Saturday, October 29, 2016

Percutian ke Lombok

Pada suatu pagi yang dingin, satu mesej masuk melalui aplikasi whatsapp.
"Siti nak gi Lombok? I nak join conference organised by UI in October. You submitlah apa-apa artikel dari assignment you."

Maka dengan lajunya sebagai supervisee yang patuh terutamanya bab jalan-jalan saya terus setuju. Bukan tu je, siap lawan tokey ajak kawan-kawan lain sekali. Bagi betis nak peha punya student!

Secara ringkasnya kami beli tiket dalam bulan Ogos dengan harga RM413 seorang pergi dan balik. Disebabkan lokasi conference adalah di Jayakarta Hotel, Mataram, maka kami book saja hotel yang sama melalui Agoda sebab malas nak susah-susah cari kenderaan ke hotel pada hari conference.

Tengah mencari-cari maklumat mengenai Lombok, tiba-tiba saya teringat kawan zaman praktikal diploma hampir 13 tahun yang lepas yang merupakan orang Lombok. Apa lagi, saya cari Facebook kawan tu dan bagitau nak ke Lombok, konon-kononnya nak minta dia kongsi maklumat (padahal dalam hati berharap dia bawa jalan-jalan). Tepat bagai dicita Munasar (nama kawan tersebut) terus offer nak jadi guide kami. Hahaha.... 

Hari Pertama
Saya dan Kak Syikin tiba di Lombok lebih kurang jam 12 tengahari. Supervisor dah pergi dulu sehari sebelum bersama suaminya. Airport Lombok kecil yang amat, tiba-tiba dah keluar dari pintu utama dan nampak punya ramai orang menunggu. Tengah jenguk-jenguk nampak Munasar lambai-lambai topi. Ingat lagi dia pada saya. Haha... Kot la saya dah jadi jelita dan sukar dikenali, rupanya kekal selekeh seperti zaman muda-mudi. ;-p

Masuk je kereta, permintaan pertama saya 'nak makan. Lapar'. Pusing punya pusing kami singgah di satu deretan kedai tepi jalan. Lepas makan boleh beli simkad kata Munasar.


Ni namanya Nasi Lalapan. Sambal dia pedas sampai berasap telinga. 

Habis makan singgah kedai sebelah beli simkad jenama XL harga 50,000 Rupiah dengan kuota internet 3GB. 3GB ni cukup untuk 5 hari kami kat sana, sebab kat hotel ada wifi walaupun lembab macam siput. Disebabkan saya nak telefon Malaysia takut mak merajuk pergi jalan-jalan lupa ibu bapa, maka saya topup Rp50,000 lagi. Saya guna untuk bergayut dengan mak dua kali, mungkin ada lebih lagi topup tu tapi saya tak tau nak check baki macamana. Hahaha...

Bila urusan perut dan komunikasi selesai, kami singgah solat di Masjid Agung entah kawasan mana sebab terlalu banyak masjid di Lombok. Boleh katakan setiap 500 meter ada masjid. Paling terkejut masjid tengah renovate dengan batu bata berterabur tak siap, lantai simen belum siap, debu berterbangan, pun tetap ada yang solat berjemaah setiap kali masuk waktu. Cuma yang kurang menariknya tiga masjid yang saya singah semua kawasan wudhu' perempuannya agak terbuka. Kena pandai-pandai wudhu' tanpa buka tudung.

Destinasi kami selepas solat adalah perkampungan tradisi suku Sasak, Desa Sade.


Baru turun dari kereta muncul Mamat ni menyapa ajak masuk lalu pintu belakang. Kami macam terpinga-pinga sebab Munasar pun tak pernah masuk tempat ni. Saya dok cari-cari mana nak bayar entrance fee, rupa-rupanya free. Mamat ni agaknya boleh agak kami macam takut dengan dia tiba-tiba bagi penerangan dengan slang English kemain, lepas tu dia bagitau bayaran guide adalah seikhlas hati. Tiada paksaan.


