Habis kursus jam 4.30pm, saya dan suami termelencong ke Penang.
Kihkih, jauh melencongnya kan?
Hujan lebat sepanjang perjalanan.
Saya memandu sekejap ganti suami yang penat, lepas tu dia bosan lalu mengambil alih stereng kembali sebab dia kata siput pun lagi laju dari saya memandu.
Hahaha... malam-malam kena hati-hati boh. ;-)
Diringkaskan cerita, berikut beberapa kisah perjalanan kami.
(amboi, perkataan berikut-berikut macam buku teks, ya ampun)
Penginapan
Disebabkan ini perjalanan pakai redah, maka kami memang tak rancang nak tidur mana.
Lagi pun, cuma berapa jam je nak tidur, esok nak jalan lagi.
Maka saya cari penginapan yang murah di Trivago dan terjumpa Victor's Guest House di Batu Feringgi.
Macam biasa dua perkara penting yang saya akan tengok adalah harga dan kebersihan.
Tengok review macam bersih je, saya book bilik di situ dengan harga RM95 satu malam.
Tapi mencabarnya cari tempat ni, pusing-pusing tak jumpa.
Guna google map dia bawa ke jalan mati.
Location yang guest house ni sediakan melalui e-mail pun tak betul.
Saya dah tahap sakit kepala rasa macam nak tido tempat lain, tak nak cari dah.
Masa tu jam pun dah pukul 12 malam.
Dua tiga kali telefon nombor yang diberi tak berangkat.
Last-last berhenti tepi jalan tiba-tiba dapat call dan seorang auntie beri tunjuk arah.
Rupa-rupanya terselit-selit kat belakang kedai-kedai, memang tak nampak dari jalan, kecuali ada satu papan tanda kecil.
Ni la bilik-biliknya.
Ikutkan penerangan di booking.com, katanya 100 meter ke pantai.
Nan hado. Haha..
Waktu kami tiba parking pula dah takde.
Auntie tadi ketuk-ketuk pintu bilik guest lain minta susun kereta betul-betul supaya kami boleh parking.
Lepas tu bila kami dah masuk bilik, dia ketuk pintu bilik kami pula jam 1 pagi pinjam remote aircond. Hahahaha...
Makan
Disebabkan orang kata Penang syurga makanan, dah tentulah kami datang sini dengan tujuan utama nak makan.
Tapi disebabkan kami pun cuma satu hari satu malam di sana, dan tangki perut tak besar mana, takdelah banyak sangat makanan sempat dicuba kecuali beberapa makanan di bawah. Haha..
(i) Sany Char Kuey Teow
Malam kami tiba tu kami terus ke Sany Char Kuey Teow di Bayan Lepas.
Ya ampun, memang sedap.
Walaupun Sany ni wujud je di Tasik Titiwangsa, tapi tetap yang kat Penang lebih sedap hingga menjilat jari.
Gambar tak sempat ambil sebab kebuloq.
(ii) Nasi Kandar Line Clear
Mula-mula lalu depan Line Clear ni Encik Suami kata 'biar betul kat lorong-lorong'
Saya pun macam agak skeptikal tengok gayanya.
Tapi kami singgah juga.
Takdelah kotor. Tapi tak taulah tempat masak dia, sebab tidak berjaya hendak kuintai.
Standard gerai-gerailah.
Kami sampai tu awal lagi dalam pukul 11 kot, tapi dah ramai juga orang.
Harga untuk menu macam saya makan tu dalam RM7 lebih kalau tak silap.
Dah ingat-ingat lupa pulak.
(iii) Laksa Pantai Shamrock
Saya dok tanya kawan-kawan Penang mana laksa sedap kat Penang ni, tapi diorang pun macam tak yakin nak jawab.
Cuma kebanyakannya bagitau diorang selalu makan di Pantai Miami.
Malangnya petang tu kami cari Pantai Miami tak jumpa, walaupun waktu pagi dah lalu dan berhenti ambil gambar.
Masa tengah pusing-pusing tu nampak banyak kereta parking tepi jalan dan orang makan di gerai-gerai.
Kami pun singgah dan makan laksa.
Makan je lah, sedap jugak. Haha..
Pantai Shamrock ni banyak rock. Haha
Tempat Menarik
(i) Batu Feringgi
Batu Feringgi ni ala-ala Pantai Cenang Langkawi.
Ada banyak kedai-kedai cenderamata, kedai makan, chalet, hotel, segala macam bendalah kat sini.
Pantai dia ok-ok saja bagi saya.
Kena pergi jauh-jauh sikit untuk mendapatkan secebis ketenangan.
(ii) Pantai Miami
Pantai Miami ni kami jumpa dan singgah seketika di waktu pagi.
Ada orang berniaga di tepi jalan, dan ada beberapa keluarga sedang berkelah.
Kami ambil-ambil gambar sekejap dan kemudian meneruskan perjalanan sebab rasa takde apa yang menarik.
(iii) Penang Street
Penang Street ni di Georgetown, yang ada banyak lukisan-lukisan di dinding dan pelancong gigih ambil gambar.
