Tuesday, November 25, 2014

Melancong ke Medan

Setelah sekian lama merehatkan diri dari melalui prosedur-prosedur penerbangan, akhirnya disebabkan nafsu yang membuak-buak melihat promo Air Asia, kami ke Medan Indonesia. Tiket berharga lebih kurang RM160++ pergi dan balik beserta insurans dan luggage untuk seorang. (Sejak kes MH370 dan MH17, saya berjanji dengan diri sendiri untuk beli insurans setiap kali naik flight, walaupun dulu2 buat tak peduli je.. ;-)).

Awalnya kami fikir tiada masalah ke Medan kerana kami ada kawan di sana. Tapi cuti kawan tersebut tak diluluskan (sebab dia terlebih enjoy amik cuti konvo seminggu ;p), maka kami terpaksa fikir alternatif lain. Memandangkan saya ada kawan yang buka travel agent sendiri, jadi saya hubungi kawan tersebut di INH Network Resources dan minta diaturkan pakej ke Medan. Lepas bincang-bincang dan tawar-tawar dapatlah harga RM450 satu kepala - all in: hotel, makan, transport, minyak, dan sebagainya. First time berjalan menggunakan pakej travel agent, dan memandangkan semua dah lengkap, saya tukar duit Rupiah dalam RM500 dan Halim tukar duit cuma RM400 untuk dua orang. Ini bajet shopping, airport tax (Rp200,000 seorang), kecemasan dan tips untuk guide.

*************

Flight kami pagi Jumaat itu jam 7.30am waktu Malaysia. Kami keluar rumah dalam pukul 4.00am, dan tiba di KLIA2 sebelum jam 5.00am. Disebabkan takde check-in luggage, maka kami terus mencari maklumat pintu berlepas dan meneruskan langkah kaki. Sempat melepak sekejap keluar masuk kedai coklat sementara masuk waktu Subuh. Selepas solat Subuh, kami meneruskan langkah ke pintu P6 dan duduk berkenalan dengan Atuk yang mahu pulang ke Medan sementara menunggu jam 7.20am untuk boarding.

Punyalah dekat jarak Kuala Lumpur-Medan ni, tak sampai satu jam dah sampai. Saya baru nak lelap mata, tiba-tiba pramugari Air Asia dah tegakkan kerusi. Kecewa. Baru ingat nak qadha tidur sebab bangun pukul 3 pagi tadi. (Ish3, nak berjalan punya pasal sanggup bangun pukul 3 pagi, kalau soh tahajud kenapa liat sangat mata nak buka??)

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu jam 7.20am waktu tempatan. Lepas isi arrival form dan beratur punye la panjang (panjang dengan orang Malaysia ok..), akhirnya berjaya juga melepasi imigresen dan jumpa tour guide cum supir kami yang stress pegang nama saya sebab lama sangat tak muncul-muncul (mana tak lama, siap ada masa tambahan Eyma menikmati tandas airport yang bersih dan mengamati tulisan papan tanda berbahasa Indonesia).

Maka bermulalah perjalanan yang panjang pada hari itu. Mengambil pengalaman buruk di Yogyakarta akibat tak beli simkad, maka perkara pertama yang kami cari adalah simkad Indonesia. Kami berhenti di kedai tepi jalan dan ditawarkan harga simkad Rp15,000. Disebabkan Pak Herman si tour guide menjerit mahal kami tak jadi beli. Baru sampai, lambat pick up nak convert duit Rupiah ke RM. Bila dah convert rupanya RM4 je, menyesal tak beli (dah berapa kali pergi Indonesia pun fail lagi dengan matawang Rupiah). Huh! 

kedai simkad. Ngebut Semaumu... kihkihkih

Disebabkan perut dah nyanyi lagu keroncong, kami berhenti makan di Ayam Penyet Cinderalas, dan terjumpa bas-bas pelancong Malaysia. Sabar je la. Sepatutnya berhenti untuk bersarapan, tapi tak tau nak makan apa. Selepas beberapa hari di sana baru tau orang sana tak biasa sarapan roti-roti ni. Makanan dia memang berat-berat. Maka kami pun makan la nasi ayam penyet. Sedap tapi berasap telinga menahan pedas. Sempat juga order Es Limau Kelapa yang sangat sedap. Terliur jap terbayang. :-)



