Kahkahkah, tajuk sangat skema. Sila abaikan.
Rasanya ini trip paling dramatik dalam hidup saya. Dari waktu beli tiket sampai berada di sana, macam-macam episod drama terjadi. Mungkin banyak sangat dosa kot, tu yang jadi macam-macam supaya beringat. Huhu...
Saya beli tiket pada asalnya dengan kos hanya RM160 pergi dan balik. Antara harga tambang termurah ke Yogyakarta yang saya pernah dapat, sebab dah setahun dua juga saya sekodeng tiket Air Asia untuk ke sana, biasanya mencecah RM200 ke atas. Maka kerana rasa teruja saya terus beli tiket tanpa minta kebenaran orang tua (haha, tu yang lepas tu dapat balasan macam-macam).
Beberapa minggu selepas beli tiket, saya mendapat arahan untuk menghadiri kursus anjuran fakulti, yang bertindan dengan hari terakhir saya di Jogja. Maka disebabkan saya pekerja yang skema dan patuh arahan, saya mempertimbangkan untuk beli tiket baru untuk pulang awal sehari, atau untuk tukar tarikh bagi tiket yang sama. Disebabkan kos beli tiket baru adalah lebih mahal, maka saya tukar tarikh pulang dari 3hb ke 2hb. Walaupun nyampah sebab kena bayar denda RM100, tapi saya belajar ilmu baru di sini. Rupa-rupanya proses untuk mengasingkan 2 penumpang yang pada mulanya atas satu tiket, dan proses tukar tarikh tiket semuanya boleh dilakukan sendiri online sahaja, tanpa perlu hubungi Air Asia. Sila menyelongkar page Manage My Booking di website Air Asia untuk melakukan perkara-perkara tersebut ye.. ;-)
Itu cerita sebelum hari bertolak.
Pada hari saya sepatutnya ke Jogja, iaitu 29 November, saya dengan konfiden lagi bergaya ke LCCT bersama Cik Ana. Tiba-tiba..... sewaktu mendapatkan cop sebelum ke ruang menunggu pelepasan, staf Air Asia dengan muka takde perasaan memberitahu "passport cik akan tamat dalam tempoh kurang dari 6 bulan. Tak boleh terbang ni".... Erk, abis tu macamana? Waktu macam ni la tiba-tiba nak teringatkan boss lama saya Dato' Dorai yang suka ulang-ulang Murphy's Law 'Anything that can go wrong, will go wrong'... ini memang everything goes wrong punya kejadian ni. Sebab sebelum pergi lagi dah terfikir-fikir tarikh tamat passport, tapi tak check dan tak buat apa-apa. Huaaaaaa.... Maka saya ke kaunter orang-orang bermasalah (jangan tak tau, Air Asia ada kaunter orang banyak masalah di LCCT), dan beli tiket baru dengan kos RM368 untuk terbang pada keesokan harinya (haiya, elok2 tiket dari RM160, sekarang da jadi beratus-ratus. Terasa seperti teringin nak lempang diri sendiri sebab membuatkan Tony Fernandez bertambah kaya. hihi). Petang tu, saya ke imigresen Shah Alam untuk buat passport baru. Kebetulan cuti sekolah, punya ramai orang sampai passport saya tak dapat disiapkan pada hari yang sama. Tapi, dengan muka sedih, sayu dan kesian, saya buat rayuan kat tiap-tiap kaunter setiap kali dipanggil, dan akhirnya saya berjaya mendapatkan passport sebelum pejabat imigresen ditutup. Alhamdulillah... segala puji bagi Allah yang menggerakkan hati staf imigresen untuk membantu saya.
