Monday, January 4, 2016

Cuti-Cuti Pulau Langkawi

Masya-Allah! Langkawi lagi...Dalam blog ini saja sudah masuk kali ketiga cerita Langkawi. Kalau dicampur dengan cerita Langkawi yang cuma dicatat dalam ingatan sudah entah kali ke berapa kami menjejak Langkawi. 

Percutian ke Langkawi kali ini adalah semata-mata untuk menjadi pemandu pelancong pada Encik Suami yang tidak pernah menjejak kaki ke pulau ini. Entah bagaimana rancangan yang cuma untuk dua orang itu berakhir dengan sepuluh orang ahli rombongan, dari kedua-dua belah ahli keluarga. Seperti biasa apabila perjalanan melibatkan ramai orang, keputusan muktamad untuk pergi atau tidak menjadi sangat lambat. Akibatnya pening kami menggunakan khidmat Encik Google dan sepupu di Langkawi mencari penginapan dan kenderaan. Sudahlah lambat, permintaan tinggi pula tu. Nak duduk tepi pantai katanya. Mimpi di siang harilah jawabnya.

Musim cuti sekolah, ditambah dengan cuti Krismas dan Maulidur Rasul yang berderet empat hari, memang cukup untuk menyesakkan Langkawi. Disebabkan ini kali ketiga kami mengunjungi Langkawi pada musim puncak, mungkin ada sedikit tips yang dapat kami kongsikan.

Jeti Kuala Perlis
Berbanding tahun 2013 iaitu kali terakhir saya ke Langkawi, tahun ini ada pula pemuda-pemuda bermotor menggoda mencarikan tempat letak kereta untuk kita. Membaca review di blog ramai yang berpesan supaya berhati-hati dengan mereka. Cerita adik ipar, mereka hampir ditipu dengan bayaran RM30 sehari. Kami terpaksa juga mengikut mereka ini kerana terasa sukar melepaskan diri di waktu puncak. Lari dari satu motor, ada pula dua tiga motor lain mengambil alih. Mujur bayaran yang dikenakan hanya RM10 sehari.

Jeti baru. Jam 6 pagi barisan sudah cukup panjang. Kami ambil giliran. Ada yang beratur membeli tiket ada yang menuju ke masjid Solat Subuh. Akhirnya berjaya juga mendapatkan tiket. Jam 12 tengahari!

Tiket Feri
Selepas beratur sekian lama, baru kami tahu rupa-rupanya sudah ada perkhidmatan online untuk membeli tiket feri ditawarkan oleh Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd. Tapi malangnya percubaan untuk mendapatkan tiket pulang melalui perkhidmatan tersebut gagal juga kerana ruang jumlah penumpang gagal berfungsi. Haha... Selain online ticketing, ada juga pilihan untuk membawa kenderaan sendiri ke Langkawi. Cumanya untuk musim puncak tempahan perlu dilakukan sangat awal. Kami cuba melakukan tempahan dua minggu sebelum perjalanan tetapi sudah penuh.

Tiket pulang kami beli pada hari kedua di Langkawi, iaitu sehari sebelum pulang. Tiket memang hanya dijual di kaunter sehari lebih awal. Nasihat kami jangan beli tiket pada hari yang sama di musim puncak. Ramai yang tersangkut di jeti pada hari Sabtu dan Ahad minggu kami di Langkawi tersebut. Tiket habis. Sampai masuk suratkhabar!

Penginapan
Melalui pengalaman, penginapan tepi pantai adalah sangat laku seperti goreng pisang panas pada waktu puncak. Kalau carian hanya dilakukan pada saat akhir seperti kami, jangan berangan terlalu tinggi. Kalau masih ada pun, pastinya penginapan harga tinggi, yang kalau ikutkan prinsip kami, baik gunakan duit tersebut untuk beli coklat. Tapi melihatkan terlalu banyaknya chalet, homestay dan segala jenis penginapan yang muncul kini, kami percaya kalau walk-in pun anda akan dapat juga tempat tinggal. Cuma kena bersusah payah sedikit.

Ini penginapan yang kami dapat melalui carian di Instagram. The Aviator namanya. Cuma RM55 satu malam termasuk sarapan. Masih berbau baru dan bersih.


Ini pemandangan dari balkoni sarapan pagi. Cantik menghadap gunung. Tapi jangan tanya pemandangan depan bilik. Kebun getah! Haha....