Perjalanan kemudiannya diteruskan. Disebabkan kami tak punya banyak masa di sana, jadi agenda shopping dihadkan hanya di satu kedai. Agak mahal sebenarnya kedai tu. Tapi sebab orang dah sibuk kirim telekung la, kain pasang la, maka kami beli jugalah, dengan hati yang sedikit berat. Inilah antara kekurangan berjalan menggunakan pakej travel agent, kurang kebebasan. Kalau nak ikutkan nasihat kawan Indonesia kami, kalau nak beli barang belilah ke Pasar Ikan (orang sana panggil Pajak Ikan Lama) yang mana lebih murah berbanding tempat lain.



Lepas beli apa yang patut dan terasa duit menyusut dengan cepat, perjalanan diteruskan lagi. Sempat makan tengahari di Rumah Makan Simpang Tiga. Yang ni pula kelebihan berjalan dengan travel agent, makan sangat mewah. Sampai tak terhabis-habis. Secara jujurnya kalau ikutkan style pakai redah kami, makan tak jadi keutamaan pun, membuatkan ia biasanya berakhir dengan mi segera dan air yogurt. Nak cuba makanan tempatan pun tak berapa nak berani. Kali ni makan la sepuasnya.


Lepas makan tengahari kami teruskan lagi perjalanan. Disinggahkan ke satu kedai yang menjual makanan ringan tempatan yang diperbuat dari kacang. Tingting Tangtang Tongtong lebih kurang gitu la namanya (ini betul ni, bukan cobaan). Rasanya kalau tak guna agen tidak mungkin kami singgah tempat ni. Takde apa yang menarik, rupa makanan tu pun lebih kurang kacang tumbuk je. Haha... kat Malaysia banyak kot. ;p Lepas dari sini kami singgah ke masjid solat jama' Zuhur dan Asar. Satu yang ketara di sini, di kawasan yang majoriti Muslim, masjid sangat banyak. Dan di kawasan majoriti Kristian, gereja sangat banyak, sampaikan selang satu rumah gereja pun ada. 

Lepas solat, dalam perjalanan, Eyma sempat muntah di dalam kereta (memang guide da siap sediakan plastik dalam kereta, dah biasa sangat kot bawak orang muntah), dan tak lama lepas tu Halim pulak muntah-muntah. Punya dahsyat diorang ni muntah-muntah, sampai berhenti kat tepi jalan nak bergambar pun muntah lagi dan dijerit oleh orang Batak yang merasa curiga. Perjalanan hampir tiba ke Danau Toba sangat cantik dengan gunung dan hutan pokok pine. Subhanallah. Gambar yang diambil oleh kamera pun tak dapat menterjemahkan keindahan sebenar ciptaan Allah ni.

tempat yang takkan dilupakan Halim, sebab kat sinilah dia kena jerit.

Akhirnya tiba di Parapat, dapat juga kami beli simkad jenama Loop sebab takde pilihan lain, Rp50,000 beserta topup dan data internet. Check in di Danau Toba Cottage hampir jam 6 petang. Cantik cottage ni, betul-betul tepi tasik. Tapi dah nak gelap pun. Halim dah pengsan lemah longlai sebab muntah-muntah. Ajak makan malam pun tak nak. Pukul 7.30pm kami keluar makan malam di Rumah Makan Muslim. Kawasan Danau Toba kebanyakannya dihuni suku Batak beragama Kristian. Anjing besar-besar merata-rata. Jadi kena hati-hati sikit memilih makanan. Lepas makan sempat cari cenderahati sikit, t-shirt Danau Toba dan fridge magnet. Balik hotel saya pulak yang muntah-muntah. Malam tu waktu orang lain nyenyak tidur saya bangun berkali-kali mengeluarkan isi perut. Tak tau lah apa yang melanda. Terus teringatkan pesanan-pesanan Aflah yang memberitahu tentang amalan ilmu hitam yang agak berleluasa di kawasan tersebut. Tapi fikir positif, mungkin saya terkena balasan sebab gelakkan Halim dan Eyma muntah berjemaah siang tadi.