Macam ni rupanya keadaan dalam rumah Desa Sade ni. Lantai dia memang tanah tak bersimen. Dinding dari buluh yang dianyam dan bumbung dia Munasar kata dari lalang. Saya tanya Munasar masa dia kecik-kecik rumah dia macam ni ke? 'Taklah'. Dia jawab sambil sengih-sengih.


Antara banyak-banyak rumah kat sini, ada bangsal-bangsal yang jual songket tenun Lombok, kain sarung tenun tangan, alas meja, kopiah, dan macam-macam lagilah. Tapi janganlah kau tertipu dan tergoda membeli di sini. Saya excited beli sarung tenun tu, Rp75,000 sehelai, itu pun lepas tawar gila-gila. Tiba-tiba pergi tempat lain orang tu jual 4 helai Rp100,000. Terus saya buat-buat tak dengar walaupun terasa sangat tak bijak dah terbeli dulu.


Dari Desa Sade kami ke Kuta. Dalam perjalanan boleh tengok banyak pokok tembakau ditanam. Munasar kata tembakau biasa ditanam di kawasan kering sebab tanaman ni kalah pada air. Kalau tengok bukit-bukau kat belakang tu gondol dengan pokok cuma sikit-sikit. Memang kering kawasan ni. Ikutkan hati nak je saya turun ambil gambar di celah-celah pokok tembakau tu feeling-feeling Bollywood. Tapi segan pulak pada Munasar. Hahaha...


Ini Tanjung Aan (disebut sebagai An bukan A'an). Tanjung Aan ni agak ke dalam sikit lepas Pantai Kuta (disebut sebagai Kute, bukan Kuta). Pasirnya putih, airnya biru. Cantik. Setanding dengan Redang. Cuma yang tak bestnya ada anjing jalan-jalan tepi pantai. Haha... Kalau banyak masa boleh panjat bukit yang botak berhampiran pantai ni dan tengok pemandangan laut dari atas.


Dalam perjalanan ke hotel kami terserempak dengan rombongan menghantar pengantin. Baju yang dipakai tu pakaian tradisional Sasak, suku majoriti di Lombok. Hujan-hujan pun diorang bergendang tepi jalan, Dengan pengantin-pengantin sekali kena hujan. Munasar kata orang kat sini umur 15 dah kahwin. Cuma sekarang peraturan agak ketat, jadi kahwin umur 15 tak boleh daftar. Diorang nikah mengikut agama, dan lepas cukup umur baru daftar. 


Dari hujan yang renyai-renyai tadi hujan jadi sangat lebat sampai tak nampak jalan. Ranting-ranting jatuh tengah jalan, dan lampu-lampu pun padam. Munasar kata normal lah tu. Perkampungan kat Lombok ni bila hujan je memang elektrik terputus, Jadi kami singgah kedai tepi jalan makan bakso. Sedap!! Hehe...


Kami tiba di hotel lebih kurang pukul 6 lebih, dah Maghrib pun. Bilik di Jayakarta ni luas dan selesa, siap ada bunga kemboja lagi atas katil. 


Malam tu, lepas Isya' Munasar bawa kami ke Senggigi menikmati pemandangan malam sambil makan jagung bakar di kawasan perbukitan. Mula-mula Munasar tanya harga Si Penjual ni kata Rp20,000. Tanpa tau tentang ni saya pergi bayar dan Si Penjual naikkan harga jadi Rp30,000 untuk 3 biji jagung. Rupanya dia dengar slang luar terus naikkan harga. Cis!

Lepas jalan-jalan yang macam tak berapa dapat nak dinikmati dari dalam kereta sebab Lombok kekurangan lampu jalan, jadi gelap je kiri kanan, kami pun cari makanan yang agak berat. Sebab tak tau nak makan apa, kami beli Murtabak Lombok yang sedap dan rangup di tepi jalan, dan Terang Bulan perisa coklat dan keju. Terang Bulan tu macam apam balik kalau kat Malaysia. Mula-mula baca saya ingat Terang Bulan tu adalah jenama kepada Murtabak. Kikiki...

