Tuesday, December 27, 2016

Jalan-Jalan Johor

Ini post yang terlewat.
Maka isi ceritanya mungkin bersifat umum dan sedikit lupa-lupa kerana penulis manusia biasa yang mudah lupa. ;-p

Hari 1
Beberapa minggu lepas kami ke Johor.
Maraton ke Selatan dua minggu berturut-turut kerana minggu sebelumnya ke Singapura melawat Pak Ngah suami yang tenat.
Minggu depannya ke Johor sekali lagi memenuhi jemputan makan nasi minyak.
Kenduri pertama di Ayer Hitam, tempat popular pasu-pasu tu.
Sedara-mara Mak Mertua ramai di sini, jadi memang tiap-tiap tahun ke sini.
Setiap kali ke sini jugak gigih beli Putu Bambu Juriah yang popular tapi macam dah kureng sedap plak hari tu. Ya ampun!
Dari Ayer  Hitam kami ke Kota Masai.
Sampai Kota Masai dah pukul 4 lebih, DJ kenduri masih bercakap lagi.
Kagum la plak, DJ mana nak bercakap kat KL ni kalau tetamu pun dah tinggal berapa kerat sangat pukul 4 petang tu. Haha..
(awat yang aku dok bebel pasal kenduri kawin ni? Maaf!)

Dari Kota Masai kami ke Pontian, sebab saya ada misi nak menuntut ilmu.
Disebabkan En Suami takut kebosanan masa saya tengah belajar maka dia hasut mak mertua, abang ipar, kakak ipar, anak-anak buah ikut sekali ke Pontian.
Seminggu sebelum tu saya dah tempah hotel di Pontian melalui booking.com, tiba-tiba beramai-ramai ikut, mana pulak nak kusumbat diorang ni semua..
Mesej kawan di Pontian dia bagi nombor telefon BioVillage Homestay sebab harganya murah.
Rumah dua tingkat dua bilik RM150 satu malam. Boleh la sumbat kami 8 orang ni. Berbaloi-baloi.

Ni gambar dari FB BioVillage ni. 
Lupa nak amik gambar dalam rumah masa sampai tu, tapi memang sama macam ni.

Malam tu kami makan di BioCafe sebelah homestay ni.
Kedai makanan organik. Nescafe, Milo semua takde. Yang ada versi organik.
Ayam pun tak gebu sebab organik.
Tapi masakan dia sedap. Hehe..


Hari 2
Ini suasana pagi-pagi yang hujan agak renyai-renyai esoknya. 
Cantik sebenarnya homestay ni sebab ada padang rumput yang agak luas sebelah rumah tu. 
Macam tempat orang berkhemah kot sebab tengok FB dia ada kemudahan untuk program beramai-ramai.


 Lepas bergambar-gambar dalam renyai-renyai hujan tu, saya dan suami ke Bandar Pontian, cari sarapan pagi. 
Ada deretan gerai berdekatan dengan Dewan Jubli Intan, berhadapan dengan laut. 
Jangan berani-berani membayangkan air biru seindah lautan Pulau Redang. 
Yang ni tahap-tahap Pantai Remis, Selangor je ni. Air lumpur. Haha..

Lepas sarapan suami hantar saya ke Garden Semerah Hotel. 
Malam tadi sempat check in, tapi kami join yang lain tidur homestay
Jadi pagi ni kawan datang ke hotel bersama segala jenis bahan rujukan untuk saya hadam.

Hotel baru. Baru berusia 6 bulan.
Baby lagi. Jadi sangat bersih dan memuaskan hati.
Satu malam RM110 termasuk sarapan.
Satu je yang tak best, wifi macam siput, mungkin sebab kedudukan bilik yang saya dapat agak tersorok.

Tengahari tu kami makan di Restoran Mualaf Asli, Bandar Pontian. 
Sedap hingga menjilat jari. Asam pedas sedap, udang goreng butter sedap yang amat. Semua sedaplah senang cerita.
Gambar tak sempat nak ambil sebab gigih sangat makan. 

Dalam pukul 6 lebih sempatlah saya mengkhatamkan ilmu yang nak dituntut. 
Encik Suami balik ke hotel dan keluarga yang lain balik KL.