Kenderaan
Setelah bertungkus-lumus mencari, akhirnya kami mendapat sebuah Pesona dan Mitsubishi Mivec dengan jumlah harga RM500 untuk 3 hari 2 malam. Perodua Viva pun boleh mencecah RM100 sehari pada musim puncak, sedangkan waktu normal cuma RM50 sahaja! Jadi kami redha. Kos untuk petrol pula lebih kurang dalam RM50 satu kereta untuk 3 hari.

Tempat Menarik

1) Pantai Cenang


Ramai yang mandi di sini, tapi Ya Allah! Macam mandi dalam lumpur. Cenang yang sekarang bukanlah yang dahulu. Terlalu sesak! Kalau mahu cari dosa percuma cuci mata dengan Minah Saleh berpakaian tutup yang perlu sahaja boleh ke sini. 

Dalam air tu, bukan setakat orang mandi-manda sahaja, tapi bersimpang siur dengan orang-orang yang bermain jet ski dan banana boat.

2) Kilim Mangrove Tour
Disebabkan kami membawa emak mertua yang sudah berumur 70-an, perjalanan dengan bot di Sungai Kilim lebih berpatutan daripada Island Hopping. Sesak juga di sini. Dan agak mengelirukan. Pakej yang ditawarkan agak pelbagai, jadi sila bertanya dahulu sebelum membuat keputusan. Pakej yang kami ambil RM250 satu bot untuk satu keluarga yang mengambil masa satu jam. Tapi kami bertemu pemandu bot yang tidak berkira menjadikan perjalanan lebih daripada dua jam. 

Ini berdekatan dengan Restoran Terapung. Salah satu restoran di sini pernah viral seketika apabila mengenakan bil lebih RM1000 untuk satu keluarga.

Ikutkan apa yang ditawarkan pakej RM250 adalah untuk satu jam, tambahan RM35 untuk makan di Restoran Terapung, menjadikan pakej 2 jam. Untuk pakej 4 jam, ada yang menawarkan harga sehingga RM90 seorang. Jadi pandai-pandai memilih.

Pakej RM250 ini merangkumi Gua Kelawar, Gua Buaya, Eagle Feeding, Fish Farm, dan perjalanan seketika melihat Thailand dari jauh. ;-) Boleh baca entry saya tahun 2011 di sini. Pengisian pakej masih sama. Cuma ada bayaran tambahan RM1 untuk lampu suluh di Gua Kelawar. Musim puncak musim buat duit bagi Langkawi. Haha..

Ada juga yang berkayak di Sungai Kilim ini. Tapi kasihan juga, setiap kali bot lalu, mereka terkial-kial mengimbangi kayak.

Ini belangkas ye kawan. Adik ini sedang menunjukkan keakrabannya dengan belangkas di Kolam Ikan yang terdapat di sini. Sungai Kilim ini berair masin. Jadi ikan-ikan di Kolam Ikan di sini adalah ikan laut.


3) Pantai Pasir Tengkorak
Rasanya belum pernah saya ke Langkawi untuk mandi-manda, tapi disebabkan Encik Suami memang hantu laut, jadi dia terus membebel selagi belum berjumpa tempat yang sesuai untuk bermain air. Kami ke Pantai Pasir Tengkorak. Agak jauh ke dalam tapi tidak sesak seperti Cenang, dan airnya agak bersih sesuai untuk mandi-manda.

 Air surut waktu kami tiba.


4) Ayer Hangat Village
Ini satu lagi agenda penting Encik Suami dan emak saya yang sakit-sakit kaki. Mahu rendam kaki di Kolam Air Panas. Dikatakan air panas di Ayer Hangat Village ini satu-satunya air panas masin di Malaysia, dan memang baik untuk mengubati banyak penyakit. Bayaran masuk RM5 seorang. Kami pergi awal-awal pagi sebelum ramai orang dan rendam kaki puas-puas. Ada juga jacuzzi disediakan dengan bayaran lebih kurang RM158 satu jacuzzi yang boleh memuatkan 5 orang. Bayaran jacuzzi ini agak berbeza-beza dan boleh ditawar-tawar.

 Kolam berbumbung di belakang tersebut tempat rendam kaki. Pondok yang di hadapan adalah tempat untuk mendapatkan khidmat urut.

5) Sawah Padi
Kalau anda peminat sawah padi, boleh kunjungi Laman Padi untuk belajar lebih banyak tentang padi. Sebagai orang yang sangat teruja dengan sawah, walaupun tidak berjaya ke Laman Padi, saya telah memujuk rayu ahli rombongan untuk berhenti bergambar di sawah padi yang hijau terbentang, tidak jauh dari Ayer Hangat Village.