Danau Toba Cottage

Keesokan paginya Halim dan Eyma mendapat semangat baru. Pagi-pagi dah bangun bergambar-gambar. Saya masih pengsan lembik tak nak keluar bilik akibat muntah entah berapa kali sampai ke pagi. Hilang terus mood nak berjalan. Tapi sebab kena paksa, bangun juga gagahkan diri berjalan ke restoran yang pemandangannya sangat cantik. Tapi sakit punya pasal, cuma mampu teruja dalam hati je. Tengok makanan pun tak lalu. Akhirnya makan dua potong tembikai dan dua biji panadol. Lepas tu berlari keluar dan muntah tengah jalan dan tepi longkang. Itulah muntah yang terakhir. Lepas tu sengih-sengih sebab tiba-tiba berpeluh dan rasa ringan sikit badan. Terus kena gelak dengan Pak Herman.

View dari restoran

Lepas semua dah ready, kami jalan kaki ke jeti yang tak jauh dari cottage. Siren dah bunyi bising menandakan feri (entah feri ke bot nama dia, konfius pulak) dah nak bertolak. Perjalanan dari jeti ke Pulau Samosir memakan masa 45 minit. Walaupun pening datang dan pergi, tapi pemandangan indah dan air yang hijau jernih sangat memikat hati.


paksa Halim amik gambar close up sebab sangat teruja dengan gunung pine ni..

Sebelum sampai ke jeti menurunkan penumpang, feri singgah di satu jeti lain dan tiba-tiba dua anak muda terjun ke dalam air. Saya ingat dia nak mandi, tapi lepas tu orang baling duit, dan dia berenang dapatkan duit tersebut. Rupa-rupanya itu cara dia cari rezeki. Sebab excited, kami pun campak duit Malaysia. Tiba-tiba tukang kutip tambang feri datang pada kami minta duit Malaysia buat kenangan katanya. Maka kami berikan dua keping seringgit Malaysia padanya, moga-moga dia gembira. Hihi..

sumber rezeki mengejar duit yang dicampak pengunjung.

airnya.... Masya-Allah...

Sampai di Pulau Samosir, Pak Herman bawa kami jalan kaki melalui sekian banyak gerai jual cenderamata (lagi banyak dari kat Beras Terbakar, Langkawi), sebelum tiba di kawasan perkuburan pembesar Batak dahulukala. Lepas pakai selempang yang cantik kami pun masuk ke kawasan perkuburan tersebut mendengar penerangan Pak Herman tentang setiap kubur yang berada di situ.

kubur Batak

Sayangnya pakej yang kami ikuti tidak termasuk rumah orang Batak yang berpintu kecil. Haih, kalau datang tanpa agen, rasanya kami redah dah ke rumah tersebut.  

Keluar dari Pulau Samosir sudah hampir tengahari. Sempat beli limau dan teruja dengan manggis yang besar-besar. Kami kemudiannya makan tengahari di Rumah Makan Muslim sebelum bertolak ke Air Terjun Sipiso-Piso. Dalam perjalanan sempat singgah ke satu restoran yang menghidangkan goreng pisang (hahaha, kat Malaysia pun banyak) dan air halia, Ingatkan air halia macam kat Malaysia campur halia dalam teh susu, rupa-rupanya air halia tersebut mengandungi campuran halia dan pelbagai herba termasuk kayu manis dan lain-lain. Sangat kuat rasanya, sampaikan tak sanggup untuk menghirup dengan banyaknya. Disebabkan kami jumpa sekumpulan rombongan warga emas dari Malaysia di sini, maka kami beri pada mereka secawan air halia yang kami beli (orang Indonesia panggil halia = jahe).

ni la tempat restoran atas bukit tu. Lupa pulak nak amik gambar air jahe..

Mas ni buat key chain dan ukir nama guna bateri.

