Secara jujurnya pengetahuan saya tentang osteoporosis cuma bersandarkan pada iklan Anlene. Jadi bila sebut osteoporosis saya terbayang pek hijau putih Anlene, Datuk Michelle Yeoh dan tulang yang bunyi 'krekkk' lalu bengkok. Tak pernah terbayang ahli keluarga saya sendiri akan menderita osteoporosis.
Dalam dua tiga bulan yang lalu, waktu saya tengah gigih nak siapkan proposal untuk kejar dateline defends, melalui telefon mak bagitau dia ke klinik dengan adik sebab sakit kaki. Tapi sebab dia cerita secara bersahaja dan macam takde apa-apa, jadi saya anggap takde apa yang serius dan teruskan gigih pagi petang siang malam mengadap proposal tanpa hirau hujan panas dan terik mentari. Lepas hantar proposal pada pihak yang sepatutnya, saya balik kampung dan nampak mak saya banyak baring. Kalau nak ikutkan mak saya ni jenis aktif, semua kerja rumah nak dibuatnya, segala pokok sayur dan bunga nak ditanamnya. Tiba-tiba bila tengok dia asyik baring je sebab nak jalan sakit saya jadi tak sedap hati. Nampaknya ubat klinik dan injection yang doktor bagi macam tak berkesan. Jadi saya bawa mak ke Hospital Shah Alam.
Diringkaskan cerita bila ke hospital doktor suruh x-ray dan buat kesimpulan mak saya mengalami kerapuhan tulang, atau bahasa perubatannya osteoporosis. Jadi kami tanya apa tindakan selanjutnya, dia jawab 'Dah terlambat. Dah tua. Nak makan kalsium pun dah terlambat. Dah tak boleh buat apa.' Masa tu saya rasa kejamnya dia ni... kalau mak dia sakit nak ke dia cakap 'dah terlambat.' Seolah-olah macam 'menderitalah kau sampai ajal tiba..' Huaaa sedih bila ingat. Dengan kesimpulan bersahaja tu, maka mak saya cuma dibekalkan dengan ubat tahan sakit sahaja.
Kesan psikologinya bila orang tua dengar dia dah takde harapan untuk pulih, mak saya jadi putus asa. Bila orang tanya dia cakap tulang dia dah reput. Selang 3,4 hari, bila kami suami isteri ke Terengganu, adik dan adik ipar pergi kerja dan ayah saya keluar kejap mungkin ke kedai, saya telefon rumah, mak saya nangis-nangis bagitau tak boleh nak duduk. Mujur rumah kampung kami ni berjirankan sedara-mara. Saya telefon makcik sebelah rumah dan dia terus datang, lalu telefon orang kampung dan semua sedara-mara. Haiyoooo abis semua orang datang melawat. Saya dah rasa tak sedap hati ingat nak balik naik flight sebab suami ada kerja kat sana tak boleh balik, tapi mak telefon petang tu bagitau dia dah agak ok, takyah balik. Esok paginya saya telefon lagi, mak kata tulang belakang sakit yang teramat sangat pulak. Disebabkan mak saya ni walaupun umur dah 69 tapi jarang sakit, bila tiba-tiba dia sakit teruk saya jadi tak tentu arah, dan terus balik pagi tu juga dengan suami.
Malam tu lepas Maghrib kami bawa mak ke HUKM. Maka sekali lagi kena x-ray. Hasil x-ray tu menunjukkan jisim tulang mak memang merosot. Bukan tu je, tulang belakang mak pun bengkok, mungkin kesan banyak kali jatuh, atau banyak angkat barang berat. Doktor tu pun konfius dan tanya sejak bila tulang tu bengkok? Kalau tengok badan mak boleh nampak ada bahagian di antara tulang belakang tu yang agak berlekuk ke dalam. Malam tu doktor bagi kalsium, ubat tahan sakit, dan berikan surat rujukan untuk kami atur appoinment dengan pakar tulang dan jurufisioterapi.
Maka bermulalah dua minggu sekali lepas tu episod fisioterapi mak di HUKM. Appoinment dengan pakar cuma dapat diselitkan lepas sebulan (ramai betul orang sakit berkaitan tulang kat Malaysia ni rupanya...). Alhamdulillah lepas dua kali fisio di hospital, dan hari-hari buat fisio di rumah, keadaan mak bertambah baik. Bila jumpa pakar memang pakar sahkan mak ada osteoposis. Lepas x-ray lagi, ketuk sana ketuk sini, cucuk sana cucuk sini, doktor kata takde tulang yang patah atau retak walaupun tulang tu rapuh. Walaupun punca asal sakit tu pada tulang belakang, tapi dia bagi kesan pada otot-otot kaki sebab tu mak rasa sakit bila berjalan. Tapi disebabkan progres yang memberangsangkan, doktor minta teruskan dulu fisioterapi. Kalau lepas tiga bulan keadaan tak pulih, doktor akan buat MRI untuk kesan punca, dan kemungkinan akan buat pembedahan. Dan-dan lepas tu mak kata kalau dia sakit pun dia akan bagitau doktor dia sihat sebab tak nak operation. 😂
Bila baca ni teringat makcik saya cakap lama dulu sebelum tau mak saya sakit 'mak dulu masa muda-muda tinggi juga, sekarang tengok makin pendek. Agaknya nanti kita dah tua pun jadi pendek' 😅 tanpa sedar yang kehilangan tinggi tu rupanya tanda-tanda osteoporosis.
Sekarang ni alhamdulillah keadaan mak dah bertambah baik. Mak masih pergi fisio dan ada lagi berbaki dua sesi. Bulan 9 kami akan bawa mak follow up lagi dengan pakar. Lepas jumpa pakar hari tu berbungkus-bungkus HUKM bagi kalsium, ubat otot, krim urut, ubat tahan sakit. Tapi ada satu ubat otot doktor suruh beli sendiri, mungkin sebab ubat tu mahal, sebotol RM140++.. Haha..
Secara jujurnya bila tengok awal-awal mak sakit tu saya fikir sakit tu lebih teruk dari osteoporosis. Saya ingat kanser ke apa.. semua sebab kurang ilmu pasal osteoporosis. Bila tengok macamana fisio tu menghasilkan kesan yang baik, sekarang saya percaya memang osteoporosis, bukan kanser. Alhamdulillah, mak sekarang lebih ceria, dan kembali tak boleh duduk diam walaupun kami bising tak bagi buat kerja, takut-takut terjatuh ke terpelecok ke kan ke bahaya dengan keadaan tulang dia tu. Malangnya sekali dua terkantoi juga dia tengah cabut rumput. Nak bising-bising sangat tak sampai hati, nanti dia stress pulak kalau suruh duduk dalam rumah je diam-diam. Awal-awal sakit hari tu semua orang dimarahnya suruh siram pokok bunga sampai ayah saya kata 'lepas ni tanam pokok bunga plastik je la..' hahaha...
Mohon doakan kesihatan mak saya bertambah baik.
Dan sesiapa yang ada tanda-tanda yang sama silalah pergi hospital.
Boleh baca sini juga untuk dapat maklumat lanjut tentang osteoporosis.
Walaupun dulu saya tak rajin minum susu dan boikot ikan,
sekarang dengan rajinnya saya minum susu setiap hari dan makan ikan sesekali
kerana memikirkan cerahnya masa depan... 😓