2011

Yeayyy!!! Saya Bukan Anak Angkat!!!

Saya terpaksa mengaku yang saya mempunyai beberapa kebodohan yang agak memalukan. Antaranya, saya baru sahaja mengetahui jenis darah saya, pada usia yang hampir mencecah 28 tahun. Balik dari klinik, dengan bersemangat wajanya kerana baru mengetahui jenis darah, saya pun bertanya kepada adik saya:

Saya : Lim, darah ko jenis apa?
Adik : O. 
Saya : Hu? Kenapa kakak A?
Adik : Sapa cakap?
Saya : Doktor la cakap. Kakak baru check blood type tadi.
Adik : Bodoh gila doktor tu. Kenapa tak sama dengan aku? Darah daddy O juga tau. Abis la, ko mesti
          anak angkat.
Saya : Mak?
Adik : Apa pulak, ikut jenis darah bapak la, suka-suka hati ko je nak ikut mak.
Saya : Kenapa kakak lain? 
Adik : Malas aku nak ulang, terima je la kenyataan ko anak angkat.
Saya : Peliknya. 
Adik : Tu la, dulu mak ambil ko dari Muthusamy jadikan anak angkat.
          Terima je la kenyataan kak.
Saya : Ko jahat. Tipu lah.
Adik : Kalau betul ko anak angkat macamana?
Saya : Sedih lah. Belum betul pun da nak nangis ni. Tapi daddy cakap darah Wak Salam (pakcik saya) pun
          A juga. Maknanya adik beradik tak semestinya sama.
Adik : Kalau macam tu maknanya ko anak Wak Salam.
          Nanti raya aku anta ko balik rumah bapak ko.
Saya : Kejam. Huhu...

Agak musykil, walaupun saya sangat yakin saya adalah anak kandung ibu bapa saya, tapi saya masuk ke dalam bilik air dan menangis selepas perbualan tersebut. Tiba-tiba teringat cerita Autumn in My Heart, tiba-tiba terfikir kalau betul saya anak angkat, macamana, saya sayangkan mak, daddy dengan Halim, saya tak nak ada keluarga lain. Sambil terasa nak gelakkan diri sendiri, saya menangis beria dalam bilik air. Macam tu rupanya perasaan seseorang apabila tiba-tiba mengetahui yang dia adalah anak angkat.

Kerana tidak puas hati dengan confident level Halim yang terlampau tinggi, saya pun meng'google' la maklumat mengenai jenis darah, dan menemui website ini. Jenis darah manusia terbahagi kepada 4 jenis iaitu A, B, AB dan O bergantung kepada antigen yang mereka miliki. Antigen A dan B adalah dominan. Ini bermakna jika seorang individu mempunyai antigen B dan O, antigen B akan lebih bersifat dominan terhadap O dan darah individu tersebut akan react sebagai darah jenis B.

Seorang anak boleh berkemungkinan untuk mempunyai jenis darah yang berlainan daripada ibu bapanya. Sebagai contoh, jika kedua ibu bapa mempunyai jenis darah yang sama iaitu B dan mempunyai antigen BO, anak mereka berkemungkinan berdarah BB (antigen B diwarisi daripada kedua ibu bapa), BO (antigen B daripada ibu dan O daripada ayah atau vice verca), atau OO (antigen O daripada kedua ibu bapa). Ini bunyinya macam agak simple. For more complicated version, boleh rujuk sini.

Maka saya dengan ini membuat kesimpulan bahawa, yeayy!!! Saya sangat yakin yang saya bukan anak angkat. Budak nakal tu, siap dia nanti!! ;-)

Rujukan:

Moral of The Story: 
Akibat ambil Sains Teknikal masa SPM dulu, percuma saya kena tipu bulat-bulat dengan Halim. Kalau dulu-dulu saya ambil Sains atau Biologi mesti saya lagi bijaksana bila kena buli bab-bab macam ni. Huhu.
Lain kali banyak-banyak la membaca perkara yang bukan bidang kita ye. ;-)

p/s: Sila abaikan allignment and balancing yang tonggang terbalik dalam dialog tu. Penat dah betulkan tak berjaya. :(

Wednesday, August 24, 2011

Khutbah Terakhir Rasulullah S.A.W


Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesumgguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
(Khutbah ini disampaikan oleh Rasullah s.a.w pada 9hb Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah,Gunung Arafah.)

