blog ni da bertukar jd blog cinta pulak secara tiba-tiba....
Saya baru sahaja menyudahkan membaca karya Hamka - Di Bawah Lindungan Ka'bah. Karya kedua Hamka yang telah saya baca selepas Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Entah kenapa selepas membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, saya terasa perlu memiliki karya-karya Hamka. Ada sesuatu yang ingin saya cari dari tokoh besar tanah seberang itu. Membaca sejarah hidup Professor Hamka, membuatkan saya terasa perlu untuk menhormati hasil kerjanya.
Saya mengenali nama Hamka sejak zaman sekolah lagi, mungkin kerana minat saya mengumpul kata-kata bijak pandai, dan kata-kata Hamka antara yang terdapat dalam koleksi saya. Tetapi hanya baru-baru ini saya membaca hasil kerjanya. Pertama kali membaca Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, terus-terang saya mahu tertidur. Keindahan sastera klasik itu tidak masuk langsung ke dalam akal fikiran saya. Tetapi entah di mana pesonanya, karya itu berjaya saya khatamkan. Dan semakin saya menjiwai karya-karya Hamka saya mula dibuai asyik. Karya sebegini mungkin sudah tidak dapat dihadam lagi oleh jiwa orang muda zaman ini. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck pertama kali diterbitkan pada tahun 1937. Maka tidak hairanlah susunan bahasanya sebegitu. Tetapi susunan bahasa yang begitu-begitulah yang mendayu-dayu memenuhi ruang hati saya.
Akan tetapi hari ini selepas menyudahi Di Bawah Lindungan Ka'bah, saya terfikir, 'kenapa ya, cinta watak-watak di dalam kedua-dua karya Hamka ini tidak pernah dapat bersatu?'.
'Buya Hamka, apakah cinta suci dan murni di dunia ini memang wujud untuk tidak disatukan?'
'Cinta tidak semestinya bersatu'... Hakikatnya, saya kurang gemar dengan ayat cinta yang bunyinya sungguh klise ini. Mereka-mereka yang lahir pada tahun 80-an dan pernah mengikuti majalah Gila-Gila tentunya sudah lali dengan ungkapan ini yang sinonim dengan kartun Liza vs entah siapa'.
Dan kemudiannya muncul satu lagi kesimpulan yang bunyinya juga klise daripada kedua-dua karya Hamka ini. 'Enggang dan Pipit tidak mungkin dapat Bersatu'.
Saya cuba menafikan hakikat ini pada mulanya. Tetapi kemudiannya saya terpaksa menerima kenyataan. Dua kesimpulan yang saya buat daripada kedua-dua karya Hamka ini adalah realiti.
Cinta tidak semestinya bersatu kerana walau bagaimana dalam pun cinta kita, kuasa penentu penyatuan cinta itu tetap pada ALLAH. Hanya DIA yang tahu siapa yang sesuai untuk setiap hamba-hamba-NYA. Kita cuma mampu merancang, tetapi penentu akhirnya tetap DIA. Siapalah kita, sekadar hamba yang mahu menentukan mancung atau peseknya hidung kita pun kita tidak berupaya. (kecuali mereka-mereka yang mengubah ciptaan-NYA dengan melakukan pembedahan plastik).
Dan 'Pipit dengan Enggang Sukar untuk Bersatu' itu bergantung kepada keadaan, dan kepada 'kun fayakun' DIA yang Maha Pencipta. Saya yang cuba menafikan ayat ini pun kemudiannya terfikir, sedangkan saya sendiri yang menyedari diri sebagai orang kampung pun, kalau diizinkan ALLAH mahu mencari orang kampung juga sebagai jodoh. Kerana saya, secara sedar atau tidak, percaya pipit lebih selesa bergaul dengan pipit, dan enggang lebih bahagia bergaul dengan enggang.
Maka Buya Hamka, walaupun tulisanmu itu dihasilkan puluhan tahun silam, saya masih percaya ianya tetap mampu menyentuh hati yang menghayatinya, dan tetap benar realitinya, walaupun untuk puluhan tahun yang akan datang. Kerana sesungguhnya, seperti yang kau zahirkan daripada karya-karya itu, yang menggerakkan dan menentukan segala asal dan akhir kejadian di atas muka bumi ini hanyalah ALLAH yang Maha Berkuasa menetapkan hati hamba-hamba-NYA.