Tuesday, July 4, 2017

Jalan-Jalan Pulau Kapas

Raya keempat yang lalu kami ke Pulau Kapas. Menyelam sambil minum air kononnya, sebab raya tahun ni kami dan seluruh keluarga suami sambut di rumah kakak ipar di Terengganu. Makanya pagi raya keempat tu saya dan suami keluar rumah konon-kononnya mahu berjalan-jalan ke Tasik Kenyir tapi termelencong ke Jeti Marang, tertanya harga tiket bot dan tertanya ada bilik kosong tak. 

Disebabkan pergi tanpa perancangan, kami ambil saja bila staf di jeti bagitau ada bilik kosong di Pak Ya Seaview. Chalet lain dah penuh katanya. Jadi kami book untuk satu malam, RM100 sahaja. Tiket bot pergi dan balik RM40 seorang, dan parking kereta RM7. Jadi kami cuma guna RM187 sahaja untuk ke Pulau Kapas. Wow, tak fikir panjang dah, terus setuju.

Ini sebahagian dari Pak Ya Seaview tapi bukan bilik yang kami duduk.

Kami tunggu tak lama di jeti dan muncul bot MGH Services. Bot agak laju dan terhempas-hempas sebab ombak agak kuat mungkin. Sampai di Pulau Kapas, bot berhenti kat tepi pantai dan kami turun guna tangga kayu yang kadang-kadang terbalik dan kena didirikan semula. Lepas tu kami jalan kaki ke Pak Ya Seaview, check in dan masuk bilik. Panas yang amat kat luar, jadi kami lepak dan tidur di bilik je tunggu redup sikit lepas Asar. 

Laluan dari pantai kami diturunkan ke Pak Ya Seaview. 
Kat sini tempat tumpuan mungkin sebab agak banyak chalet. 
Nak sewa alat snorkeling, nak cari makanan ringan-ringan pun kat kawasan ni.

Bilik kami. 
Cadar dah lama, lantai berpasir, bilik air kotor, air sangat perlahan.

Satu-satunya kelebihan bilik ni adalah view dia. 
Buka pintu nampak laut dan pantai terus. 

Pantai depan bilik. Cantik kan? Cantik kan?

Petang tu terasa macam lapar, tapi kedai makan yang kami jumpa semua tak buka lagi. Ada satu gerai kecik tepi pantai jual jagung, maggi, aiskrim dan waffle. Lapar punya pasal, kami makan jagung dan maggi cup tepi pantai. Masa tu baru teringat sabun takde, ubat gigi takde, sebab datang mengejut kan. Jadi kami cuba cari kedai runcit tapi tutup. Tanya orang dan dia tunjuk satu cafe yang ada jual barang-barang keperluan peribadi macam tu. Waktu saya sampai lebih kurang jam 6.20 petang makcik kafe tu tengah marah-marah orang bagitau kafe buka pukul 6.30. Tapi saya masuk buat tak tau dan berjaya menjumpai ubat gigi. Encik Suami pegang alat snorkeling kat tepi kaunter dan kena marah juga kata bukan disewakan untuk individu. Haha.. 

Merayau sebelum makan jagung dan jumpa pantai yang tak ramai orang ni.

Kafe MakCik Garang. 
Haha. 

Sebab tak puas hati takde sabun kami ke Pak Ya Seaview balik dan Encik Suami cuba minta sabun pada staf chalet. Dapat sabun kecik 3 ketul. Jadilah. Lepas tu baru dapat mandi laut dengan tenang. Hehe..

Malam tu lepas Isya' kami ke kafe makcik garang tu balik nak makan, tapi dengan garangnya dia bagitau 'kitchen closed'. Aiyo... buka pukul 6.30 petang, 9.15 malam da tutup dapur. Kami jalan lagi ke depan dan jumpa satu restoran lain. Kakak tu dengan sopan santun bagitau staf tak cukup nak masak, jadi takleh terima pelanggan dah. Huaaaaaa nak makan apa ni? Nak taknak terpaksa patah balik ke Pak Ya Seaview (walaupun mula-mula kami tak nak makan kat situ sebab kedai dia macam tak semenggah. Kiki). Alhamdulillah ada rezeki kami malam tu, dapatlah makan kue tiaw goreng, lepas tunggu lebih sejam. Pelanggan lain yang datang dalam kumpulan lebih tiga orang tak dapat makan juga kat Pak Ya tu sebab dia kata staf tak cukup nak masak. Lepas makan sempat menyibuk tengok orang memancing dan candat sotong kat jeti. Ada gak la diorang dapat sotong katak 4-5 ekor. 

Jeti di pagi hari.

Esok pagi lepas sarapan mi maggi dan jagung sekali lagi (kesian...), kami jalan kaki konon-kononnya nak ke Bukit Singa. Ni semua hasil pengaruh sepupu yang kaki fotografi. View cantik dari atas katanya. Mungkin kami awal sangat, macam takde orang lain menuju ke Bukit Singa pagi tu. Sampai kami tanya abang-abang kedai betul ke arah kami tu. Abang tu dok bagi amaran soh hati-hati sebab kami pakai selipar. Batu tajam dan licin katanya. Laluan ke Bukit Singa lepas Qimi Resort memang agak sunyi. Rasa macam pantai tu kami yang punya, takde orang kat situ pagi tu. Abang-abang yang kami tanya kata ambil masa dalam 45 minit nak ke Bukit Singa. Kami jalan sekerat jalan dan malas, haha... jadi kami termenung layan perasaan kat pantai yang sunyi tu, main buai bawah pokok, ambil gambar lalu patah balik. Bila nak balik tu baru terserempak dua tiga orang berjalan mungkin nak ke Bukit Singa juga. 


Rasa macam menarik plak tengok batu-batu ni terhakis dengan ombak jadi macam ni.

Sunyi pantai ni pagi tu. 
Yang hujung tu Bukit Singa rasanya.. rasanyalah. Haha..

Pulau Gemia. Kat kawasan yang ada bot tu ramai orang snorkeling. 

Sampai chalet kemas-kemas sikit, tengok jam dah pukul 11.15am. Bot sampai pukul 11.30 patutnya tapi tengok-tengok dah ada bot kat jeti. Apa lagi, check out dan dengan lajunya kami berlari ke jeti takut kena tinggal.

Sekian percutian dua hari satu malam kami di Pulau Kapas. 
Insya-Allah boleh diulang lagi bersama keluarga sebab bajet yang rendah, lokasi yang tak jauh sangat dari Kuala Terengganu dan yang penting viewnya cantik.

Iklan:
Empangan Tasik Sembrong yang kami singgah sambil beraya di Johor. Cantik kan?

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...