Thursday, September 10, 2015

Cuti-Cuti Pulau Redang

Cuti panjang sempena Merdeka yang lepas kami ke Pulau Redang. Walaupun dah lama merancang, dan memujuk keluarga sana-sini untuk ikut sama tapi takde sambutan, akhirnya kami cuma dapat buat keputusan untuk pergi berdua seminggu sebelum 31 Ogos. Disebabkan cuti umum, kebanyakan agen yang dihubungi memberikan jawapan mengecewakan. Tapi bak kata orang 'usaha tangga kejayaan' akhirnya kami dapat juga tempat (satu-satunya yang tinggal kata pemilik chalet) di Redang Lagoon. Pakej sempena cuti umum berharga RM340.00 seorang, campur GST kami kena bayar RM720 untuk pakej 3 hari 2 malam bagi 2 orang. Harga pakej termasuk penginapan, makan lima kali sehari, BBQ, snorkeling 3 kali, dan tiket feri pergi dan balik. Goggle dan life jacket kena sewa berasingan.

Kami bertolak dari Kuala Lumpur selepas solat Isya' hari Khamis, dan tiba di rumah kakak ipar di Seberang Takir jam 4.00 pagi lebih kurang. Kalau nak ikutkan perjalanan takdelah selama tu, tapi disebabkan kami asik berhenti tidur yang lama, itu yang tak sampai-sampai. Esoknya, lepas sarapan pagi, kami bertolak ke Jeti Shahbandar di Kuala Terengganu. Feri pagi itu jam 9.30am. Sewaktu tiba, kami diberitahu oleh petugas kaunter yang nama kami tiada dalam senarai, tapi lepas menghubungi pihak chalet baru mereka mengesahkan nama kami memang ada. Pihak chalet lupa faks nama ke apa entah tak tau.

Perjalanan menaiki feri mengambil masa lebih kurang 2 jam. Saya tidur dengan nyenyak, bangun, dan tidur balik pun tak sampai-sampai lagi. ;-) 

Ni keadaan dalam feri, tingkat atas. 
(Rambut sapa la jadi mangsa kamera ni ;-/) 
Kebetulan kami lewat sebab tersangkut kat kaunter tiket tadi, jadi terus ke tingkat atas. Orang kata kalau kat bawah kemungkinan untuk pening dan muntah lebih tinggi, wallahua'lam.

Disebabkan takde jeti di kawasan chalet, feri berhenti sekerat jalan dan kami kena bertukar naik bot yang besar. Sebelum sampai saya bayangkan bot kecil yang kami kena singsing seluar bila sampai tepi pantai, rupanya bot besar yang ada pelantar (nama apa entah benda alah tu, yang penting sampai tepi kita lalu situ terus turun kat pasir, bukan atas air).

Tu la rupa bot yang datang jemput kami kat laut.

Sampai kat tepi pantai tu, ada banyak trak dari resort-resort berhampiran yang menunggu pelanggan chalet masing-masing. Cari punya cari tak jumpa trak Redang Lagoon, jadi kami ambil keputusan jalan kaki. Tak jauh mana pun. Sempat excited bukak selipar, amik feel pasir yang halus. ;-) Sampai chalet, kami terus ke kaunter check-in, tapi sedikit geram juga waktu check-in staf di kaunter minta bukti kami dah bayar deposit. (Bebel dalam hati kejap, '"diorang ni takde rekod ke?"). Kami minta bilik yang menghadap laut, tapi dah penuh. Tapi dapat juga bilik dua tingkat berdekatan laut. Buka pintu belakang nampak juga laut.

Pasir pantai putih, lembut macam tepung. Subhanallah... Masya-Allah..

Suasana sekitar Redang Lagoon. Lokasinya memang sangat strategik sebab betul-betul berdepan dengan pantai. Tidur sambil dengar deruan ombak. Cuma perkhidmatannya agak kurang memuaskan. Waktu kami sampai, bilik berpasir, cadar berkecamuk, bilik air kurang bersih. Tapi untuk harga pakej yang boleh dikatakan rendah berbanding chalet lain, tak bolehlah komen lebih-lebih sangat kan?