Yogyakarta - Day 1
Saya bertolak dengan penerbangan jam 12.00 tengahari. Sampai di Jogja jam 1.30 waktu tempatan. Waktu di sana sejam lewat dari Malaysia. Disebabkan saya pergi sorang-sorang (Cik Ana dan Aflah dah bertolak semalam), maka saya ambil saja airport taxi untuk ke hotel. Takde sapa nak jemput saya sebab mereka yang lain sedang bergembira di Solo waktu saya sampai. Kos teksi dari lapangan terbang ke hotel Agung Mas di Jalan Cokroeminoto adalah Rp130,000. Ini sebenarnya agak mahal, tapi sebab saya baru sampai dan sorang-sorang, tak berani nak ambil teksi suka hati tepi jalan. Disebabkan kelaparan, dan saya tengok pemandu teksi tersebut ok, saya minta dia berhenti di tempat makan, dan ajak dia makan sekali. Kos makan dua orang, nasi dengan lauk ikan, daging dan sayur dengan air teh cuma 7 ringgit duit Malaysia. Teruja kejap.
Hotel Agung Mas. Murah je ni. Cuma Rp165,000 satu malam.
Sampai hotel dah pukul 4 lebih. Saya rehat kejap dan tak lama lepas tu Aflah dan Cik Ana pun sampai dengan kain batik yang banyak dan telekung. Dah start shopping dah... haha.. Disebabkan pukul 6 dah gelap gelita di Jogja, tak lama lepas Maghrib saya dan Cik Ana ke Jalan Malioboro. Ini pusat Yogyakarta. Nak cari cenderahati untuk dibawa pulang memang merata-rata di sini. Maka saya sempat beli beberapa helai t-shirt untuk orang tersayang. Haha...
Yogyakarta - Day 2
Ni je la hari yang ada untuk saya jalan-jalan sebab esok dah balik. Alahai.. Pagi itu kami ke rumah makcik Aflah untuk sarapan pagi. Lepas tu kami ke Candi Borobodur. Bayaran masuk untuk ke Candi Borobodur ini bagi warga tempatan cuma Rp 3,000. Untuk pelancong luar USD20. Tapi disebabkan saya bawa kad pelajar, maka saya cuma perlu membayar Rp95,000. Mahal jugak la sebenarnya, tapi masih boleh diterima berbanding harga bukan pelajar.
Semua pengunjung perlu memakai kain warna biru yang macam abang dalam gambar ni pakai.
Kat sini pun ada kejadian juga. Passport Cik Ana hilang tanpa disedari. Tiba-tiba ada pengumuman passport ditemui. Sabar je la. Nasib baik banyak yang membantu di sini. Dalam masa yang sama kami terpisah dari Aflah. Saya pulak tak beli simkad Indonesia sebab fikir 3 hari je. Elok sangatlah. Bila terpisah macam ni, pakai la roaming Maxis yang mahal berganda-ganda itu. Punya lama kami di Candi ni, sampai lepas waktu Zuhur, bukan sebab melawat candi semata-mata tapi sebab episod hilang-hilang ni la.
Lepas Borobodur, kami meneruskan perjalanan ke Gunung Merapi. Dalam perjalanan tersebut, sempat singgah makan dan beli salak pondoh yang murah, cuma Rp5,000 sekilo. Seringgit lebih je tu, kat Malaysia RM8 sekilo.
Yang ini kami beli betul-betul di tempat peraih. Menurut supir yang membawa kami kalau di Kota Jogja, boleh mencecah Rp20,000. Wallahua'alam.
Malangnya dalam perjalanan ke Merapi hujan turun dengan lebatnya. Kami naik juga ke kaki gunung, tapi satu apa pun tak nampak. Turun dari kereta pun tak. Terasa sangat rugi, tapi nak buat macamana. Takde rezeki.
Turun dari Merapi kami ke Candi Prambanan. Alhamdulillah hujan dah berhenti. Bayaran masuk ke Candi ini adalah Rp85,000 untuk pelajar. Nasib baik sempat sebab pintu masuk ditutup jam 5 petang. Kat sini pun sekali lagi kena pakai kain batik. Hehe..
Ini candi yang terbesar antara gugusan candi-candi di situ. Untuk masuk ke sini kena pakai topi jurutera tu sebagai langkah keselamatan. Haha, jadilah berangan jadi engineer kejap.
Seronok pulak melawat tempat-tempat bersejarah ni. Balik dari Jogja, saya gigih meng'google nak baca sejarah tempat-tempat ni.
Yogyakarta - Day 3
Flight saya hari ni pukul 5 petang. Jadi pagi ni sempat melawat beberapa tempat berdekatan.
