Dari Abu Dzar, dia berkata:
'Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang ikhlas'
'Hingga aku bertanya tentangnya kepada Jibril'
'Hingga aku bertanya kepada Tuhan Yang Maha Agung'
Maka Jibril bertanya kepada Allah, yang kemudian Allah berfirman:
'Ikhlas adalah suatu rahsia dari rahsia-rahsia-Ku, yang AKU titipkan ke dalam hati hamba-hamba-Ku, yang tidak akan diketahui malaikat hingga ia mencatatnya dan tidak pula syaitan yang akan merosakkannya'
Persoalannya, apakah itu ikhlas?
Sebelum menjawab kepada persoalan di atas, ada baiknya kita melihat kembali apakah tujuan kita hidup di dunia ini.
'dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku'
(adz-Dzariyaat; 56)
Ibadah di sini bukanlah bermaksud solat 24 jam dan puasa 365 hari setahun. Perbuatan-perbuatan lain seperti bekerja, belajar, hatta makan dan tidur sekali pun dikira sebagai ibadah sekiranya dilakukan hanya kerana yang satu, iaitu Allah s.w.t. Ikhlas letaknya pada niat, pada tujuan kita melakukan sesuatu. Ikhlas bukan merujuk kepada kata-kata lisan 'aku ikhlas', tetapi terletak di dalam hati, yang adakalanya kita sendiri pun tidak menyedarinya, tetapi Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Membaca buku 'Menyukat Ikhlas Diri' di atas membuatkan saya tertanya-tanya kembali, apakah ada amalan saya, sepanjang 28 tahun umur saya ini, yang saya lakukan hanya semata-mata kerana Allah s.w.t. Kenapa saya belajar? Kenapa saya bekerja? Kenapa saya makan? Kenapa saya mengemas rumah? Kenapa saya mahu berkahwin? Kenapa saya mahu mempunyai anak-anak? Kenapa saya menjauhkan maksiat? Kenapa saya solat? Entah kenapa jawapan yang ditemui mengatakan hampir kebanyakan niat saya melakukan sesuatu bermotifkan duniawi semata-mata, bersandarkan kepada saya suka, saya perlukan duit untuk hidup, saya makan sebab saya lapar, saya kemas rumah sebab saya hangin bila rumah bersepah, saya nak kahwin sebab terasa usia dah lanjut, saya menjauhkan maksiat sebab tidak mahu doa tidak makbul, saya nak pahala, saya nak masuk syurga.
Astaghfirullah-al-azim...
Sesungguhnya manusia yang ikhlas tidak mengharapkan ganjaran di sebalik apa yang dilakukannya. Orang yang ikhlas melakukan sesuatu hanya kerana Allah, belajar kerana Allah, bekerja kerana Allah, berkahwin kerana Allah, beribadah kerana Allah, bukan kerana syurga neraka, bukan kerana motif-motif keduniaan.
'Barang siapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.'
(al-Isra'; 18-19)
Dari Abu Firas rahmatullah 'alaih (seorang dari Kabilah Aslam) telah berkata:
Seorang telah berseru dan bertanya:
'Ya Rasulullah, apakah itu iman?'
Nabi s.a.w bersabda:
'Iman itu ialah ikhlas'
(HR Baihaqi)
Lalu, layakkah kita mengaku beriman andainya kita tidak ikhlas?
Sesungguhnya, persoalan ikhlas ini juga mempunyai kaitan dengan sifat-sifat riak, ujub, bangga dan takbur. Adakalanya terdetik di dalam hati kita ketika melakukan sesuatu untuk melakukan yang terbaik kerana mendambakan pujian manusia, supaya nantinya kita akan digelar manusia hebat dan ternama. Sesungguhnya perubahan niat yang seperti itu boleh membawa kepada syirik kecil yang apabila tidak ditangani berupaya memberikan impak yang lebih besar. Wallahu'alam.
'Ya Allah, sesungguhnya aku ini insan yang lemah, kau peliharalah hatiku, perbetulkanlah niatku, supaya hidupku ini hanya untuk dan demi-Mu Ya Allah'
Semoga sedikit perkongsian ini mampu membuatkan kita sama-sama menilai kembali keikhlasan diri kita, dan sama-sama membetulkan kembali tujuan hidup kita menumpang di bumi Allah ini.