Ini antara tarikan Redang Lagoon juga. Sangat banyak buaian untuk bersantai-santai depan laut.

Best kan? Pantai di sini sangat landai, dah jauh ke tengah pun cetek lagi.

Ni bilik yang kami dapat - tingkat atas. Tingkat bawah ada satu katil Queen dan aircond. Tingkat atas pakai kipas. Disebabkan bilik ni sangat basic, takde almari, kerusi, meja bagai, yang ada cuma katil je, jadi kami jadikan tingkat bawah sebagai tempat letak barang, tidur kat atas. Lagi pun privacy sikit. Tidur kat bawah dengar sebijik-sebijik orang sebelah buat apa. ;-)

Ni tempat makan. Makanan yang dihidangkan boleh dikatakan sedap dan pelbagai.

Hari pertama kami dihabiskan dengan tidur dan bergambar. Gigih posing berdua sebelum jadi legam bila dah lama kena terik mentari pantai. Pukul 6 lebih bila dah sedikit redup Encik Suami ajak mandi laut. Walaupun dulu-dulu saya tak suka mandi laut ke, sungai ke, sebab ramai orang, tapi disebabkan kesian dia takde geng saya ikutkan juga. Sambil jalan dalam air tu ikan pusing-pusing berenang keliling. Tengok orang bagi makan roti punya banyak ikan datang, kami pun semangat nak pi beli roti. Hihi..

****************

Hari kedua kami dimulakan dengan aktiviti bergambar selepas sarapan pagi. Lepas tu cari kedai runcit sebab nak beli roti bagi makan ikan. 

 Kedai runcit ni kat chalet sebelah. Kalau tertinggal apa-apa bolehlah ke sini untuk beli barang-barang asas.


Lebih kurang pukul 9.30am kami ke Marine Park untuk snorkeling melihat ikan-ikan. Perjalanan dari
Pulau Redang ke Marine Park mengambil masa kurang dari satu jam.

Ini Marine Park. 
Disebabkan Redang takde jeti, dan air pasang waktu pagi kami terpaksa meredah air agak jauh untuk naik bot ke Marine Park. Sampai satu tahap, orang yang tak cukup tinggi macam saya dah terapung-apung tak jejak pasir tapi tak sampai jugak lagi ke bot. Kalau bawa orang tua atau yang berbadan sangat besar agak kesian sebab bot tu agak tinggi untuk dipanjat. Tapi nak kata tak boleh langsung pun tak logik, sebab ada beberapa orang yang bawak baby untuk ke Marine Park ni. Selamat je sampai. Saya je yang cuak tengok cane dia nak panjat bot. Apa pun petugas chalet sangat banyak membantu.

Air masih tenang sebelum diredah manusia-manusia yang gigih nak tengok ikan. Kami diberi masa satu jam di sini.

Sangat jernih kan air dia? Tali yang warna putih tu penanda supaya orang-orang yang snorkeling tak melebihi kawasan tersebut. Kalau tengok air yang berwarna agak gelap tu ada banyak coral di situ. Tapi macam biasa saya penakut, jadi snorkeling kat tepi-tepi je. Tu pun dah bahagia tengok ikan colourful. Ini pengalaman pertama saya snorkeling. Tu pun sebab kena paksa. Mula-mula tu macam nak muntah masuk getah untuk bernafas tu dalam mulut. Lama-lama seronok pulak. Haha..

Balik dari snorkeling, lepas makan tengahari, solat dan berehat kami merayau-rayau cari souvenir, ambil gambar lagi, minum air kelapa dan mandi laut lagi.

Kebanyakan chalet di sini ada kedai souvenir sendiri, kecuali Redang Lagoon. Kalau nak cari souvenir yang bertulis Pulau Redang kena beli di pulau sahaja. Balik ke tanah besar tak jumpa dah.

Pakcik jual air kelapa ni kata ada je aktiviti lain boleh buat di Pulau Redang ni selain mandi laut. Kalau nak jungle trekking pun boleh. Tapi bila kami tanyakan pada owner chalet macamana nak jungle trekking dia jawab kena naik bot ke kampung lain. Bila tanya mana nak dapat bot dia suruh cari di tepi pantai. Konfius pulak tak tau mana nak cari. Lagi pun memang tak bawa kelengkapan yang sesuai. Insya-Allah lain kali.