Hari Kedua
Subuh di sini lebih kurang jam 4.30am. Pukul 6 pagi hari dah terang.


Ini pemandangan hotel lebih kurang jam 6.30am.


Sarapan tepi pantai. 
Lepas 4 hari bersarapan tepi pantai di hotel, balik Malaysia bangun tidur rasa nak cari pantai untuk sarapan. Melampau!


Pasir pantai kat kawasan hotel ni warna hitam.
Sambil-sambil sarapan ada pakcik-pakcik dan abang-abang jual cenderamata di tepi pantai. Ayam pun ada lalu-lalu bawah meja dan kerusi kita tengah makan. Haha... 


Jam 8.30 pagi Munasar datang ambil kami untuk ke Gili Trawangan. Dalam perjalanan sempat singgah tepi jalan dan ambil gambar pemandangan yang cantik. Setiap kali saya kagum dan nak berhenti tengok pemandangan yang cantik mesti Munasar membebel kata saya tak banyak masa di Lombok, esok nak conference dah, macamana dia nak bawa ke semua tempat. Haih, pantai macam dalam gambar ni, belakang rumah orang pun ada merata-rata kat Lombok ni. Teruja sungguh!


Ini jeti untuk ke Gili Trawangan, Gili Air dan Gili Meno. Tiga pulau yang berderetan.


Harga tiket menggunakan bot awam ke Gili Trawangan adalah Rp15,000 sehala. Kalau nak naik fast boat harga standard menurut Munasar adalah Rp75,000 sehala. Bezanya guna fast boat ambil masa lebih kurang 15-20 minit ke Gili Trawangan, guna public boat ambil masa lebih kurang setengah jam. Selain dari tu, guna public boat kena tunggu boat penuh baru gerak. Tapi takdelah lama sangat. Tak sampai berjam-jam pun. Lagi satu jaket keselamatan tak pakai walaupun ada tersedia kat siling bot. 


Ni bukan kat pasar tau. Ni lah gayanya kat dalam bot awam ke Gili Trawangan tu, kalau ber'nasib baik' naiklah kita di dalam bot bersama-sama dengan betik, jagung, tauge, kacang tanah, pisang, dan sebagainya. Munasar kata tak semua bot bawa barang-barang ni. Kebetulan kami naik yang tengah bawa segala jenis supply ke Gili Trawangan. Zaman dulu-dulu sebelum pulau ni popular kata Munasar penduduk di Gili Trawangan ni sangat daif sebab tanahnya tak sesuai untuk pertanian dan bila korek tanah nak buat telaga, air pun masin. Sebab tu segala jenis barang dibawa dari pulau besar Lombok, termasuklah pasir dan tanah untuk pembinaan.


Gili Trawangan, pemandangan dari dalam bot.


Mat Saleh merata-rata kat sini. Kenderaan yang boleh digunakan cuma basikal dan Cidomo (kereta kuda). Kami naik Cidomo free sebab abang ipar Munasar pemandu Cidomo, jadi dia minta kawan-kawan dia bawa kami.


Jalan-jalan punya jalan sampailah kami di Ombak Sunset yang popular ni sebab ada buaian tengah laut. Malangnya air tengah surut. Kulit pun dah hitam legam sebab panas. Gambar semua tak cantik. 


Sebab air surut jadi kami pun jalan-jalan dalam air. Hati-hati sebab ada banyak binatang bentuk macam tapak sulaiman tapi kaki panjang dan banyak duri tu. Saya lupa Munasar cakap nama dia apa. Tapi kalau tak pakai selipar bahayalah terpijak benda tu.