Kraton ni tempat kediaman Sultan.
Dari Kraton kami berjalan kaki ke Taman Sari. Disebabkan kesuntukan masa, di sepanjang perjalanan inilah saya ambil kesempatan untuk singgah ke beberapa kedai batik dan t-shirt. Jogja terkenal dengan t-shirt Dagadu yang tertulis kata-kata lucu di atasnya. Teruja kejap membaca.
Taman Sari.
Kolam ni dikatakan sebagai tempat mandi gundik-gundik Sultan terdahulu. Sultan kemudian akan memilih gundik yang dimahukannya pada hari tersebut.
Balik dari Taman Sari, saya minta bantuan hotel untuk mendapatkan teksi. Rupa-rupanya kos ke airport menggunakan meter dari hotel cuma Rp53,000. Jauhkan beza dengan kos airport taxi? Lapangan terbang Jogja ini sangat kecil dan lebih banyak tertumpu untuk penerbangan domestik sebenarnya. Satu yang perlu diingat setiap kali ke Indonesia, jangan habiskan duit kerana perlu membayar airport tax. Airport tax di Jogjakarta ini adalah Rp100,000. Kaunter cukai cuma dibuka bila pintu ke ruang menunggu pelepasan dibuka. Kan da cakap airport kecik. Tu yang gitu kot.
Beberapa tips:
1. Kami tidak menggunakan beca di sana kerana menurut kawan, walaupun tukang beca memberi harga yang rendah, tapi biasanya dia akan cuba untuk buat kita singgah banyak kedai supaya dia boleh mendapat tips dari pekedai.
2. Teksi Jogja sepatutnya menggunakan meter. Jadi sebelum naik tanya dulu pakai meter tak. Jangan terkejut sebab untuk jarak dekat, walaupun meter belum sampai Rp20,000, anda tetap perlu membayar tambang minimal Rp20,000.
3. Kalau anda pelajar, jangan lupa bawa kad pelajar, sebab kebanyakan entrance fee berbeza untuk pelajar.
4. Antara makanan yang pasti halal di Jogja adalah makanan Minang/Padang. Makanan lain di sini mempunyai tahap kepedasan yang boleh mengeluarkan asap dari telinga. ;-)
5. Kalau mahu membeli barang, tawar sehingga 70%. Untuk kedai-kedai yang menawarkan harga tetap, masuk dan tanya dulu ada diskaun tak. Sebab majoriti kedai menawarkan diskaun walaupun kononnya harga tetap.
6. Jangan lupa beli simkad walaupun cuma pergi 3 hari. Hahaha... Anything that can go wrong, will go wrong kan? Kawan Indonesia saya mencadangkan simkad Simpati (Telkomsel) kerana coverage nya yang baik.
7. Tempat pelancongan seperti Kraton biasanya ada guide yang boleh megiringi dan memberi penerangan. Guide official biasanya berbaju batik. Tanya dulu berapa bayaran sebab sepatutnya mereka akan jawab 'beri seikhlasnya'. Di Taman Sari ada warga tempatan yang akan ikut kita dan memberi penerangan tanpa diminta. Mereka ini unofficial. Kawan Indonesia saya kata jangan layan.
8. Bagi saya Jogja bukan tempat shopping seperti Bandung atau Jakarta. Jadi tak perlu spare duit yang banyak untuk shopping, tapi sediakan duit yang mencukupi untuk masuk ke tempat-tempat pelancongannya yang agak mahal.
9. Jogja adalah pusat barangan kulit. Disebabkan bukan fanatik barang kulit, saya hampir terlupa tentang ini walaupun telah diberitahu oleh teman-teman Indonesia sejak sebelum ke sini. Bila ke Medan tempohari dan seorang teman mengirim barang kulit, guide kami memberitahu kalau nak cari barang kulit cari di Jogja, kalau cari di Medan, ia tetap barang kulit yang berasal dari Jogja. Jadi kalau anda peminat barangan kulit, sila jangan lepaskan peluang.
Hoho, itu saja kisah pelancongan paling dramatik saya. Haha... Lepas ni saya akan check passport selalu.. Intaha.