Malam tu lepas makan malam kami habiskan masa dengan berjalan kaki ke Laguna Redang (hotel mahal) minum teh tarik secawan RM4.50. Sempat berborak dengan pelancong dari German yang menggelar Redang sebagai syurga. Dan sempat juga makan burger tepi laut sebelum baring-baring di buaian dan terlena sekejap. Haha.. 

******************

Hari terakhir jam 9.30am dah kena check out walaupun feri cuma datang jam 11.00am. Kami check-out awal tapi tak ikut orang lain naik trak untuk ke tempat berkumpul. Disebabkan jarak Redang Lagoon dengan feri tak jauh kami duduk je di situ sambil tunggu feri datang. Nampak bot bergerak nak amik penumpang untuk ke feri baru kami berlari-lari. Hihi..

 Gambar sekitar pantai dari depan Redang Lagoon.

Inilah hasilnya tunggu feri lama-lama. Gambar feeling-feeling tepi pantai pakai tripod sambil diperhatikan oleh seorang aunty yang kemudiannya tepuk tangan gembira tengok kami syok sendiri. Kikiki...

Sekian percutian 3 hari 2 malam kami. Feri tiba di Kuala Terengganu jam satu tengahari. 

Nak jugak masukkan gambar ni. Tengahari buta dengan matahari tegak memancar di atas kepala, disebabkan anak buah datang lambat untuk ambil kami di Jeti Shahbandar, dan kami konon-konon nak berdikari dan nak makan berdekatan dengan Stesyen Bas Kuala Terengganu, akhirnya kami tersesat berjalan kaki entah ke mana-mana. Berpinar ooo jalan kaki panas-panas 'jepret'. ;-)


Wednesday, September 2, 2015

Jalan-Jalan Cameron Highlands

Hujung minggu yang lalu kami ke Cameron Highlands beramai-ramai. Kali terakhir saya menjejakkan kaki ke Tanah Tinggi Cameron adalah pada tahun 2012, selepas menghantar rombongan meminang Eyma di Ipoh. Itu pun sangat sekejap, rasa macam naik bukit dan kemudian turun. Kali ni kami bertolak pagi dalam pukul 8.00am, menggunakan laluan Tapah dan tiba di ladang teh Cameron Valley sebelum jam 1.00 tengahari. 


Ada dua ladang teh yang popular di Cameron Highlands - Ladang Boh dan Bharat Tea atau Cameron Valley. Waktu saya pergi tahun 2010, Ladang Boh agak jauh ke dalam dengan laluan kecil yang agak mencabar. Disebabkan itu kami lebih suka singgah di Cameron Valley setiap kali ke sini kerana lokasinya yang terletak di tepi laluan utama. Seperti biasa kalau singgah di sini aktiviti utama adalah bergambar, minum teh, dan  kalau mahu beli souvenir serbuk teh yang bermacam-macam perisa boleh beli di kedai rasmi yang terdapat di sini. Tapi lepas pusing-pusing pasar dan kedai di Cameron Highlands ni, saya boleh buat kesimpulan yang harga teh jenama sama di luar adalah lebih murah berbanding di kedai ni. Cuma yang kat kedai ni cantik la sikit, takde debu-debu macam kat pasar. Haha..

Disebabkan perut dah lapar lepas beria bergambar kami ke Brinchang untuk makan tengahari dan kemudiannya check in di homestay. Walaupun kebiasaannya kami menginap di hotel apabila ke Cameron Highlands, tapi kerana mahukan kelainan, saya google-google dan book sebuah rumah dua bilik di ASZI Homestay yang terletak di Taman Sedia. Sangat puas hati dengan lokasi homestay yang berada di atas bukit dan dapat melihat pemandangan Taman Sedia dari atas. Memang rasa macam kat rumah, siap boleh main masak-masak. Harga sebuah rumah tersebut ialah RM250.00 dan boleh memuatkan lebih kurang 9 orang. Setiap bilik ada katil Queen dan single. Yang tak dapat bilik tu boleh tidur di ruang tamu. ;-) Cuma satu yang perlu diingat kalau menginap di ASZI Homestay ni tak perlu bersusah-payah masuk ke Taman Sedia untuk cari rumah. Boleh jumpa signboard di tepi jalan besar dari Tanah Rata atau Brinchang yang menuju terus ke rumah tersebut. Kami beria pusing Taman Sedia akhirnya jumpa tangga je. Kena keluar balik ke jalan besar baru dapat masuk kawasan rumah.


