Wednesday, May 2, 2012

Emas Oh Emas

Nampaknya saya sudah terkena jangkitan virus cintakan emas gara-gara membuat kajian mengenai penggunaan dinar emas dalam transaksi jual beli. Satu semester membaca mengenai emas, sudah beberapa kali saya mengunjungi kedai emas, dan sekarang menyemak turun naik harga pasaran emas sudah seperti jadi rutin harian. Kalau cuma satu semester pun penangannya sudah begini, maka tidak hairanlah andai para calon Doktor Falsafah yang sedang membuat PhD begitu mendalami dan menjiwai sekali topik mereka; makan, tidur, berkhayal dan berfikir dengan topik itu selama bertahun-tahun.

Sebelum mengkaji mengenai emas ini, saya pernah mendapat e-mail tentang kelebihan menyimpan emas dan hartanah jika dibandingkan dengan wang kertas. Tetapi selepas berkali-kali membaca mengenainya dan menghadiri seminar sehari mengenai emas ini, kepercayaan saya kepada kepentingan emas nampaknya meningkat berkali-kali ganda berbanding sebelumnya. Kalau dulunya saya cuma melihat emas sebagai simpanan, sekarang baru saya tahu rupa-rupanya terdapat banyak kedai di Malaysia yang sudah menerima dinar emas dan dirham perak untuk ditukarkan dengan barang belian, sebagai menggantikan matawang ringgit.

Mengikut sejarahnya, sesetengah penulis mengatakan penggunaan dinar dan dirham dalam transaksi telah bermula sejak zaman kegemilangan Islam, walaupun hakikatnya perkataan dinar dan dirham itu sendiri bukan merupakan perkataan Arab. Walaubagaimanapun, kejatuhan empayar Turki pada tahun 1924 telah membawa bersama dinar dan dirham dari sistem kewangan dunia dan menyebabkan ia tidak lagi digunakan.

Gerakan penggunaan emas di Malaysia pula sebenarnya sudah bermula pada tahun 80-an oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai Murabitun, yang merupakan anak murid kepada Syeikh Dr. Abdul Kadir as-Sufi yang merupakan pengasas kepada Murabitun World Movement. Agenda gerakan ini antara lainnya adalah untuk menghidupkan kembali penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang, juga menaikkan kembali peranan zakat yang mana merupakan Rukun Islam keempat. Walaubagaimanapun, kesedaran mengenai nilai emas itu sendiri hanya meningkat naik selepas krisis kewangan yang menimpa Malaysia pada tahun 1997 dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu kemudiannya mencadangkan supaya Dinar Emas digunakan di dalam transaksi perdagangan antarabangsa antara negara-negara OIC. Walaubagaimanapun, kesungguhan mengenai penggunaan Dinar Emas ini kemudiannya menurun selepas perletakan jawatan Tun, dan Perdana Menteri yang menggantikannya selepas itu dilihat kurang berminat untuk memberi perhatian kepada perkara ini dengan lebih mendalam. Walaubagaimanapun, ianya tidak berakhir di situ apabila Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 2006 melancarkan Dinar Emas Kelantan yang sekarang ini digunakan di dalam transaksi jual beli oleh banyak peniaga yang mempunyai kesedaran mengenai perkara ini. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Perak juga melancarkan Dinar Emasnya sendiri, yang mana dikeluarkan lebih kepada untuk tujuan simpanan. Selain daripada kedua-dua kerajaan negeri ini, Dinar Emas juga dikeluarkan oleh syarikat persendirian seperti Public Gold dan yang lain. Walaubagaimanapun, menurut aktivis dinar yang saya temui ketika seminar yang dianjurkan oleh Dinihari Dinar, Dinar Emas yang diterima di dalam transaksi jual beli adalah yang terdapat cetakan WIM (World Islamic Mint) di atasnya, tidak kiralah ianya dikeluarkan oleh siapa pun. Tetapi, menurut mereka lagi, Dinar yang paling bagus disimpan adalah yang dikeluarkan oleh kerajaan kerana sistem sokongannya lebih kuat jika dibandingkan dengan syarikat swasta.

Nanti saya akan sambung lagi mengenai kelebihan emas berbanding wang kertas pada post yang akan datang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...