Datuk saya berasal dari Kebumen, merantau ke Malaysia di usia muda, bernikah, beranak cucu cicit di sini lalu mendapat taraf penduduk tetap.
Rakan-rakan baik saya ramai yang berasal dari negara seberang itu - bukan sahaja dari kalangan pelajar tetapi juga dari kalangan TKI (Tenaga Kerja Indonesia).
Saya sendiri sudah berkali-kali menjejakkan kaki ke Indonesia, sehinggakan sebahagian besar passport saya bercopkan Garuda. Tetapi belum lagi saya merasa jemu - bahkan saya masih menyemai azam mahu ke Surabaya, Acheh dan Sulawesi.
Indonesia sentiasa dekat di hati saya.
Saya cintakan bahasanya, yang walaupun hampir sama dengan Bahasa Malaysia, tetapi apabila diatur menjadi satu untaian kata, ia masuk terus, jauh ke dasar hati, yang entah kenapa kesan yang sama tidak saya temui dalam bahasa sendiri (walaupun apabila diluah menjadi kata-kata, orang Melayu itu lebih lembut bualannya..)
Mungkin kerana faktor bahasa itu juga saya lebih gemarkan novel-novel negara jiran itu, berbanding novel tempatan (novel survival kehidupan maksud saya, bukan novel cinta bermimpikan suami Encik Pilot) 😛
Tetapi walau dekat mana pun Indonesia di hati saya, saya marah juga bila terjadi kes aku-mengaku 'nasi goreng milik kami, lagu negara kamu asal dari kami, tarian kamu datang dari kami'
Aduhai... kita kan serumpun.
Dan saya ini, masih patriotis orangnya.
Cumanya hari ini, apabila secara kebetulan saya tersasar arah bertemu video klip ini, dan menghayati lagu dan tulisan latarnya..
Saya tertanya-tanya 'adakah kita di tanah air yang kita cintai ini, sedang menuju ke arah jalan yang sama?'
Hati terasa pilu memikirkan masa depan.
Semoga masih ada sinar buat kita, juga anak cucu cicit kita.
**sekadar luahan rasa dari hati dan minda yang sedang cuba menghadam keadaan semasa ekonomi negara.