Pemandangan dari ASZI Chalet. 

 yang ni gambar di ruang tamu, dan manusia-manusia kesejukan yang mengharapkan wujudnya unggun api.

Lepas check-in dan ronda-ronda rumah sambil teruja tengok ladang kobis depan rumah dan pokok pisang kaki di lereng bukit, kami turun tangga di sebelah rumah dan jalan kaki ke ladang strawberi Taman Agro Al-Mashoor. Kat Taman Sedia ni ada beberapa ladang strawberi milik Muslim. Rasanya lepas jumpa ladang-ladang strawberi kat Taman Sedia ni saya tak teruja dah nak makan aiskrim dan yogurt strawberi kat ladang lain di Cameron Highlands ni. Cukup makan puas-puas yang kat sini sebab terjamin halal dan dibuat oleh Muslim.


 Aiskrim strawberi homemade. Punye teruja sampai goyang-goyang kaki tunggu Tuan Kedai amik aiskrim letak dalam bekas.

Dah sampai Cameron wajiblah kena ada gambar strawberi kan?

Pulang dari menikmati aiskrim dan pusing-pusing Taman Sedia amik gambar pokok bunga kat rumah orang kami ke Taman Agroteknologi Mardi tapi sayangnya dah tutup. Kebanyakan tarikan di Cameron tutup jam 5.00pm atau 6.00pm, jadi tak boleh lewat-lewat petang sangat. Sebab kecewa, kami kemudiannya ke Pasar Malam Brinchang. Beberapa tahun dulu bila ke Pasar Malam ni agak ragu-ragu dengan kehalalan makanan yang dijual, tapi sekarang dah tersangat ramai peniaga Muslim. Jadi tak perlu ragu-ragu lagi. Nak makan apa beli saja. Antara yang menarik di sini adalah sayur-sayuran yang digoreng tepung, dan jagung bakar kukus rebus semua ada. Jangan teruja sangat tengok sayur yang dijual dengan harga RM10 lapan bungkus, sebab anda boleh dapat sayur yang lebih banyak dan lebih murah di Kea Farm.

Pulang dari pasar malam dah lepas Maghrib, sempat masak steamboat dan makan beramai-ramai. Lebih kurang pukul 11.00 malam kami keluar lagi sekadar untuk menikmati teh tarik, dan melayan sepupu-sepupu kecil yang mahu membeli stokin kerana kesejukan.

*****************

Agenda utama hari kedua adalah untuk ke Lavendar Garden. Jadi lepas sarapan pagi dan check out kami meneruskan perjalanan ke Lavendar Garden yang terletak agak jauh dari tarikan utama Cameron Highlands yang lain. Bayaran masuk adalah RM6.00 seorang untuk dewasa. Sangat berpuas hati sebab di dalamnya penuh dengan bunga-bunga yang berwarna-warni dan kawasan-kawasan menarik untuk bergambar. Sapa tak pernah jumpa bunga lavendar sebenar, sila ke sini untuk menikmati bunga ini.


Bunga daisy ni boleh beli setangkai RM2, enam tangkai RM10.

Lepas puas meronda di sini kami ke Kea Farm. Kea Farm ni macam pasar yang macam-macam barang ada, dari souvenir sampai pokok-pokok dan sayur-sayuran. Harganya lebih murah dan boleh ditawar-tawar.



Agak-agak duit dah hampir habis di Kea Farm ni, kami patah balik ke Tanah Rata sebelum berhenti sekali lagi untuk minum teh di Cameron Valley. Dalam pukul 2 lebih kami mulakan perjalanan turun sebelum tiba untuk makan tengahari cum makan malam (sebab dah dekat pukul 5.00pm) di R&R Tapah. 

Sekian percutian 2 hari 1 malam kami yang menggembirakan. ;-)


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...