Tanda teruja. Lebih sikit gambar dari yang lain. ;-)

6) Beras Terbakar
Kawasan Beras Terbakar ini sudah bertukar menjadi tempat beli-belah gayanya. Pengunjung perlu berjalan jauh ke dalam melalui kedai-kedai kain batik, kain pelekat, baju tidur, coklat, dan segala jenis jualan sebelum menemui halaman rumah tempat sejarah Beras Terbakar. Dikatakan pemerintah pada waktu tersebut membakar semua simpanan beras yang ada supaya pihak Siam yang mahu menyerang Langkawi tidak akan mendapat stok beras untuk simpanan mereka pula. Antara yang ajaib dikatakan beras yang dibakar tidak menjadi abu seperti sepatutnya, mungkin disebabkan keberkesanan sumpah Mahsuri. Tak perlu susah payah cari beras tersebut di atas tanah, kerana hanya ada satu pinggan kecil yang tinggal, disimpan di dalam bekas kaca. ;-)


Di halaman rumah inilah terletaknya tapak sejarah Beras Terbakar.


Beli-Belah
Kalau dulu kita terpaksa keluar masuk  kedai membanding harga di Pekan Kuah, sekarang mudah saja. Haji Ismail Group sudah ada satu kompleks membeli-belah yang menempatkan semua barang di satu tempat di Pekan Kuah. Senang cerita, jimat masa. Masuk satu shopping complex, dan boronglah semua coklat dan pinggan mangkuk yang dimahukan di situ.

Jangan tertipu! Hehe... Ini kawasan beli-belah di Beras Terbakar.

Makan
Orang kata harga makanan di Langkawi naik dua kali ganda di waktu puncak. Kami tidak pasti. Kami makan tengahari dan malam di rumah sepupu pada hari pertama. Hari kedua dan ketiga kami makan tengahari di Restoran Trimula Mesra BBQ Seafood Pekan Kuah. Haha, sebenarnya saya tidak ingat nama restoran. Ini hasil carian google. Tapi makanan memang pelbagai, murah dan sedap. Makan malam hari kedua kami berpindah-randah mencari restoran. Mula-mula ke Laman Padi, tapi ahli rombongan kurang setuju kerana tidak banyak pilihan. Kemudian ke satu Restoran Seafood di Cenang, tetapi kebanyakan menu yang diminta tiada. Minta air laici pun tiada. Haha... Kemudian kami ke Pasar Malam, tapi tidak banyak makanan menarik. Saya sempat beli Som Tam yang sangat sedap di Pasar Malam tersebut. Ada pelancong yang makan sampai meleleh-leleh air mata dan air hidung di depan penjual, tetapi masih lagi pesan dua bungkus tambahan SomTam pedas! Kemudian kami ke satu restoran lain di Cenang juga. Lama sungguh dia memasak, mujur sedap.

Wish List
Rasanya kebanyakan tempat menarik di Langkawi telah saya jejaki. Sampaikan Kampung Buku yang tiada apa itu pun sempat saya kunjungi dulu. Tetapi beberapa tempat di bawah saya simpan dalam senarai untuk dikunjungi lain kali, insya-Allah.

1) Air Terjun Temurun
Air Terjun berair hijau tempat Suraya berenang dalam telenovela Memori Cinta Suraya. Malangnya bertangga-tangga jadi tidak sesuai untuk membawa orang tua.

2) Gunung Raya
Boleh menikmati pemandangan matahari terbit atau terbenam dari ketinggian aras gunung-gunung. Terdapat jalan yang baik disediakan untuk membawa kenderaan ke ketinggian tertentu.

3) Laman Padi
Sudah lama saya terliur mengidamkan nasi berlauk yang dihidangkan di Laman Padi ini. Ini semua gara-gara Eyma yang menggoda kata makanan di sini sedap. Sudahnya teringin tak pasal-pasal.

Pinjam dari website orang. Ni kalau orang tengok mesti ada yang kata macam kat rumah tak boleh buat sendiri makanan macam ni. Tapi kalau dah teringin tu memang ada-ada je.


Balik dari Langkawi, kalau yang menuju ke Kuala Lumpur, bolehlah singgah makan mi udang Sungai Dua di Pulau Pinang. Kami cadangkan Restoran Aur Gading. Memang puas hati. Tapi jangan ikut petunjuk Google Map. Entah mana-mana sesat kami dibawa. Sila gunakan waze.

Sekian perjalanan 3 hari 2 malam. Kesimpulannya semua pemandu kenderaan kepenatan dan berjanji akan mencari tiket kapal terbang kalau mahu ke Langkawi lagi. Kikiki...


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...