 Malam tu kami makan di sini, tapi saya tak ingat apa nama restoran ni.
Tak jauh dari Hotel Pontian, berdepan dengan laut. 
Malam-malam makan nasi putih+udang masak lemak cili api+capcai = RM45.
Sedap hingga menjilat jari jugak.
Dan-dan lepas makan kat sini suami cakap inilah masak lemak paling sedap dia pernah makan.

Hari 3
Pagi-pagi kami sarapan di hotel sebelum check out dalam jam 9.
Misi pagi tu nak ke Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Asia.
Dalam 30 minit perjalanan dari Bandar Pontian.
Kami guna Google Map, setkan ke Taman Negara Tanjung Piai. 
Kalau nak berpandukan signboard pun ikut arah ke Taman Negara Tanjung Piai.
Signboard Penghujung Tanah Besar Asia tu cuma wujud bila dah dekat dengan lokasi.

Encik Suami paksa ambil gambar ni sebab dia sukakan suasana pokok-pokok tepi jalan tu.
Perjalanan ke Tanjung Piai ni melalui kampung-kampung. 
Jangan bawa kereta laju-laju sangat sebab ada je pakcik-pakcik tak pakai topi keledar lalu jalan ni.
Budak-budak naik basikal ke tepi ke tengah jalanraya pun ada.
Jadi harus sopan-santun masuk kampung orang, jangan tunjuk sangat kehebatan memandu. 

 Bayaran masuk dewasa RM5. Kanak-kanak saya tak pasti.
Nanti bila dah ada anak saya akan lebih memerhati. :-)
Bukan warganegara harga lain, kalau tak silap RM20 untuk dewasa.

Ini mercu tanda Tanjung Piai. 
Haruslah bergambar kenangan di sini supaya boleh tunjuk pada sedara-mara atau upload di media sosial. ;-p

Lepas mercu tanda Tanjung Piai tu, jalan ke dalam lagi dan akan jumpa kaunter check tiket.
Tiba-tiba Encik Penjaga Tiket bagitau kawasan terletaknya platform Penghujung Tanah Besar Asia ditutup sebab air pasang besar, bukan air pasang dalam surut pukul tiga.
Kalau nak juga ke sana tunggu lebih kurang Jam 2 petang bila air dah surut.
Saya macam ala-ala kecewa sebab niat di hati datang sini nak posing kat globe Penghujung Tanah Besar tu je. Tapi takpelah, alang-alang dah sampai kita pusing-pusinglah. 

Bila jalan ke dalam sikit akan terjumpa persimpangan dilema.
Satu jalan yang lurus menuju ke wakaf (pondok?) di atas air laut, satu lagi simpang ke Penghujung Tanah Besar Asia. 
Disebabkan degil saya cakap dengan suami 'Jom kita ikut jalan gi hujung tanah besar tu dulu. Saya nak tengok dia tutup macamana'.
Encik Suami ikutkan je sebab dia sayang saya. Haha..

Boardwalk ni baru kot.
Berkilat bukan main catnya. 
Tapi sepanjang jalan lebih dari 500 meter ni cuma kami berdua je.
Maknanya orang lain tak degil dan ikut cakap Encik Penjaga Tiket.
Tapi disebabkan cuma kami berdua, macam-macam aksi kami dapat bergambar kat sini. 
Monyet pun tak sudi nak muncul gelakkan kami.

Rupa-rupanya di penghujung hutan paya bakau tu adalah sambungan laluan atas air laut.
Memang laut pasang besar sebab air hampir-hampir nak cecah laluan ni.
Tapi kan saya kata saya degil. 
Jadi saya masih bebel lagi 'Mana yang tutupnya? Takde pun tali penghadang ke signboard ke kata tutup?'
Tiba-tiba Encik Suami bersuara 'Jom patah balik. Seram pulak abang.'
Cis, potonglah dia ni.
Tak pasal-pasal saya yang tak seram jadi seram.
Tambah-tambah plak mendung-mendung ni. Hish!

Jadi kami pun patah balik dan pergi ke laluan ni.
Gambar ni arah terbalik. Kalau arah ke depan nampak pondok atas laut.

Ni gambar dari pondok tu. Kat belakang tu Pulau Karimun, Indonesia.
Kalau nak ke situ boleh naik feri dari Jeti Kukup.