Tuesday, August 23, 2011

Tazkirah untuk Diri Sendiri di Hari Selasa

  • Sentiasalah berbaik sangka kepada ALLAH s.w.t. DIA yang menciptakan kita. DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Mungkin kita merasakan apa yang berlaku kepada kita hari ini tidak adil, tetapi tahukah kita bahawa mungkin apa yang berlaku hari ini itu ada kebaikannya pada masa akan datang?
  • Jangan pernah berputus asa dalam berdoa kepada-NYA. DIA lebih tahu masa yang terbaik untuk memakbulkan doa kita. 
Saya berdoa untuk menjadi seorang pendidik sejak tahun 2004, tetapi baru dapat menceburi bidang itu tahun ini. Selepas berusaha menghantar resume, menghadiri temuduga dan mengisi borang jawatan kosong di pelbagai institusi setiap tahun. Saya percaya ada hikmahnya. Tanpa tahun-tahun yang berlalu itu, saya mungkin tidak akan pernah mempunyai pengalaman industri, saya mungkin tidak akan pernah mengenali teman-teman rapat di PSDC yang saya anggap seperti keluarga sendiri, dan saya mungkin tidak akan pernah mempunyai pengetahuan yang cukup mendalam tentang industri perkhidmatan profesional. ALLAH biarkan saya melalui semua pengalaman itu sebelum memakbulkan doa saya kerana DIA tahu itu yang terbaik untuk saya.
  • Tanamkan sikap berbaik sangka sesama manusia. Setiap manusia boleh berubah. Seseorang yang kita lihat buruk perilakunya pada hari ini mungkin boleh jadi lebih baik daripada kita di kemudian hari.
Saya pernah mengenali seseorang di YM yang membuatkan saya sangat tertarik kepadanya (bukan kerana rupanya, tetapi kerana keceriaannya). Disebabkan perasaan ingin tahu yang tinggi dan ingatan untuk berhati-hati dengan insan-insan yang dikenali di alam maya, saya bersama seorang rakan me'nyekodeng' myspace nya. Saya sangat terkejut dan belajar untuk mengawal hati pada waktu itu. Rakan-rakannya, bahasanya, gambar-gambarnya di myspace itu membuatkan saya mengucap panjang dan terus membatalkan hasrat untuk mengenalinya dengan lebih rapat. Tetapi Alhamdulillah, hari ini dia sudah berubah. Sudah tiada kata-kata ganas dan kesat lagi, sudah rajin mendekatkan diri pada ALLAH, sudah tidak tinggal puasa lagi, dan insya-ALLAH akan melangsungkan perkahwinan dengan gadis yang sederhana dan bertudung tidak lama lagi. Apa yang berlaku ini benar-benar membuatkan saya menginsafi diri. Sesungguhnya hidayah itu milik ALLAH. Saya tidak punya apa-apa hak untuk menilai baik buruknya manusia.
  • Berkawanlah dengan semua orang, kerana sesungguhnya ada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada setiap orang yang kita kenali.
Saya mengaku dahulunya saya seorang yang agak memilih kawan. Kawan-kawan saya adalah yang sejenis dengan saya. Tetapi kemudiannya saya menyedari tidak semua orang yang pakai skirt pendek itu, yang rambut blond itu, yang berbaju sendat itu tidak baik. Saya pernah mengenali seseorang yang berpakaian dedah-dedah sebegitu (sekarang tidak lagi) dengan sangat rapat. Dia berkahwin dan kemudiannya menghadapi masalah rumah tangga yang sangat mencabar. Tetapi kesabaran, kekuatan dan keredhaannya dalam menghadapi kemelut itu cukup hebat sehingga saya percaya belum tentu saya temui di dalam 50 wanita bertudung labuh, ada seorang yang mempunyai kesabaran sehebatnya. Dari dia saya belajar bahawa pakaian kita bukan 100% menentukan sifat sebenar kita.
  • Ibu bapa adalah harta paling berharga yang ALLAH berikan kepada kita. Walaupun kita kehilangan seluruh kasih sayang di atas muka bumi ini, kasih sayang ibu bapa akan sentiasa bersama kita, walau di mana pun kita berada.
Saya hanya mempunyai dua orang adik beradik. Mungkin kerana jumlah anak yang kecil ini, ibu bapa saya sentiasa mahu tahu di mana saya berada, pukul berapa saya tiba di rumah dan mengapa saya pulang lewat dari kerja. Ada suatu ketika saya merasakan kenapa pada umur yang begini saya masih perlu melaporkan semua itu. Tetapi kemudiannya saya sedar, kasih sayanglah yang membuatkan mereka sangat mengambil berat tentang saya. Kasih sayang mereka terlalu ikhlas untuk dipersoalkan. Walaupun mungkin tiada orang lain yang mahu mengingati saya, tetapi mereka tanpa gagal akan sentiasa mengingati dan menghubungi saya setiap hari. (ini kes terbalik, bukan anak telefon mak ayah, mak ayah yang telefon anak setiap hari)
  • Cuba elakkan daripada mencampur adukkan hubungan persahabatan dan kekeluargaan dengan wang ringgit.
Hubungan persahabatan yang harmoni boleh jadi beku hanya kerana wang ringgit. Apabila kita redha untuk meminjamkan wang kepada sahabat atau ahli keluarga, sematkan di dalam hati bahawa kita mungkin tidak akan mendapat wang kita kembali dan kita mesti rela untuk menghalalkannya. Ini yang selalu saya tanam dalam hati, dan selalu berjaya menyelamatkan sesuatu hubungan, andai jumlah yang dipinjamkan kecil. Kalau banyak 'tak dapek den nak nolong'. 
  • Keislaman kita bukan hanya terletak kepada solat 5 waktu tak tinggal, mengaji Al-Quran setiap hari, bertudung dan berpuasa di bulan Ramadhan semata-mata. Penghayatan dan kefahaman kita tentang intipati agama itu, dan kesedaran kita tentang mengapa kita perlu melakukan itu dan ini, dan mengapa dilarang mengerjakan itu dan ini adalah sangat penting di dalam menyelamatkan akidah kita.
Aishah Bukhari yang dikatakan murtad pada tahun 1997 adalah seorang yang bertudung, hafal surah Yaasin dan beberapa surah yang lain, solat tidak tinggal dan mengikuti kumpulan dakwah ketika belajar di ITM. Persoalannya bagaimana dia boleh murtad? Nauzubillah min zalik. Sungguh saya takut untuk berlebih-lebihan mengomen dalam bab ini. Sama-samalah kita menghayati Islam yang sebenar-benarnya, menyedari bahawa sesungguhnya Allah itulah pemilik segala-galanya dan mempercayai dengan hati, jiwa dan raga bahawa hidup kita bukan setakat di sini, tetapi ada akhirat yang lebih kekal dan abadi.
Amalkanlah doa ini, semoga hidup dan mati kita kekal di dalam Islam.
'rabbana la tuzigh qulubana ba'da iz hadaitana wahab lana min ladunka rahmah, innaka antal wahab'
'Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami rahmat dari sisi Engkau, Kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (Kurnia). -al-Imran; 8-