Lepas dari sini, kami teruskan perjalanan ke Sipiso-Piso. Hujan agak renyai-renyai, perjalanan kanan dan kiri dipenuhi ladang sayuran yang sangat menarik. Sempat juga terserempak dengan lori yang membawa khinzir. Hihi..Dan sempat juga Pak Herman bercerita tentang adat orang Batak yang mana perkuburan mereka dibina samada di halaman rumah atau di kebun. Maksudnya, setiap ahli keluarga yang mati akan dikuburkan di halaman rumah sendiri. Adakalanya kubur lebih cantik dari rumah yang dihuni, sebagai tanda penghormatan kepada orang tua yang telah pergi dulu. Kubur yang dibina bertingkat-tingkat, dari orang tua hingga cucu cicit. Kami terlihat kubah di kawasan majoriti Kristian, lalu spontan menyebut 'eh, ada masjid'. Tapi rupa-rupanya menurut Pak Herman ia bukan masjid. Kubah itu milik kubur orang Islam. 

Sampai di Sipiso-Piso yang merupakan air terjun berketinggian 120m, kami pusing-pusing ambil gambar dari kejauhan. Tapi rupa-rupanya Halim tak puas hati. Dia redah gerimis dan beribu anak tangga untuk tiba di bawah air terjun (terseksa gue punya teman ngelayap yang kayak gini). Saya yang pening-pening lalat ini ikutkan juga separuh jalan, lepas tu duduk diam-diam di pondok yang dibina di pertengahan perjalanan. Hakikatnya tak berbaloi pun dia jalan sampai bawah tu. Air sangat kuat, sampaikan lense kamera kabur setiap kali dia cuba fokus pada angel yang dia nak. Sabar je la budak ni.

 sebelah kanan tu view dari bawah katanya. haiyaaa

Disebabkan buang masa naik turun tangga kat air terjun ni, akhirnya bila kami teruskan perjalanan ke Berastagi, hari pun semakin gelap. Dengan hujan lagi, apa pun tak nampak. Sampai Berastagi sempat makan je, nak pergi pasar yang jual buah, bunga dan sayur yang murah pun dah tutup.

on the way.... Bill Clinton pun buka kedai makan kat sini tau... :-)

Lepas makan kami bertolak ke Medan dan tiba di Medan lebih kurang jam 11.00 malam. Disebabkan flight kami keesokan paginya jam 8.00am, maka kami gagahkan diri juga untuk berehat supaya esok tak pengsan. Pukul 3.00am kami bangun bersiap-siap dan bertolak ke airport jam 4.30am lebih kurang. Lepas check in luggage dan solat Subuh (dan makan nasi goreng sedap yang ditapaukan hotel), kami ke departure hall. Jam 8.00am bertolak, jam 10.00am sampai Malaysia dengan penuh kesyukuran. Ok, tak pernah-pernah bersyukur dengan highway di Malaysia, balik dari Medan tiba-tiba sangat bahagia dan bersyukur dengan highway kita yang luas, smooth dan cantik. Alhamdulillah. Betullah orang kata, jauh perjalanan, luas pemandangan. :-)

Sedikit tips yang mungkin berguna:
1) Kalau memang mahu shopping, sila berusaha sedaya upaya untuk ke Pasar Ikan. Tak payah la ke tempat lain sebab orang tempatan sendiri kata Pasar Ikan yang paling murah.

2) Kalau lebih adventure, tak perlu gunakan travel agent. Ada pro and cons la sebenarnya. Kalau jalan sendiri mungkin tak dapat banyak ilmu tentang adat dan budaya di sana sebab takde sapa nak terangkan. Tapi lebih bebas. Boleh buat apa yang kita suka. Kalau guna agen redha je la dibawa ke kedai-kedai yang bagi saya tak perlu. Haih.

3) Berhati-hati dengan percakapan dan pemakanan di sana. Kami dipesan oleh orang tempatan supaya lebih banyak membeli air mineral dari membeli minuman di kedai. Seperti katanya, ramai suka test ilmu di sana. Wallahua'alam.

4) Menurut Pak Herman, bila berkomunikasi dengan orang Batak, disebabkan mereka ini orang yang keras, jawablah dengan keras juga. Jangan lemah-lembut sangat. Nanti mereka fikir kita tak suka pada mereka.

5) BPK itu Babi Panggang Kicap ye.. Jangan kau terliur melihat banyaknya RM (Stands for Rumah Makan, Bukan Rosmah Mansor ye) yang mengiklankan BPK sebesar-besarnya. <-- eh, ini tak masuk kategori tips ni.

Sekian, Wassalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...