Dari pondok ni nampak globe yang saya teringin sangat nak jejak tu. 
Saya pun macam dah redha je tak dapat pergi sana.
Gigih zoom kamera nak jugak tunjuk bukti saya dah sampai Penghujung Tanah Besar Asia.

Tiba-tiba masa tengah duduk-duduk dan berangan-angan nak pergi Karimun saya nampak orang lalu atas laluan ke globe tu. 
Bila saya kecik-kecikkan mata saya nampak orang bergambar kat globe tu. 
Tak boleh jadi ni. Saya nak jugak pergi situ. 
Jadi kami patah balik, singgah gi tandas. 
Jalan perlahan-lahan.
Konon-kononnya taktik tunggu air surut sikitlah. Haha..

 Sambil-sambil jalan kali kedua menuju ke globe tu, saya bebel-bebel pada suami kenapa orang dok buang sampah kat sini. 
Sebab nampak kat celah-celah pokok bakau tu penuh dengan sampah-sarap, botol, plastik dan sebagainya.
Encik suami dengan sabar jawab mungkin sampah dari laut.
Rupa-rupanya waktu nak balik saya terbaca papan informasi yang tulis paya bakau adalah perangkap sampah semulajadi.
Memang sampah dari laut, sungai, dan entah mana-mana la tu yang ikut arus ombak ke situ.
Oh, please dong, bikin malu je bebel-bebel tadi.
Nampak sangat kurang ilmu pengetahuan.

Perjalanan yang kedua tu membawa kami ke sini.
Sikit je lagi nak sampai platform globe tersebut.
Sekali lagi, gambar ni arah terbalik dari globe
Dari jauh nampak pondok yang ada tanda arah Karimun tadi.
Baru saya tau kenapa Encik Penjaga Tiket kata tutup.
Laluan tenggelam la.
Tapi tak dalam. Saya tengok orang redah.
Jadi saya pun redah jugak, dengan kasut bunga-bunga.
Kan ke dua hari lepas gi kenduri.
Memang kasut bunga-bunga je lah yang saya ada nak bawak meredah hutan paya bakau. Haha..

Ok dah sampai.
Abaikan basikal tu. Ada Mat Saleh naik basikal tengah seronok guna laptop kat sini.
Musykil sungguh rasa kenapa saya tak nampak signboard 'Tahniah, anda berada di Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Asia'
Bila fikir-fikir balik mungkin ada belakang Mat Saleh tu tulisan tu.
Tapi sebab saya malu dengan dia, takdelah kubelek-belek belakang dia ada apa. Haha..
Tapi bila saya tengok google image, nampak macam platform ni dah mengecil.
Gambar-gambar dulu nampak lagi besar.
Mungkinkah kemusnahan pernah berlaku? ;-)

Kalau kita belek peta Asia ni kita boleh nampak betapa uniknya kedudukan Malaysia ni. 
Ada beza antara Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Asia dengan Penghujung Paling Selatan Benua Asia - berada di Pulau Pamana, Indonesia. 
Boleh jenguk wikipedia untuk maklumat lanjut.

Kami keluar dari Tanjung Piai ni lebih kurang pukul 11 lebih mungkin.
Patah balik ke Pontian dan makan lagi di Restoran Mualaf Asli.
Nampak sangat kecanduan kesedapannya. 
Bukan saya, orang sebelah. Haha..

Lepas makan Encik Suami kata 'jom kita pergi penghujung belah sana plak'
Sebab kami sekarang berada di penghujung Malaysia belah Barat - Kukup.
Maka dengan gigihnya kami teringinlah nak tau yang penghujung belah Timur tu ada apa.

Maka memandulah kami ikut Google Map, masuk Felda ke apa entah banyak ladang sawit lalu muncul di Lebuhraya Senai-Desaru.

Sampai R&R kami berhenti minum dan terjumpa peta ni kat dinding.
Ok bagus, tau lah kami mana nak tuju.

Lepas berehat-rehat seketika, saya ambil giliran memandu, dan baru je belum jauh perjalanan, saya ternampak jambatan tinggi yang amat kat depan lalu menjerit 'alamak, macam gayat je nak lalu jambatan tu.'

 Gambar pinjam The Star Online.

Saya memandu tak tengok kiri kanan, gayat punya pasal.  
Padahal hati meronta-ronta nak tengok apa ada bawah tu.
Encik Suami gigih berswafoto sambil bebel 'entah apa yang digayat sangat pun tak faham'. 
Hahaha..