Friday, August 19, 2011

Pesan Asma' Bin Kharijah al-Fazzari Pada Hari Perkahwinan Anak Perempuannya

Pada saat Asma' Bin Kharijah al-Fazzari menghantar anak perempuannya ke alam perkahwinan, inilah yang dikatakannya:

" Wahai anakku, 
saat ini dikau keluar dari sangkar emasmu,
menuju ranjang yang tak kau kenali,
dan teman yang engkau belum terbiasa dengannya.
Kerana itu,
Jadilah dikau buminya,
maka dia akan menjadi langitmu.
Jadilah dikau permaidaninya,
dan dia akan menjadi tiang sandaranmu.
Jadilah dikau hambanya,
maka dia akan menjadi sahayamu.
Janganlah engkau menentangnya,
kerana dia akan membencimu.
Dan janganlah engkau menjauhi dia,
kerana dia akan melupakanmu.
Jika dia mendekatimu,
maka mendekatlah dikau kepadanya.
Jika dia menjauhimu yakni kerana marah padamu,
maka menjauhlah dikau daripada dia.
Anakku,
Jagalah olehmu perciuman, pendengaran dan penglihatannya...
Janganlah biarkan dia mencium daripadamu,
kecuali aroma yang harum-harum sahaja
Janganlah biarkan dia mendengar kata darimu,
kecuali yang baik-baik sahaja
Janganlah biarkan dia memandang daripadamu,
kecuali yang indah-indah sahaja."

