Friday, July 27, 2012

............

......... di atas itu menunjukkan kemalasan untuk fikir tajuk.

Mengingati Mati

Orang kata kalau kita tiba-tiba suka buat benda pelik-pelik, mungkin tu tanda-tanda buang tebiat dah nak sampai ajal. Saya tiba-tiba mempunyai hobi baru yang mungkin kedengaran biasa kalau orang lain yang buat, tapi agak pelik bila yang mempunyai hobi sebegitu adalah saya. Saya ini diketahui oleh ramai rakan-rakan sebagai orang yang penakut. Tengok iklan cerita hantu saya alih channel, orang sibuk nak bercerita kisah seram, saya lari tak nak dengar. Tiba-tiba sejak dua menjak ni saya rajin melawat kubur. Saya sengaja lalu jalan terpencil dekat perkuburan walaupun ada byk jalan utama lain. Ada keinsafan yang muncul bila tengok perkuburan dan mengingati kematian. Dan yang peliknya perasaan yang muncul tu menyebabkan ketagihan. Ketagihan untuk mengucapkan salam kepada para ahli kubur, dan ketagihan untuk mengingatkan diri sendiri bahawa satu hari nanti saya juga bakal menjadi penghuni tanah perkuburan. 

Dikatakan seorang wanita pernah bertanya kepada Saiyidatina Aisyah: 
"Mengapa hatiku keras dan jiwaku tidak tenang
Maka jawab Aisyah: " Perbanyakkanlah mengingati mati, ia boleh melembutkan 
hati"

Sungguh saya percaya mengingati mati itu melembutkan hati. Andai sebelum menunaikan solat kita sematkan di dalam hati bahawa mungkin itu solat terakhir yang akan kita lakukan sebelum ajal menjemput, percayalah ia mampu menenangkan jiwa dan menghapuskan penyakit lalai. Allah... mengingati mati membuatkan kita berfikir, 
'hakikatnya, sudah bersediakah kita untuk menghadapinya?'  
'dengan begitu banyak dosa yang kita bawa, adakah kita akan terlepas dari 
seksa kubur?'
Allah... saya pohon keampunan-Nya apabila mengingati semua ini. 

Nikmat Amal

Saya percaya ada beberapa amal kebaikan dan ibadah yang kita dituntut untuk melakukannya Allah memberikan nikmat cash sebaik sahaja kita mengerjakannya. Antara dua amal tersebut adalah sedekah dan bersolat malam. Sama seperti mengingati mati, sedekah dan solat pada malam yang sunyi itu juga mampu menyebabkan ketagihan. 

Ada sesuatu yang berbekas di hati diajar oleh salah seorang ibu saudara saya sewaktu saya masih remaja dulu (eh, tiba-tiba tersedar sekarang dah tak remaja :-)). Kalau kita mahu memberi pada orang, berikanlah yang terbaik, dan berikanlah apa yang kita paling suka dan paling sayang. Pesanan ini selalu terngiang-ngiang di telinga apabila saya mahu memberi sesuatu pada orang. Saya fikir ianya normal bila kita mahu membeli barang untuk diberikan pada orang yang susah tiba-tiba ada sahaja suara syaitan bertanduk berbisik di telinga "alah, beli yang murah je, tak payahlah yang mahal-mahal, habis duit kau nanti". Pada saat inilah kekuatan kita untuk melawan bisikan ini akan menentukan apa yang kita beli dan apa yang kita beri. Dan, yakinlah bila kita berjaya memberikan yang terbaik, ada nikmat yang tidak tergambar Allah berikan pada kita. Kebahagiaan melihat orang tersenyum melihat pemberian kita adalah sesuatu yang saya fikir akan sentiasa mahu kita ulangi. Nikmat yang tidak mungkin kita dapat dengan membelanjakan wang yang mungkin lebih banyak dari yang kita sedekahkan itu untuk membeli baju berjenama dan jalan-jalan keliling Bukit Bintang. 

Saya fikir bangun di tengah malam semata-mata untuk sujud dan tunduk kepada-NYA bukanlah perkara yang mudah. Berkali-kali berusaha berkali-kali juga tertewas dengan syaitan yang berbisik-bisik "tidur je lah, kan ke tido lambat tadi, nanti solat tak khusyuk kalau ngantuk" (tengok, salahkan syaitan lagi, manusia manusia, mengaku je lah sendiri yang susah nak bangun). Tapi percayalah, andai kita berjaya melawan bisikan itu, ada nikmat yang diberikan Allah untuk orang yang sanggup melipat selimut dan turun dari katil. Itulah saat paling tenang untuk beribadah. Saat paling bahagia dalam hidup bila kita dapat bercerita dengan Allah, dapat mengadu pada-NYA, dapat meluahkan isi hati kita. Ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Kebahagiaan yang hanya dirasai oleh orang yang melakukannya. 

Nabi S.A.W bersabda:
"Saat yang paling dekat antara ALLAH dan hamba-NYA adalah pada tengah malam terakhir, apabila kamu boleh menjadi sebahagiaan daripada mereka yang mengingati ALLAH pada waktu maka lakukanlah"(H.R al-Tarmidzi) 

Maka kerana itu, marilah kita sama-sama mengerjakan solat malam, sama-sama memperbanyakkan sedekah dan sama-sama mengingati mati. Semoga kita dapat mencapai keredhaan-NYA.

Nota Kaki:
Allignment lari, saya tak tau dah nak betulkan macamana. Takpelah, biar je la macam ni. Kan saya pernah kata menjadi orang yang 'gaptek' (buta IT versi Indonesia) pada zaman berteknologi ni bukanlah satu langkah yang bijak. ;-)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...