Gambar pinjam orang punya

 Rupa-rupanya macam ni keadaan bawah tu.
Malam tu bila lalu balik jambatan ni sebagai penumpang saya dengan semangat waja kekaguman, siap tanya 'ni sungai ke laut? Kalau sungai kenapa ada kapal besar?'
Ni Sungai Johor ye kawan! 
Kalau rasa macam musykil sila tengok balik gambar peta yang saya jumpa kat R&R tadi.

Jalan punya jalan sampailah kami di Desaru.
Ada banyak hotel dan resort sepanjang pesisir laut tu yang membuatkan pantainya jadi private beach.
 Di hujung perjalanan baru terjumpa pantai awam.
Nak masuk kena bayar parking 4 ringgit ok.
Haha, jenuh dok fikir ada ke pantai lain kat Malaysia kena bayar parking? 

Ini pantainya.
Cantik dan bersih.
Biru airnya.
Berbeza sungguh air Laut Cina Selatan dengan Air Selat Melaka kat Tanjung Piai dan Pontian tadi.
Ombak agak kuat, tapi saya tengok ramai je orang mandi, walaupun ada bendera merah kat pantai.

Lepas amik gambar berkeping-keping, minum seketika di gerai tepi pantai (tak banyak gerai pun kat sini), kami menuju ke kereta dan memandu lagi. 
Nak pergi mana tak tau, ikut je langkah.

Sempat singgah di Batu Layar.
Biasa je pantainya, tapi masih kategori lebih cantik dari Selat Melaka.
Desaru tadi cantik lagi.

Pemandangan sepanjang perjalanan antara Batu Layar ke Tanjung Punggai.
Macam biasalah kalau ikutkan hati nak je saya ambik gambar ala-ala Hindustan kat celah-celah lalang tu.
Tapi macam malu la pulak nak bagitau Encik Suami. Haha..
Ni pun dia dah cukup baik hati berhenti tepi jalan bagi saya peluang ambik gambar lalang.

Kami singgah seketika di Tanjung Punggai tapi tak turun kereta.
Ada banyak chalet dan resort di sini.
Saya gigih cakap nak pergi Teluk Ramunia.
Jangan tanya kenapa, rasa macam familiar nama tu. 
Tapi tak tau baca kat mana, rasa macam masa kecik-kecik baca buku cerita Lanun ada sebut Teluk Ramunia. 
Sila abaikan. Mengarut lagi lah tu sebab ingatan bersimpang-siur.

Kami teruskan perjalanan.
Lalu Teluk Ramunia tapi konfius mana pantainya yang cantik.
Akhirnya sampai ke Rengit.
Gigih lagi nak tau ada apa lepas Rengit, tapi belakang-belakang tu dah tak nampak apa yang menarik.
Ada pelantar minyak.
Ada macam pelabuhan, tapi tak pasti betul ke pelabuhan.

Jalan ni menuju ke tempat yang saya kata nampak macam pelabuhan tu. 
Tapi tak pasti betul ke tak.
Jadi kami patah balik.

Rupa-rupanya makin ke dalam air laut makin kusam.
Mungkin sebab ada pelantar minyak.
Mungkin sebab ada pelabuhan.
Tak pastilah kenapa.

Kami singgah makan seafood di sebuah gerai tepi pantai di Rengit.
Nampak tak, majoriti yang makan kat sini 'Orang Minyak'.

Ini pantai tepi gerai makan tu.
Nampak warna air dia?
Yang ni ok lagi.
Makin jauh dari sini, makin berlumpur airnya.
Dari jauh nampak pelantar minyak.

Jam dah mencecah angka 6 masa kami tiba di Rengit.
Saya goda-goda suami 'kalau penat apa kata kita cari hotel tido. Esok baru balik.'
Tapi nampaknya godaan tak mendatangkan hasil.
Kami bertolak pulang petang tu juga dan tiba di KL hampir jam 12 malam sebab tengok Google Map jalan jem teruk, lalu kami berhenti di R&R Pagoh dan bersantai-santai sekian lama sebab malas nak redah jem.

Sekian.
Jumpa lagi di percutian akan datang.
(Kau ingat ni rancangan TV?)
Dah dah, gi baca buku. ;-)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...