Air memang jernih yang amat, tapi banyak terumbu karang yang dah mati tu. Kalau nak mandi kat sini tak berapa syok rasanya.


 Ni salah satu kawasan kat Gili Trawangan ni. Binaan daripada buluh. Sangat cantik.


Yang ni berdekatan dengan Ombak Sunset. Cantik pulak lalang-lalang tu.

Dalam pukul 1 lebih kami ambil bot pulang dari Gili Trawangan. Lepas singgah satu masjid dan solat perjalanan diteruskan ke Air Terjun Sendang Gile.


Pemandangan sepanjang perjalanan. Sawah, ladang jagung, kacang tanah, bawang, cili, kangkung, tembakau dan macam-macam lagi. Seronok melayan mata tengok hijau kiri kanan jalan. Sawah masih diusahakan pakai bajak macam zaman dulu-dulu, tanam dan tuai pun pakai tangan. Boleh nampak juga orang ramai-ramai bekerjasama menuai kacang tanah. Saya teruja tengok.


Dah sampai Sendang Gile, boleh nampak Gunung Rinjani tersergam indah dalam perjalanan ke sini. Bayaran masuk Rp10,000.
Sebenarnya ada dua air terjun kat sini, Sendang Gile dan Tiu Kelep. Kalau tengok gambar pada signboard saya rasa Tiu Kelep cantik lagi, tapi kami tak sempat nak menjejakkan kaki sebab hari dah petang dan hujan renyai-renyai kejap muncul kejap hilang.


Ini perjalanan turun ke bawah nak menuju ke air terjun. Beratus-ratus anak tangga.


Dah sampai.
Cantik.
Tak sia-sia berpenat lelah turun naik tangga. Hahaha...


Dalam perjalanan balik sempat singgah tepi jalan, meredah masuk sawah bendang orang tanpa izin, sebab nak ambil gambar cantik sawah padi bertingkat-tingkat berlatar-belakangkan Gunung Rinjani ni. Subhanallah. Memang cantik.


Botak-botak belaka pokok-pokok di kawasan ni. Munasar kata sekarang musim kering. Kawasan menuju ke Rinjani ni, saya nampak beberapa batang anak sungai takde air. Memang kering betul.

Malam itu kami ambil supervisor di hotel dan pergi makan ayam taliwang dan pelecing kangkung. Mula-mula Munasar nak bawa kami ke Desa Taliwang, tempat asal ayam taliwang ni, tapi dia terlepas simpang dan hilang ingatan jalan ke sana. Haha... Akhirnya kami makan di Restoran Sayang-Sayang, Tepi Sawah. Malam-malam nak menikmati pemandangan tepi sawah menda. Haha..


Ni ha pelecing kangkung. Dah macam makanan ruji dah kangkung ni kat Lombok. Gambar ayam taliwang gelap sangat tak sanggup nak pamerkan kat sini. ;-)

Sampai situ je lah penjelajahan kami di Lombok. Hari Selasa dan Rabu penuh dengan jadual conference. Hari Khamis kami pulang dengan penerbangan jam 12.15 tengahari. Disebabkan Jayakarta Hotel ni jauh dari pusat pelancongan jadi kami beli saja souvenir yang dijual pakcik-pakcik tepi pantai dan jalan kaki ke Pusat Ole-Ole Sasaku berdekatan hotel dan beli dodol nangka, yang merupakan antara makanan tradisi Lombok.


Punya banyak kangkung kat Lombok ni agaknya sampai rempeyek kangkung pun ada kat Sasaku ni. Tapi saya tak beli, takut dah lemau macam kerepek-kerepek kat Malaysia. Hahaha..

Jujurnya rasa tak cukup 2 hari pusing Lombok. Masih banyak tempat yang saya nak pergi. Dan kehijauan suasananya, juga kesederhanaan kehidupan penduduknya, menerbitkan kerinduan. (Motif bersastera pujangga kat sini?)

Dah lah. K, bye.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...