Thursday, September 1, 2011

Tangan yang Memberi itu Lebih Baik dari yang Menerima

'Kamu sekali-kali tidak akan sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya ALLAH mengetahuinya.' (Al-Imran; 92)

Ketika mengaji selepas Maghrib tadi, saya terbaca ayat di atas. Tiba-tiba ada perasaan halus yang menjelma dalam diri. Betapa sesungguhnya saya ini manusia biasa. Adakalanya berfikir-fikir juga sebelum memberikan apa yang saya miliki kepada orang lain, apatah lagi jika jumlah yang diminta agak banyak. Sesungguhnya ayat ini membuatkan saya agak insaf.

Saya teringat, beberapa hari sebelum Hari Raya, saya ke Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bangi melakukan medical check up untuk biasiswa SLAB. Selesai urusan, waktu start enjin kereta, datang seorang lelaki tua, membawa tongkat mengetuk cermin kereta dan mengeluarkan ayat-ayat yang biasa diberi oleh peminta sedekah. Saya, entah kenapa, mungkin kerana sudah set in mind yang orang-orang begitu didalangi sindiket, dengan pantasnya menggelengkan kepala walaupun pakcik tersebut berusaha 2 kali untuk meminta. Apabila pakcik tersebut berlalu pergi, secara tiba-tiba saya terasa menyesal. Kenapa pada bulan Ramadhan yang mulia itu, apabila Allah datangkan peluang untuk saya menderma dan membuat amal, saya menolak peluang tersebut mentah-mentah. Saya start enjin cepat-cepat dengan niat untuk mendapatkan pakcik tersebut, tetapi akibat dihalangi beberapa kereta, saya tidak berjaya mendekatinya.

Petang itu, saya menceritakan apa yang berlaku kepada housemate saya dan saya mendapat nasihat ini:
'dulu saya pun fikir tentang sindiket juga dan tak nak bagi, tapi kemudiannya saya dengar seorang ustaz berkata, apabila ALLAH datangkan kepada kita seorang peminta sedekah, maknanya ALLAH sedang memberikan peluang kepada kita untuk beramal. Orang lain susah-susah cari fakir miskin nak hulur sedekah, tapi kita, seorang fakir ada di depan mata, maka perlukah kita menolak peluang berbuat baik itu? Kita tidak tahu apakah benar dia didalangi sindiket, atau mungkin memang dia benar-benar fakir. Maka bersangka baik dan ikhlaskanlah hati beramal, insya-ALLAH ada ganjarannya.'

Jadi lepas ni, bila hati rasa berat nak hulurkan bantuan, saya akan berusaha mengingati ayat surah al-Imran tersebut, dan pesanan housemate saya ini. Sesungguhnya sedekah itu penghapus dosa. Sama-sama lah kita berkongsi apa yang kita miliki dengan mereka yang memerlukan.




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...