Sebenarnya kami cuma jumpa satu dua lukisan je, mungkin kami salah jalan.
Tapi disebabkan pagi tu hujan, kami tak turun pun kereta untuk gigih mencari, tengok-tengok je dan sibuk cari nasi kandar.
(iv) Bangunan Bersejarah
Disebabkan Penang ni dapat status World Cultural Heritage Site oleh UNESCO, maka tak hairanlah terasa sangat bersejarahnya bangunan-bangunan di sini.
Rasanya saya banyak kali teruja tengok sekolah-sekolah dari tahun 1800++, bangunan tahun 1800+, memang kagumlah.
Tak mainlah 19, 19, Penang main 18, 18 tau... 😜😜
Memang feel dia lain tengok bangunan-bangunan kat Penang ni.
(v) Bukit Bendera/Penang Hill
Bukit Bendera ni ada dua laluan masuk.
Satu berdekatan dengan Botanical Garden, yang tu kena naik 4WD untuk ke atas dengan bayaran RM100++.
Mula-mula guna google map dia tunjuk ke sini, tapi kami taknak mengabiskan duit seratus lebih di sini.
Nak singgah Botanical Garden tapi hujan renyai-renyai, jadi tengok je dari luar.
Lepas tu kami ke entrance dia yang sebenar.
Tiket masuk RM10, harga student RM5.
Kita akan naik keretapi kabel ke atas yang mencecah ketinggian 700 lebih dari aras laut.
Macam-macam ada atas ni.
Selain excited ambil gambar dari pelbagai sudut, ada juga tarikan-tarikan lain yang menarik.
Kalau nak pusing Bukit Bendera ni boleh naik buggy, RM30 satu kereta.
Banyak banglo atas ni rupanya.
(vi) The Habitat, Penang Hill
The Habitat ni terletak di Bukit Bendera juga sebenarnya tapi saya asingkan sebab tiket masuk pun kena bayar lain.
Bayaran masuk RM50 seorang, student RM30.
Ya ampun mahal, tapi sebab konsep kami ni alang-alang dah jejak kita pusing habis, lepas ni belum tentu datang lagi, maka terkorbanlah RM80.
Untuk pencinta alam, tempat ni memang sangat menarik.
Bersih, tersusun, dan terpelihara.
Tambahan pula tak ramai orang, jadi terasa 'dunia ini ana yang punya'.
Tapi sayangnya banyak juga tarikan yang ada dalam peta tapi belum siap dibina.
Contohnya macam jambatan gantung yang kami intai-intai dari balik divider construction.
Juga taman ungu yang belum berapa ungu dan taman orkid yang cuma ada beberapa batang orkid.
The highlight of the place ni sebenarnya adalah benda ni,
Tree Top Walk.
Tapi bila sampai atas tu, ada sorang pelawat dah nak nangis (ada 4 orang je pelawat atas tu termasuk kami masa tu), nak muntah jerit-jerit nak turun, terus saya gayat.
Tapi mengenangkan RM30 yang telah disumbangkan saya teruskan juga pusing 360 darjah tanpa tengok bawah walaupun sesaat.
Akhirnya cuma ada satu dua keping gambar je wujud yang saya ambil masa mula-mula naik.
Huaaaa rugi.
Dari atas ni boleh nampak Bel Retiro, rumah penginapan Gabenor British yang mula dibina pada tahun 1789. Gambar tak clear sangat sebab langit pun mendung nak hujan masa tu.
Cenderamata
Kalau rasa tak tau nak beli apa, sila dapatkan Jeruk Madu Pak Ali yang terdapat merata-rata di Penang.
Walaupun saya bukan peminat jeruk, tapi Jeruk Pak Ali ni sedap juga berbanding jeruk-jeruk lain di pasaran.
Walaupun Jeruk Pak Ali wujud di Medan MARA, KL, silalah beli di tanah kelahirannya di Penang baru feel asli sikit. Haha..
Tahap Kesesatan
Haha, sub-topik macam ni pun ada.
Tapi ini penting.
Jika anda bukan orang yang biasa dengan jalan di sini, sila memandu dengan sepenuh tumpuan.
Jangan sibuk berborak macam kami, lepas tu terlepas simpang dan marah orang sebelah jangan borak, tapi lepas tu sambung borak, dan terlepas simpang sekali lagi.
Sesungguhnya Penang dipenuhi jalan sehala, bila terlepas satu simpang jalan lah kau jauh-jauh sana untuk kembali ke lorong yang benar.
Lepas tu jalan sesak ya ampun, kalau kat Meru Klang Shah Alam 15km paling teruk 20 minit (konfiden kau kan? haha), kat Penang 15km boleh jadi 40 minit mengikut jangkaan google map yang jarang-jarang meleset.
Dengan gambar paku-pakis gergasi ini sekianlah saja kemerepekan saya.
Nak sambung transcribe interview sambil makan nasi berlaukkan ayam masak lemak cili padi. (Apakah? tu pun nak bagitau) 😎