Wednesday, April 8, 2015

Perjalanan Singkat ke Terengganu

Bulan lepas demi memuaskan hati yang dah tak boleh jalan-jalan hujung minggu sebab ada kelas hari Sabtu, kami ke Terengganu. Ini perjalanan kali kedua ke Terengganu dalam masa 2 minggu. Bunyi macam dekat je Terengganu-Kuala Lumpur kan? Niat asal cuti hujung minggu tersebut adalah ke Cherating sebenarnya, tapi entah macamana boleh terlajak sampai Kuala Terengganu. 

Kami bertolak dari Kuala Lumpur lebih kurang dalam pukul 9 pagi. Pemanduan dilakukan perlahan-lahan dan dalam keadaan santai. Sempat berhenti di beberapa RnR. Sempat juga beli buah Kundang import yang mahal di RnR Temerloh sekilo RM35. Balik Meru tengok kat NSK RM12 je. Cis! 

Kami tiba di Cherating dalam pukul 1 lebih. Tapi mungkin kerana hari Jumaat, tengahari, keadaan masih belum cukup meriah. Disebabkan perjalanan tidak dirancang, kami keluar masuk chalet dan hotel mencari tempat penginapan, dan kebetulan waktu itu permulaan cuti sekolah. Memang semua penuh la jawabnya. Harga bilik penginapan pun mahal ya ampun secara tiba-tiba. Saya tidak pernah mengunjungi Cherating sebelum ini. Encik Suami yang memang hantu laut telah beberapa kali ke sini dan berasa kecewa kerana menurutnya Cherating dah tak cantik macam dulu. 

Dengan perut yang kelaparan tapi masih berangan nak makan tepi laut, kami teruskan pemanduan dan singgah di Pantai Kemasik. Cantik! Tapi gerai-gerai yang ada tidak kelihatan menyelerakan. 

 Pantai Kemasik, Terengganu


Kami kemudiannya meneruskan lagi pemanduan, yang akhirnya entah macamana terlajak sampai Dungun. Jam sudah menunjukkan pukul 6 lebih, dan kami sudah keluar masuk beberapa chalet dan resort di Dungun, penuh juga. Akhirnya saya cuba nasib bertanyakan bilik di Hotel UiTM Dungun, alhamdulillah, ada kosong lagi. Rate satu malam RM150 nett. Kesian Encik Suami yang konon-kononnya Beach Boy dan sukakan penginapan ala-ala chalet yang lebih santai, terpaksa redha dengan isteri yang skema duduk dalam hotel. 

Pemandangan depan Hotel UiTM yang mengadap laut. Memang cantik. Tapi lautnya sangat bergelora dan menakutkan.

Dalam perjalanan mencari-cari tempat penginapan tersebut, kami terjumpa tempat makan yang menarik - Medan Ikan Bakar Dungun. Pemandangan di sekitarnya juga menarik. Orang sibuk makan, kami sibuk amik gambar di situ.



Lepas Isya' kami ke sini lagi untuk makan. Alhamdulillah harga yang dikenakan berpatutan dan masakannya sedap. Kami makan nasi, sotong goreng tepung, tomyam seafood (yang isinya sangat banyak), juga kangkung belacan, semuanya tidak sampai RM30. Murah kan?

Ini sebahagian dari pemandangan berhadapan dengan laut di Dungun. Boleh lah nak bergambar ala-ala Hindustan.

Esoknya, alang-alang dah sampai Dungun, dan kebetulan abang ipar suami ditahan di wad Hospital Kuala Terengganu, kami teruskan perjalanan ke KT. Dalam perjalanan sempat singgah beli jagung dan kacang rebus yang banyak dijual di tepi jalan. Jagungnya sangat manis dan menyebabkan terliur bila teringat. 


Hospital Kuala Terengganu terletak berhadapan dengan Pantai Batu Buruk. Disebabkan 2 minggu yang lepas kami baru ke sini, maka tidaklah saya melencong menikmati pemandangan pantai. Kalau anda ke KT, boleh juga melawat Taman Tamadun Islam. Harga tiket RM20 untuk dewasa.



Antara monumen yang terdapat di Taman Tamadun Islam (TTI). Banyak lagi monumen lain yang menarik. Saya fikir taman ini sesuai untuk pendidikan anak-anak. Banyak ilmu yang boleh dikutip dari sini.

Alang-alang sampai ke TTI, boleh singgah di Masjid Kristal dan tunaikan solat sunat Tahhiyyatul Masjid. Selain itu, kami juga sempat singgah solat di Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung.



Petang itu, selepas ke hospital, kami bertolak pulang ke Meru (sebab hari Ahad ada kenduri kahwin sepupu). Dalam perjalanan, singgah semula di Cherating, dan tiba-tiba Cherating nampak cantik. Hahahaha...

Kecewa sebab bila bagi phone pada orang untuk ambil gambar, semua kekurangan skill dan gambar yang diambil tak memuaskan hati. Akhirnya kami cari ranting kayu dan batang pokok, adjust setting camera dan dapat gambar yang diingini. Walaupun tak hebat, tapi jadilah, kamera telefon je pun, bukan DSLR.


Lepas bergambar-gambar dan minum air kelapa tepi pantai, juga bertanya-tanya pakej penginapan di beberapa chalet, akhirnya kami pun bertolak pulang. Sampai Meru hampir pukul 1 sebab asyik singgah berehat dan tidur di RnR.

Sekian.
Baru perasan rupanya perjalanan dua hari tersebut penuh dengan persinggahan ke pantai. Memang Beach Boy sungguh lah...


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...