...'dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.' (an-Nissa' 4:19)



Thursday, August 11, 2011

Laskar Pelangi

Lagu ni bukan lagu baru.
Saya dah dengar beratus kali mungkin.
Tapi saya tetap sukakannya.
Tetap terkesan dengan liriknya.
Tetap terbuai dengan iramanya.



Mimpi adalah kunci
Untuk kita menaklukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya

Laskar Pelangi takkan terikat waktu
Bebaskan dirimu di angkasa
Warnai bintang di jiwa

Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah syurga
Bersyukurlah pada Yang Kuasa
Cinta kita di dunia selamanya

Cinta kepada hidup
Memberikan senyuman abadi
Walau hidup kadang tak adil
Tapi cinta lengkapi kita

Laskar Pelangi takkan terikat waktu
Jangan berhenti mewarnai
Jutaan mimpi di bumi

Laskar Pelangi takkan terikat waktu


Nota Kaki: 
Kesimpulannya, jangan pernah berhenti untuk bermimpi!


Friday, August 5, 2011

Jalan-Jalan Bukit Cahaya Seri Alam

Semenjak dua menjak ini, kelihatannya cycling telah menjadi trend. Bila login Facebook, masing-masing beli basikal baru yang canggih, dan berbasikal berkilo-kilometer sehari. Disebabkan saya tidak pernah mempunyai peruntukan untuk membeli basikal, tetapi sibuk juga nak naik basikal, maka saya membawa sepupu-sepupu yang disayangi ke Taman Botani Negara (dahulunya dikenali sebagai Taman Pertanian Malaysia, Bukit Cahaya Seri Alam) terletak di U10 Shah Alam, Selangor untuk cuba-cuba mengeluarkan peluh dengan berbasikal.

Taman Botani Negara ini ada kenangannya tersendiri pada saya. Di sinilah tempat saya menjalani latihan praktikal sewaktu diploma dahulu, sekitar tahun 2003. Pada waktu itu keadaanya Ya Ampun, tak boleh nak komen. Walau bagaimanapun keadaan taman ini pada waktu itu, ia masih dapat menarik perhatian banyak pihak antara lainnya yang sempat saya ikuti pada tempoh itu adalah filem Pontianak Harum Sundal Malam, Explorace dan iklan Ford (kalau tak silap) yang penggambarannya dijalankan di sini.

Selepas hampir 8 tahun tidak mengunjungi taman ini, saya berharap keadaannya sudah diperbaiki. Dan apabila mengunjunginya, kelihatan usaha sedang dijalankan untuk mengindahkan kembali taman ini, walaupun masih sangat di peringkat permulaan. Bayaran masuknya masih sama iaitu RM3 untuk dewasa, dan RM1 untuk kanak-kanak. Bayaran untuk basikal pula mengikut kategori, iaitu RM5 bagi basikal dewasa (macam basikal ada umur pula bunyi ayat ni) pada satu jam pertama dan RM3 untuk basikal kanak-kanak. Jam seterusnya dikenakan kadar caj yang lebih murah. Kalau anda bukan yang suka mengayuh, ada perkhidmatan bas percuma disediakan.

inilah ahli-ahli rombongan yang memainkan peranan utama mengugut saya untuk membawa mereka cycling

Lokasi pertama yang kami tuju. Tasik ini adalah lokasi untuk flying fox dan berdekatan dengan tapak perkhemahan.

disebabkan saya sangat suka melihat air dan kehijauan, jadi mereka terpaksa redha apabila tempat-tempat tujuan utama saya adalah yang berkaitan dengan air.


Ini tarikan tambahan. Waktu saya praktikal dulu tiada tapak permainan ini. Tapi siapa pula yang nak meluangkan masa lama-lama main gelongsor lepas penat berbasikal ye?

bayaran masuk ke Rumah Iklim ini RM3 bagi dewasa, dan RM1 bagi kanak-kanak. Tapi kami masuk percuma sebab under renovation. Budak-budak tu suka la sebab sejuk.

replika Rumah Melayu ini juga tarikan baru. Sangat comel dan sangat digemari oleh Dina (baju merah).

kerana kehijauannya, Taman Hiasan ini menjadi lokasi menarik untuk bergambar.

Saya sangat suka gambar ni. ;-)

Rumah pokok ini sangat menarik untuk mereka yang baru pertama kali datang. Tapi kurang menarik bagi saya sebab gayat bila nak turun. ;-)

tasik ini terletak berdekatan dengan rumah pokok tersebut. Jadi sebab saya gayat saya duduk je la bawah tengok tasik sementara mereka gigih memanjat rumah.

ini juga tarikan baru. 
p/s: cuba tengok muka budak ni.

comel kan dia? tadi sampai ternganga main benda alah tu. Sekarang sengih-sengih riang pulak.

mereka telah kepenatan.

turun bukit memanglah senyum. Tak payah kayuh pun.

Ini lokasi terakhir kami.
Sawah padi ini selalu mengecewakan saya. Dah 8 tahun pun takde juga padi.
Kelihatan berhadapan dengan sawah ini, kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan.

Secara keseluruhannya, daripada 10, saya berikan 5 markah kepada taman ini. Walaupun tidak semua tarikannya berada di dalam keadaan baik, tetapi sesetengahnya kelihatan sudah diperbaiki berbanding dengan dahulu. Saya berharap dalam masa 5 tahun lagi, apabila saya ke sini semula, taman ini mampu mengembalikan era kegemilangannya pada tahun 90-an.

Apa-apa pun kami gembira kerana telah berjaya mengeluarkan peluh dengan jayanya. Rasa macam turun 3 kilo lepas balik dari sini. ;-)


Monday, August 1, 2011

Lakukanlah Kebaikan Walaupun Kecil...


Saya agak insaf menonton 'Lau Kana Bainana' di TV Al-Hijrah malam semalam. Untuk sesiapa yang tidak pernah menonton rancangan ini, ia adalah rancangan berbahasa Arab, ala-ala Bang Bang Boom versi baik. Kalau Bang Bang Boom kerjanya asyik nak mengenakan orang, Lau Kana Bainana ini menggunakan akhlak yang dianjurkan Nabi S.A.W sebagai temanya.

Contoh, episod malam semalam berkisar kepada tema ini 'Lakukanlah kebaikan walaupun kecil kerana kita tidak tahu amal kebaikan kita yang manakah yang akan membawa kita ke syurga'. Ini boleh dikaitkan dengan entry saya berkenaan ikhlas sebelum ini. Apa yang ditunjukkan di dalam episod tersebut adalah perbuatan menutup paip air yang terbuka. Air paip di tandas awam dibiarkan mengalir, dan di antara ramai-ramai orang hanya 2,3 orang yang menutupnya. Kebanyakan yang tidak peduli beralasan 'tak perasan' manakala sebahagian yang lainnya mengatakan itu bukan tugas mereka. Apa yang cuba disampaikan dalam episod itu amat menusuk jiwa saya. Pernah dengar cerita seorang pelacur yang masuk syurga hanya kerana memberi makan kepada seekor anjing? Itulah dia, amalan kebaikan yang sangat kecil, seperti menutup pili air daripada dibiarkan membazir, atau memberi minuman dan makanan kepada haiwan yang kelaparan, andai dilakukan dengan ikhlas, mungkin itulah yang akan menjanjikan kita syurga. Seperti kata pengacara rancangan tersebut, mungkin kita solat tidak tinggal, fardhu, sunat, berpuasa, membayar zakat, tapi mungkin ada terselit rasa riak di situ, mungkin ada terselit pengharapan untuk mendapatkan balasan di situ, dan kemudiannya menjauhkan kita dari syurga ALLAH. Tetapi sebuah amalan kecil yang kita secara tidak sedar melakukannya itu, mungkin itulah yang akan mendekatkan kita pada jannah.

Saya insaf. Bila fikir-fikir balik, andai saya terjumpa paip air dibiarkan mengalir, adakah saya akan menutupnya? Andai terjumpa duri yang menghalang perjalanan adakah saya akan membuangnya? Semoga sedikit keinsafan ini membuahkan amalan yang baik di kemudian hari.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...